Supamala Hotpot, restoran ‘hotpot’ Szechuan halal pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Supamala Hotpot, restoran ‘hotpot’ Szechuan halal pertama di Malaysia

Ramanan Ramakrishnan (dua, kiri) bersama Azmi Hassan (dua ,kanan) merasmikan Restoran Supamala Hotpot di Sunway Pyramid. – Utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cawangan pertama Supamala Hotpot di pusat membeli belah,Sunway Pyramid melakar sejarah sebagai restoran periuk panas atau ‘hotpot’ Szechuan yang pertama di Malaysia mendapat pensijilan halal.

Pengarah Supamala Hotpot, Datuk Azmi Hassan berkata, pencapaian Supamala itu menunjukkan komited kumpulannya untuk menyediakan pengalaman hotpot Szechuan dalam masa yang sama mematuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, proses untuk mendapatkan sijil halal bagi restoran tersebut mengambil masa selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh tiga bulan tersebut, kami menjalankan beberapa penyelidikan bagi mengikuti piawaian yang ditetapkan Jakim.

“Namun, jalinan kerjasama dengan pembekal yang diiktiraf halal dan boleh dipercayai adalah tidak mudah. Malah, kami perlu mematuhi protokol ketat dari segi kebersihan alatan, premis dan pekerja,” katanya.

Beliau turut berkongsi bagaimana tercetusnya idea untuk menghasil Supamala iaitu kerana sering kali menjelajah ke Xinjiang, China untuk mengalami sendiri keunikan masakan periuk panas Szechuan.

Sehubungan itu, inspirasi daripada pengalaman tersebut, beliau memutuskan untuk berkongsi masakan periuk panas yang pernah dinikmatinya di negara jiran itu bersama warga tempatan di Malaysia

“Dengan berilhamkan budaya makan bersama yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini, Supamala Hotpot direka sebagai ruang untuk berkongsi emosi dan mencipta kenangan bersama rakan dan keluarga,” ujarnya.

Majlis pembukaan restoran yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan itu turut menyaksikan penyerahan rasmi sijil halal.

Selain itu, restoran masakan Cina itu juga diberi pengesahan rasmi melalui penyerahan sijil Malaysia Book of Records yang mengiktirafnya sebagai restoran hotpot Szechuan pertama di Malaysia yang diiktiraf halal.
Azmi berkata, Supamala Hotpot diyakini dapat menyediakan pengalaman gastronomi kepada yang tiada tandingan kepada pelanggan yang datang berkunjung ke restoran tersebut.

Sebanyak 70 jenis hidangan dengan lapan jenis kuah, termasuk kuah Szechuan Mala yang terkenal dengan keunikannya terdapat dalam menu Supamala Hotpot.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya merancang untuk membuka tiga cawangan Supamala Hotpot menjelang penghujung tahun 2024.

Katanya, penambahan cawangan itu adalah seiring dengan visi jangka panjangnya untuk membuka 20 buah restoran Supamala Hotpot di seluruh Malaysia.

Jelas beliau, penubuhan cawangan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Supamala dalam lanskap industri makanan dan minuman (F&B) negara sekali gus menawarkan pengalaman makanan hotpot Szechuan halal yang unik dan inklusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN