Cari ibu kandung selepas dibuang adik-beradik angkat

Cari ibu kandung selepas dibuang adik-beradik angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi bulan keberkatan, berkasih sayang dan peluang bagi seseorang untuk memperbaiki hubungan, memaafkan dan menyambung silaturahim yang terputus.

Demikian juga dengan kisah Faridah (bukan nama sebenar) yang saya kongsikan minggu ini, kerana Ramadan juga mengetuk pintu hatinya untuk berusaha mencari ibu kandung yang telah lama terpisah.

Segala-galanya bermula apabila Faridah dibuang oleh adik-beradik angkat selepas kematian ibu bapa angkatnya dua tahun lalu.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, wanita cekal ini memilih untuk mengundurkan diri perlahan-lahan daripada kehidupan adik-beradik angkatnya itu.

Faridah tahu sebagai anak angkat dia tidak berhak ke atas harta peninggalan kedua ibu bapa angkatnya.

Namun, apa yang membuatnya terkilan apabila kedua-dua adik angkatnya, Amirul dan Maria, (bukan nama sebenar) sanggup membuangnya begitu sahaja.

“Kami membesar bersama-sama. Tidur, baring, makan dan minum bersama. Tetapi apabila ibu ayah sudah tiada, mereka berubah sekelip mata hanya kerana harta,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.

Menurut Faridah, apa yang berlaku kepadanya adalah realiti pahit yang dihadapi sebahagian besar anak angkat.

Katanya, menghadapi ujian kehilangan kedua ibu bapa angkat dan penolakan oleh adik-beradik angkat bukan sesuatu yang mudah.

Situasi itu, katanya, datang serentak dan memerlukan kekuatan dan kecekalan hati. Bagaimanapun, dia melihat apa yang berlaku itu sebagai ujian dengan hikmah tersendiri.

Asbab dibuang adik-beradik angkat lantas mendorongnya berusaha mencari kembali ibu dan saudara kandung.

“Semasa ibu dan ayah angkat masih ada, mereka tidak pernah menghalang saya mencari ibu kandung, cuma saya sendiri yang menolaknya. “Setelah kematian mereka dan disisih adik-beradik angkat, saya mula terfikir inilah masa terbaik untuk mencari ibu kandung, sujud dan memohon ampun kepadanya,’’ ujarnya sedih.

Menyingkap zaman kecilnya, kata Faridah, dia membesar dalam kasih sayang ibu dan bapa angkat, Halimah dan Razak (bukan nama sebenar).

Sejak kecil, dia tahu dirinya hanya anak angkat, tetapi pasangan itu telah menjaganya dengan penuh kasih sayang tanpa ada kekurangan.

Apabila usianya lima tahun, ibu angkat hamil buat pertama kali dan melahirkan anak sulung mereka, Amirul. Dua tahun berikutnya, pasangan itu dikurniakan pula anak perempuan iaitu Maria.

Walaupun ibu bapa angkat mempunyai anak sendiri, kasih sayang terhadapnya tidak pernah berkurang.

Dia ditatang bagai minyak yang penuh dan dianggap seperti anak sendiri. Setelah dewasa, dia terus tinggal bersama kedua ibu bapa angkatnya, menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Bercerita lanjut, kata Faridah, bapa angkatnya meninggal dunia pada November 2022, disusuli ibu angkatnya tiga bulan selepas itu dan konflik mulai timbul.

“Saya akur apabila diarah keluar dari rumah pusaka dengan alasan saya hanya anak angkat dan bukan siapa-siapa dalam keluarga mereka,” katanya enggan bercerita lanjut. Menurut cerita ibu bapa angkatnya, dia diserahkan oleh ibu kandung setelah kematian bapa akibat kemalangan jalan raya.

Ketika itu, ibu kandung berdepan dengan cabaran membesarkan ketiga-tiga anak yang masih kecil termasuk dirinya yang berusia tiga bulan. Dalam situasi yang penuh tekanan, ibu membuat keputusan berat menyerahkan Faridah kepada keluarga angkat.

“Saya tidak pernah menyalahkan ibu, menurut cerita ibu bapa angkat, dia menyerahkan saya kepada orang lain dengan harapan saya akan mendapat kehidupan lebih baik. “Dalam masa sama, mendapat perhatian yang mencukupi, sesuatu yang sukar untuk ibu kandung berikan dalam keadaannya ketika itu,’’ ceritanya.

Faridah telah diambil sebagai anak angkat oleh kedua ibu bapa angkatnya yang ketika itu tidak mempunyai anak. Sebagai anak, Rafidah berasa bertanggungjawab untuk mencari maklumat berkenaan ibu kandungnya.

Dengan beberapa dokumen serta sepucuk surat yang bertulis alamat serta bantuan seorang kenalan, akhirnya dia mendapat petunjuk. Ibu kandung bersama suami barunya tinggal di sebuah daerah di Pahang.

Faridah yang terpisah dengan ibu kandung selama 30 tahun itu mengakui cukup berdebar menanti saat untuk bertemu dengan insan yang melahirkannya.

Dengan izin Allah, sebuah pertemuan yang tidak disangka berlaku antaranya dan ibu kandung pada bulan Ramadan, tahun lalu.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu.

Walaupun ibu tidak membesarkan saya, tetapi pertemuan itu menjadi momen yang penuh emosi dan bermakna,’’ ujarnya.

Kata Faridah, dalam pertemuan yang diatur itu juga dia berpeluang bertemu dengan kakak dan abang kandungnya, Suhana dan Azli (bukan nama sebenar). Masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang meningkat remaja.

Kata Faridah, pertemuan itu sangat-sangat menyentuh hatinya.

“Saya sendiri tidak dapat menahan air mata apabila ibu meluahkan perasaan rindunya terhadap saya. “Demikian juga dengan abang dan kakak yang begitu teruja melihat saya,” ujarnya lagi.

Kisah Faridah ini menggambarkan meskipun terpisah oleh jarak dan waktu, harapan dan usaha untuk bersatu kembali dengan keluarga kandung akhirnya membuahkan hasil . Sesungguhnya, bulan Ramadan bukan hanya untuk kita meningkatkan ibadah semata-mata tetapi juga meraih keberkatan dengan menjaga dan menyambung silaturahim.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tidak akan masuk syurga orang yang tidak mahu menyambung tali silaturahim,” (HR Bukhari dan Muslim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×