MUKADIMAH
NAMA Turkiye antara disebut-sebut dalam kalangan pemerhati pertahanan berikutan kemampuan negara itu menghasilkan pelbagai peralatan canggih yang kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.
Malah, ada yang berpandangan kerajaan Malaysia berkemungkinan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Turkiye berdasarkan hubungan erat antara kedua-dua negara terutama di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apa yang pasti, hubungan erat kedua-dua negara berjaya memberi pulangan kepada Malaysia apabila misi perdagangan baru-baru ini berjaya menjana nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion di sebalik kesan pandemik Covid-19 dan cabaran global.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Duta Turkiye, EMIR SALIM YUKSEL bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto Fariz Rusadio.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah hubungan Malaysia dan Turkiye kini berada di landasan terbaik ke arah pemulihan ekonomi?
EMIR SALIM: Kalau kita lihat sepanjang pandemik dan pasca pandemik Covid-19, banyak rantaian bekalan di dunia terputus.
Namun, hubungan ekonomi antara dua negara ini terus berkembang apabila jumlah dagangan meningkat hampir 50 peratus pada 2021 manakala bagi tahun lalu pula, jumlah dagangan menghampiri AS$5 bilion (RM22.3 bilion). Kami telah memperluaskan Perjanjian Perdagangan Bebas antara negara dalam beberapa bidang seperti e-dagang, perkhidmatan dan pelaburan secara berperingkat.
Jadi, antara hasrat kami selepas ini adalah mahu membawa lebih banyak syarikat dari Turkiye ke Malaysia untuk membuat pelaburan dan membuka perniagaan di negara ini.
Maka, angka yang diberikan telah menjawab persoalan sama ada terdapat pemulihan ekonomi atau sebaliknya dan kami akan terus berusaha bagi mempertingkatkannya.
Tambahan pula, ekonomi Türkiye dan Malaysia dalam sektor perindustrian dan teknologi tinggi sangat kukuh dan dinamik.
Selain itu, dengan faktor geostrategis saya percaya Turkiye dan Malaysia akan terus bergerak ke depan sebagai sebuah negara yang mampan.
Setakat ini berapa ramaikah pelancong atau pelawat dari Malaysia ke Turkiye dan sebaliknya sejak sempadan mula dibuka?
Sejak April tahun lalu, kita dapati kira-kira 100,000 orang telah melawat Turkiye apabila sempadan antarabangsa di Malaysia dibuka,
Malah pada Oktober tahun lalu juga, kekerapan penerbangan terus Kuala Lumpur dan Istanbul menerusi syarikat Turkish Airlines ditambah kepada 10 kali seminggu bagi menampung jumlah kedatangan tersebut.
Bagaimanapun, kita dapati jumlah tersebut tidak mencukupi.
Justeru kita menambah jumlah penerbangan kepada 14 kali seminggu pada Ogos nanti bagi menampung pertambahan kedatangan pelancong ke negara kami. Ini sekaligus menunjukkan kerancakan aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara.
Kami percaya, Turkiye antara destinasi pelancongan untuk rakyat di negara ini dengan kekuatan produk yang ada.
Tambahan pula, kawasan pelancongan dan industri kami tidak terjejas disebabkan bencana gempa bumi pada Februari lalu.
Adakah Malaysia destinasi terbaik sebagai hab industri pertahanan di rantau Asia Tenggara untuk Turkiye?
Sektor industri pertahanan negara kami yang bergantung kepada 80 peratus produk tempatan dilihat menjadi dimensi penting untuk mewujudkan kerjasama dengan negara-negara sahabat.
Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Turkiye telah meningkatkan minatnya (pelaburan dan pasaran) di Malaysia dan ASEAN dalam bidang ini.
Malaysia juga begitu, turut menunjukkan minat terhadap hasil kejayaan negara kami dalam bidang industri pertahanan sepanjang tempoh 20 tahun lalu.
Kedua-dua negara juga telah mengumumkan Perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai tahun lalu bagi meningkatkan tahap kerjasama strategik.
Bahkan, kami percaya bahawa Turkiye mempunyai potensi kerjasama yang besar dalam bidang industri pertahanan dengan Malaysia, sebuah negara yang mesra dan bersaudara yang terletak di tengah-tengah ASEAN dan mampu menghasilkan produk teknologi yang canggih.
Maka sebab itulah hubungan antara kedua-dua negara bertambah erat terutama selepas lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mac lalu
LIMA 23
Bagaimana saudara melihat penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 23) dan apakah harapan anda? Adakah Türkiye sekali lagi bakal menjadi pempamer terbesar?
Syarikat dari Turkiye telah mengambil bahagian dalam pameran DSA 2022 dan menjadi penaja acara tersebut.
Terdapat juga syarikat-syarikat yang menunjukkan minat yang serius dalam menyertai LIMA 23 tahun ini.
Justeru kami mengharapkan penyertaan yang kukuh dengan 16 syarikat utama kami yang beroperasi dalam pelbagai bidang dari Turkiye. Pempamer syarikat utama industri pertahanan Turkiye juga sudah pun bersiap sedia.
Selain itu, kami menjangkakan penyertaan besar dari Malaysia dalam penganjuran Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2023 pada 25 sehingga 28 Julai nanti.
Adakah terdapat produk lain yang akan cuba diketengahkan dalam LIMA 2023?
Sebanyak 16 syarikat kami yang mengambil bahagian dalam LIMA 23 mempunyai kepakaran tersendiri, mengeluarkan pelbagai produk industri pertahanan seperti pembinaan kapal, perisian, perkakasan, sistem tembakan, roket, senjata dan teropong. Seperti DSA dan LIMA yang lalu, kami yakin produk dan ruang kami akan menarik perhatian ramai.
Adakah Turkish Aerospace Industries (TAI) akan terus beroperasi di negara ini biarpun pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet tidak lagi menjadi pilihan kerajaan Malaysia?
Untuk pengetahuan anda, TAI telah membuka pejabatnya di Cyberjaya pada November 2021 dan mereka mempunyai pelbagai produk yang berpotensi untuk pasaran Malaysia.
Ia menghasilkan produk berteknologi tinggi daripada helikopter sehinggalah kepada pesawat tanpa pemandu (UAV), satelit dan enjin berteknologi terkini.
TAI adalah milik awam dan tidak sama sekali mengehadkan kerjasamanya dengan Malaysia disebabkan keputusan kerajaan Malaysia tidak memilih Hurjet.
Soal kerjasama lebih daripada itu seperti pepatah Inggeris, sky is the limit (hanya langit hadnya).
JANGKAAN NILAI EKSPORT
Berapakah jangkaan nilai eksport Turkiye ke Malaysia pada tahun ini?
Kami berjaya mencapai jumlah dagangan mencecah hampir AS$5 bilion (RM22.3 bilion) tahun lalu. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan produk eksport Turkiye yang terkenal dengan kualiti dan harga kompetitif mendapat tempat yang lebih besar dalam pasaran Malaysia.
Kami menggalakkan ahli perniagaan kami untuk mengeksport dan menghasilkan pengeluaran bersama yang akan menjadikan perdagangan kami lebih seimbang pada tahun ini.
KENAIKAN HARGA GANDUM
Dengan kenaikan harga gandum akibat konflik antara Russia dan Ukraine, adakah Turki bersedia untuk meningkatkan eksport gandum ke Malaysia?
Sebagai sebuah negara, Turkiye berusaha mengurangkan kesan global akibat perang Ukraine dan Rusia.
Kita tahu negara itu (Ukraine) dikenali sebagai bakul roti dunia. Kesan peperangan ini sudah semestinya mengakibatkan krisis makanan global.
Bagaimanapun, menerusi Perjanjian Bijian Laut Hitam, kita boleh lihat kesan lonjakan harga bijirin kini menurun hasil usaha keras dan hubungan diplomasi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan secara peribadi.
Sebanyak 28 juta tan bijirin Ukraine telah dipasarkan ke pasaran global menerusi perjanjian ini dan lonjakan harga berjaya diatasi.
Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab di rantau dan sekelilingnya, kami akan terus berkhidmat untuk keamanan dan kestabilan.
Seperti dalam krisis peperangan lain, kami akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan krisis makanan dapat diselesaikan. Apabila Malaysia mempunyai permintaan untuk meningkatkan import bijirinnya dari Turkiye, kami semestinya akan memberi tindak balas menerusi cara terbaik. Peraturan pasaran bebas akan terus beroperasi tanpa terkecuali dengan negara kita.
Setakat ini berapakah bilangan pelajar semasa di dua hala Malaysia dan Turki?
Pada masa ini terdapat 54 pelajar Malaysia menerima pendidikan sarjana muda dan pascasiswazah di negara kami dengan biasiswa disediakan kerajaan Türkiye dibawah nama ‘Turkiye Bursları’.
Sehingga kini,180 rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian dari Turkiye. 73 daripada graduan ini menerima Türkiye Bursları.
Sementara itu, jumlah warga Turkiye yang belajar di Malaysia juga semakin meningkat saban tahun. Pada masa ini, 126 pelajar kami sedang belajar di pelbagai universiti di Malaysia.
PELANCONGAN
Apakah rancangan Turkiye untuk menarik pelancong Malaysia ke sana pada masa hadapan?
Tahun ini, kami meletakkan sasaran untuk menarik lebih 100,000 pelancong dari Malaysia. Tentunya kami memberi perhatian khusus kepada saudara dan saudari dari Malaysia.
Dengan jumlah penerbangan pada masa ini iaitu 10 kali (dan akan ditambah pada Ogos nanti) pelbagai acara untuk mempromosi Turkiye pada 15 Mac lalu dengan penyertaan Pengerusi Lembaga Pengarah Turkish Airline, Ahmet Bolat.
Selain itu, kami turut mempromosikan Turkiye dengan menyertai pameran seperti Matta Fair yang disokong oleh Kerajaan Malaysia.
HUBUNGAN DENGAN ANWAR
Bagaimanakah Turkiye melihat pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara?
Seperti yang diketahui, Erdogan adalah pemimpin yang kedua mengucapkan tahniah kepada Anwar melalui pangilan telefon.
Mereka berdua mempunyai ikatan persahabatan yang luar biasa. Bahkan lawatan Anwar ke Turkiye selepas gempa bumi adalah bukti keakraban persahabatan ini.
Tambahan pula, Malaysia adalah rakan strategik Turkiye di rantau ASEAN. Walaupun berjauhan jarak geografi, kita mempunyai hubungan rapat seperti jiran. Kami sebagai orang Turki yang tinggal di sini dan saya sebagai Duta Turki amat selasa di sini seperti di rumah sendiri, tidak terasa di negara asing.
Setiap pemimpin yang dipilih rakyat Malaysia ialah rakan kongsi terbaik kami. Saya percaya bahawa hubungan kita akan bertambah erat dan menjadi lebih kukuh.
GEMPA BUMI TURKIYE
Apakah yang boleh difahami dalam peristiwa gempa bumi di Turkiye tentang hubungan Turkiye-Malaysia?
Seperti yang sering saya ungkapkan bahawa Malaysia tidak jauh dari Turkiye dan umpama sebuah negara berjiran.
Selepas gempa bumi dahsyat, kami lihat rakyat dan kerajaan Malaysia mengambil tindakan pantas memberikan keperluan sepatutnya sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan.
Kami turut menerima ucapan takziah dan doa daripada rakyat Malaysia, terutama daripada Yang Dipertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Anwar serta pegawai kerajaan Malaysia lain.
Malah dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) membantu usaha mencari dan menyelamat di negara kami selain pembinaan hospital medan.
Kami secara langsung telah merasai betapa saudara-saudara dari Malaysia sangat bermurah hati dan menghulur bantuan semasa gempa bumi. Tentunya tidak ada ucapan terima kasih yang dapat mengambarkan perasaan kami. – Mingguan Malaysia










