Hubungan suami isteri tidak selalunya indah sehingga ke penghujung.
Kadangkala cinta diuji apabila insan tersayang berpaling selepas hadirnya orang ketiga.
Dari situ munculnya ujian sebenar, apakah seseorang itu memilih untuk terus berdendam, reda atau memaafkan.
Minggu ini saya kongsikan kisah seorang wanita, Salbiah (bukan nama sebenar) yang pernah disakiti oleh insan bergelar suami, tetapi memilih untuk meneruskan hidup dan memaafkan.
Bukan tidak boleh menolak, tetapi kerana percaya setiap ujian yang diberikan Allah bersebab dan ada hikmah di sebaliknya.
Kisah Salbiah dikongsikan anak sulungnya, Nadia (bukan nama sebenar) yang sejak dari usia remaja melihat ibu disakiti.
Bukan disakiti dengan tangan, tetapi tindakan seorang suami dan bapa yang lupa tanggungjawabnya.
Dia menyaksikan segalanya dan membesar dengan perasaan marah dan kecewa.
Nadia tahu ibunya menanggung derita dalam diam, namun tetap kuat dan tidak menunjukkan kesedihan di hadapan anak-anak.
“Ibu bekerja siang malam semata-mata untuk membesarkan kami empat beradik selepas ayah berkahwin lagi dan mengabaikan tanggungjawab,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.
Nadia menjadikan ibunya sebagai contoh kekuatan, bukan kelemahan.
Sepanjang mereka membesar, ibu tidak pernah memburukkan bapa apa lagi mengajar anak-anak membenci.
“Ibu selalu berkata, seburuk-buruk ayah, dia tetap bapa dan suami ibu. Serahkan segalanya kepada Allah untuk membalas perbuatannya,” ujarnya.
Wanita berusia 27 tahun itu berkata, paling dia tidak faham waktu itu kenapa ibu masih setia kepada lelaki yang jelas sudah melupakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Dia hairan bagaimana ibu masih mahu mempertahankan rumah tangga yang sudah retak.
Menginjak dewasa dia mula memahami, bukan ibu tidak tahu marah, tetapi lebih memilih untuk tidak mengotorkan hatinya dengan dendam .
Kata Nadia, kisah yang diceritakan itu sekadar perkongsian untuk pengajaran bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi orang lain.
Dari situ, Nadia belajar yang tindakan memaafkan bukan tanda seseorang itu lemah, tetapi reda dengan ketentuan Allah.
Dia juga faham yang aturan Allah itu paling sempurna.
Ada sebab ibu tetap bersabar bertahun-tahun lamanya.
Buktinya di hayat akhir, bapa kembali semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan lemah.
Menyingkap kisah lalu, kata Nadia, segalanya bermula selepas bapa mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dengan seorang wanita yang jauh lebih muda daripada ibu.
“Ketika itu saya berusia 17 tahun, manakala adik-adik masing-masing berusia 10, 12 dan 15.
“Selepas berkahwin ayah mula berubah, mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.
“Masanya lebih banyak diluangkan di rumah isteri baru berbanding kami yang amat memerlukan kasih sayangnya ketika itu,” ujarnya.
Menurut Nadia, ibunya bukan orang yang suka marah-marah.
Ketika bapa membawa pulang wanita muda ke rumah dan memperkenalkan sebagai isteri kedua, wajah ibu berubah tetapi hanya terdiam.
Nadia tahu diam ibunya bukan bermakna setuju tetapi memendam perasaan.
Sambungnya, selepas berkahwin, kehidupan mereka sekeluarga berubah.
Bapa sudah jarang pulang ke rumah dan tanggungjawab semakin diabaikan.
Pelbagai alasan diberikan termasuk sibuk dengan kerja.
Bapa hanya pulang seminggu atau sebulan sekali sahaja.
“Setiap kali pulang, ibu melayan ayah seperti biasa dan memasak lauk kegemarannya.
“Kalau datang pun hanya sekejap sahaja, sekadar singgah, makan dan pergi semula. Sikap ayah kepada anak-anak juga berubah. Tiada gurau senda seperti sebelumnya,” ujarnya.
Memasuki tahun pertama perkahwinan, bapa Nadia terus diulit bahagia dengan isteri muda.
Bapa semakin menjauh sehingga Nadia dan adik-adiknya, Rizal, Khai dan Sally (bukan nama sebenar) terbiasa hidup tanpa kehadirannya.
“Kami tahu ayah melebihkan isteri kedua. Perhatian dan masa bukan lagi milik kami sekeluarga.
“Masa terus berlalu. Nadia dan Rizal sudah bekerja, manakala Khai dan Sally masih menuntut di tahun terakhir universiti tempatan.
Selepas 10 tahun menghilang, mereka sekeluarga menerima khabar bapa sedang berjuang dengan kanser tahap 4 di sebuah hospital.
Bapa meminta isteri keduanya mencari mereka kerana mahu meminta maaf atas perbuatan lalu.
“Pada awalnya, kami kurang bersetuju ibu menziarahi ayah. Namun selepas dimaklumkan hayat ayah tidak lama, kami akur,” ujarnya.
Nadia kagum dengan ibunya yang tidak pernah membalas kejahatan dengan kebencian.
Hampir dua bulan ibu berulang alik ke hospital melawat bapa.
Beberapa bulan kemudian, bapa meninggal dunia.
Nadia sebelum ini marah dan kecewa kerana ibu memilih untuk memaafkan bapa, tetapi kini dia faham.
“Allah sangatkan memuliakan orang yang pemaaf seperti ibu,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Berdasarkan kisah ibu Nadia, ia memberi kita banyak pengajaran.
Walaupun pernah diuji dengan pengkhianatan oleh orang yang disayangi bergelar suami, dia tetap memilih untuk memaafkan.
Dalam Islam, orang bertakwa adalah yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain.
Sebagaimana dalam al-Quran menerangkan tentang sabar dan memaafkan, “Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.’’ ( Ali Imran:134)










