Produk halal perlu mesra alam, beri manfaat kepada umat Islam

Produk halal perlu mesra alam, beri manfaat kepada umat Islam

SETIAP produk atau perkhidmatan halal mesti mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada Muslim, tetapi juga kepada seluruh ekosistem sejagat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN dunia di mana setiap produk bukan sahaja halal, tetapi juga mesra alam, adil kepada manusia dan membawa kesejahteraan sejagat. Inilah visi Green Halal yang sedang Malaysia pelopori, langkah baharu untuk memastikan legasi halal negara terus relevan dan menjadi penanda aras dunia.

Berkat usaha semua pihak, nilai eksport halal Malaysia mencecah AS$12.89 bilion (RM59.5 bilion) pada 2022, dengan potensi pasaran melebihi AS$113 bilion menjelang 2030. Namun, pencapaian ini tidak bermakna kita boleh berasa selesa.

Dunia berubah pantas dan persaingan semakin sengit bukan sahaja dari negara Islam lain, malah daripada kuasa ekonomi bukan Islam yang semakin agresif melabur dalam industri halal.

Kini masanya untuk melangkah lebih jauh daripada sekadar mematuhi piawaian halal kepada mengadaptasi konsep Green Halal.

Konsep ini bukan sahaja menekankan pematuhan syariah, tetapi juga berpaksikan maqasid syariah; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Ia menuntut produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja halal dimakan atau digunakan, tetapi juga mesra alam, mengangkat nilai kemanusiaan dan menjamin kelestarian ekonomi.

Ini bermakna setiap produk atau perkhidmatan mesti mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada Muslim, tetapi juga kepada seluruh ekosistem sejagat.

ESG dan SDG juga adalah kerangka global untuk kejayaan halal berperanan sebagai alat ukur prestasi kelestarian dengan menilai tiga dimensi iaitu penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus yang baik.

Ia menolak idea bahawa kejayaan diukur semata-mata dengan keuntungan kewangan. Sebaliknya, perniagaan halal yang berjaya perlu menyatukan keuntungan, kelestarian dan kebajikan sosial.

Bagi menuju ke arah Green Halal, pemain industri perlu menghadapi beberapa cabaran iaitu kos pensijilan, keperluan teknologi baharu seperti blockchain untuk kebolehkesanan dan tuntutan pengguna terhadap produk mesra alam.

Namun, peluangnya dilihat mempunyai potensi yang besar dan pasaran halal global diunjurkan bernilai AS$3.1 trilion menjelang 2025 dengan sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik dan pelancongan sebagai pemacu utama.

Sebagai langkah ke hadapan, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHREC 2025) pada 21 dan 22 September 2025 di bawah Global Halal Summit (GHaS 2025).

Acara ini akan menghimpunkan pakar akademik, pembuat dasar dan pemain industri untuk membincangkan hala tuju halal global, termasuk konsep Green Halal sebagai pemacu ekonomi dan kesejahteraan sejagat.

Malaysia memiliki semua asas untuk terus memimpin: Pengalaman, piawaian yang diiktiraf dunia dan tenaga manusia berkualiti. Kini masanya kita melangkah ke hadapan, menggabungkan kekuatan tradisi dengan inovasi kelestarian, untuk memastikan Halal Malaysia bukan sahaja kekal No.1, tetapi menjadi penentu arah industri halal global masa depan.

Green Halal bukan sekadar pilihan. Ia adalah tanggungjawab kita untuk memastikan legasi halal Malaysia terus menjadi rahmat kepada seluruh alam. – UTUSAN

PROF. DR. SUHAIMI AB. RAHMAN
Ketua UDRP Tadbir Urus Halal, Penyelidik Institut Penyelidikan Produk Halal UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN