Menjelang hari raya, selalunya hati dipenuhi dengan perasaan gembira.
Namun bagi sesetengah insan, perasaan bercampur-baur dengan kesedihan sukar digambarkan.
Ini kerana pemergian orang-orang tersayang sebelum Syawal yang meninggalkan kesan mendalam.
Ketika orang lain bergembira menyambut hari raya, mungkin ada ahli keluarga terlibat masih dalam suasana kehilangan dan kerinduan yang sukar digambarkan.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Sakinah (bukan nama sebenar) yang kehilangan sahabat rapat, seminggu sebelum Syawal, kira-kira enam tahun lalu.
Sahabatnya, Mimi (bukan nama sebenar) meninggal dunia akibat sakit kanser usus pada usia 25 tahun.
Namun, ikatan yang terjalin dengan keluarga arwah membuktikan persahabatan sejati tidak terhenti walaupun sahabat sudah tiada.
“Rasa rindu kepada sahabat yang telah tiada terutama di musim Syawal, sukar digambarkan.
“Ketika inilah saya akan lebih teringat kenangan-kenangan lama, terutama saat berkumpul, bergelak ketawa dan berkongsi cerita,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.
Sambung Sakinah, dia tidak berniat untuk terus meratapi kehilangan sahabat baiknya itu, tetapi lebih kepada mengenang nilai persahabatan yang terjalin sejak kecil.
Dalam masa sama, mahu memastikan kenangan terindah bersama insan tersayang dapat terus mekar.
Mengimbas kenangan sebelum pemergian sahabat baiknya itu, ia memang sesuatu yang menyentuh hati.
Katanya, sehari sebelum meninggal dunia, dia sempat menziarahi Mimi di hospital.
“Saat-saat terakhir bersama arwah menjadi kenangan tidak boleh dilupakan. Arwah masih mampu menyembunyikan semua penderitaannya dengan senyuman dan gelak tawan.
“Itu sudah cukup menunjukkan arwah benar-benar kuat walaupun dalam keadaan sakit,” ujarnya.
Kini sudah hampir enam tahun, sahabat baiknya itu meninggal dunia.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kata Sakinah, raya masih terasa kosong tanpa mesej dan ucapan daripadanya.
Kehilangan sahabatnya itu mengubah banyak perkara termasuk semangat untuk berhari raya.
“Semasa arwah masih ada, kami selalu merancang membeli pakaian raya, membuat biskut dan pulang bersama-sama ke kampung.
“Kini saya tidak lagi sibuk mencari pakaian raya, tetapi lebih mengenangkan detik-detik manis bersama dan meneruskan silaturahim dengan keluarganya,” ujarnya.
Kata Sakinah, apa yang dilakukan itu juga sebagai salah satu cara penghargaan kepada arwah sahabatnya.
Kata Sakinah, berita kehilangan sahabatnya itu diterima ketika bersiap-siap ke tempat kerja.
“Dunia seakan terhenti seketika apabila ibu memberitahu, Mimi sudah tiada. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu,” ujarnya.
Tambah Sakinah, raya tahun ini seperti biasa dia akan berkunjung ke rumah keluarga sahabatnya itu.
Walaupun Mimi sudah tiada, hubungan Sakinah dan keluarganya tetap terjalin.
“Saya masih berhubung dengan keluarga arwah kerana ini salah satu cara untuk mengenang dan menghargai persahabatan kami.
“Alhamdulilah keluarga Mimi terutama ibunya sentiasa mengalu-alukan kedatangan saya dan ini sedikit sebanyak dapat mengubat rindu mereka kepada arwah.
“Keluarga arwah melihat saya sebagai sebahagian kenangan terindah tentang arwah. Saya sendiri berasa tenang kerana masih dapat merasakan kehadiran sahabat melalui keluarganya.
“Saya rasa, arwah tidak benar-benar pergi kerana kasih sayang dan ingatan terhadapnya masih hidup dalam setiap pertemuan,” katanya .
Setiap kali Syawal, memang terasa sayu tanpa kehadiran Mimi, tetapi hubungan erat dengan keluarganya menjadikan kenangan itu terus hidup.
Katanya, dia sendiri belajar sesuatu daripada kehilangan sahabat baiknya itu.
“Hargai setiap saat dengan orang tersayang kerana kita tidak pernah tahu bila waktu terakhir bersamanya,” ujarnya.
Sesungguhnya banyak sekali ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW tentang silaturahim kerana Islam selalu mengajar umatnya untuk berbuat baik sesama insan.
Abu Jabir bin Muth’ im meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (HR Bukhari dan Muslim). – UTUSAN










