Aidilfitri adalah saat berkumpul bersama keluarga, meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Namun, bukan semua yang benar-benar ceria dan gembira menyambut hari raya.
Ada yang diselubungi perasaan sedih, kecewa dan pelbagai perasaan yang sukar digambarkan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Baiduri (bukan nama sebenar) yang tidak pernah merasai nikmat sebenar Aidilfitri.
Dalam kiriman email baru-baru ini, wanita lewat 30-an itu mengakui mula resah setiap kali tibanya Syawal.
Bukan tidak suka untuk menyambutnya, tetapi saban tahun akan mengulangi kisah sama.
Setiap tahun, dia pulang ke kampung suami, tetapi bukan sebagai menantu dan ipar yang diraikan, tetapi ‘orang gaji’.
Kerana itulah, ibu kepada seorang anak perempuan berusia 12 tahun itu sentiasa berbelah bahagi apabila Ramadan hampir melabuhkan tirai.
“Saya rasa terasing dan diperlakukan seperti orang luar di rumah mentua sendiri,” tulisnya dalam email tersebut.
Bercerita lanjut, kata Baiduri, sejak awal perkahwinan, dia cuba memahami dan menerima tradisi keluarga suaminya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sehari sebelum hari raya mereka sudah pulang ke kampung.
Selepas menempuh perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Pahang, belum sempat menghilangkan penat, dia sudah berada di dapur.
Dari subuh, dia menyiapkan juadah, membasuh pinggan dan mengemas rumah. Mana ipar-duai dan biras? Masing-masing hanya pulang pada malam raya.
Ketika ipar-duainya berehat di serambi rumah dan bersantai di ruang tamu, dia masih bertungkus-lumus di dapur bersama anak perempuannya, Aina (bukan nama sebenar) .
Ketupat perlu direbus, rendang perlu dimasak, kuah lontong perlu disiapkan sebelum pagi.
Ipar-duai dan birasnya, langsung tidak menunjukkan keinginan mahu membantu.
Suaminya pula, seperti biasa, rancak berbual dengan adik-beradik dan ipar-duainya di halaman.
Seperti lebaran tahun-tahun sebelumnya, Baiduri bangun seawal 5 pagi. Dihitung, dia hanya tidur selama tiga jam sahaja. Dia perlu menyiapkan hidangan.
Ketika masing-masing bersiap untuk solat sunat Aidilfitri, dia masih di dapur.
Sudah tiga tahun dia tidak dapat menunaikan solat sunat itu.
Tahun ini, dia cuba menyiapkan juadah seawal mungkin bagi membolehkannya menyertai suami ke masjid.
Katanya, sebaik pulang dari solat sunat Aidilfitri, ipar-duai dan anak-anak saudara berkumpul menikmati juadah.
“Jangankan ipar-duai dan biras mahu membantu, suami sendiri juga langsung tak bertanya sama ada saya sudah makan atau tidak,” tulisnya.
Selepas itu, dia kembali ke dapur, mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun di sinki.
Di pagi hari raya, ipar-duai bersantai, sibuk bersiap dengan pakaian raya bersama keluarga masing-masing untuk sesi bergambar.
Jika sebelum ini ada yang memberi alasan tidak membantu kerana ada anak kecil, tahun ini, anak masing-masing sudah besar.
Bercerita lanjut dalam emailnya, kata Baiduri, sepanjang tempoh 15 tahun berkahwin dengan suami, Amir (bukan nama sebenar), dia belum berasa nikmat berhari raya di kampung sendiri.
Setiap tahun dia berangan-angan dapat beraya bersama dengan ibu ayahnya, mencium tangan mereka di pagi raya.
Namun, setiap kali cuba berbincang, suami tetap memberi jawapan sama dan tentunya cukup mengecewakan.
“Suami memberi alasan, kesihatan ibu tidak mengizinkan. Sebagai anak lelaki sulung, tanggungjawabnya besar dan perlu mengutamakan ibu,” tulisnya.
Dalam emailnya, Baiduri turut berkongsi, malam raya di rumah mentua bukanlah suasana yang menggembirakan.
Seperti biasa, dia hanya mampu tersenyum dan menyembunyikan rasa sedihnya. Akui Baiduri dia sudah terbiasa dengan situasi itu.
Sejak awal perkahwinan, dia sedar yang menjadi menantu kepada anak sulung bukan tugas mudah.
“Saya langsung tidak dianggap sebagai sebahagian ahli keluarga suami. Saya dipandang sebagai ‘perampas’ anak dan abang daripada mereka,” tulisnya.
Setiap tahun, Baiduri mengharapkan perubahan, tetapi situasinya masih sama. Dia tetap sibuk di dapur menguruskan segalanya seorang diri.
Apabila tetamu datang, dia juga yang menyediakan minuman tanpa henti.
“Saya diperlakukan seperti orang gaji tanpa ada sedikit belas kasihan, manakala yang lain menikmati hari raya dengan penuh kegembiraan,” tulisnya lagi.
Dalam kiriman emelnya itu, Baiduri turut meluahkan, hatinya bukan sahaja sakit kerana sikap ibu mentua, ipar-duai dan biras yang memperlakukan dirinya seperti orang gaji, tetapi lebih sakit apabila suami sendiri tidak mempertahankannya.
Kata Baiduri, ketika dia sibuk di dapur, suara gelak ketawa ipar-duai dan birasnya kedengaran.
“Masing-masing menikmati suasana hari raya dengan berbual dan bergambar.
“Suami juga bersama mereka seolah-olah saya tidak wujud,” tulisnya sedih.
Jelas Baiduri, perkongsian kisahnya bukan untuk mengaibkan keluarga sendiri, tetapi lebih kepada pengajaran kepada suami isteri di luar sana.
Perkahwinan perlu berlandaskan keadilan, kasih sayang dan saling menghormati.
Hari raya sepatutnya menjadi hari gembira untuk semua orang, bukan berasa sedih dan dipinggirkan.
Sesungguhnya, keberkatan dan kemeriahan Aidilfitri termasuk juga dalam menjaga silaturahim.
Dari Abu Hurairah, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali kasih sayang (silaturahim),” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).










