NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) mendakwa tawaran Kerajaan Thailand untuk memberi pengampunan kepada individu yang terlibat dalam kes keganasan dan menjejaskan keselamatan supaya menyerah diri, sebagai ‘perangkap’.
Seorang bekas pemimpin tertinggi BRN berkata, terdapat anggota pergerakan pejuang yang pernah menyerah diri namun didakwa tidak mendapat layanan sewajarnya dan terus diperalat kerajaan.
“Lebih 13 anggota pergerakan pejuang menyerah diri sebelum ini tetapi mereka sebenarnya masuk perangkap. Mereka kemudian terus diperalat oleh kerajaan.
“Bagi saya sebagai anggota BRN, menyerah diri adalah suatu perbuatan yang haram,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas cadangan kerajaan Thailand itu.
Pada 3 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan, tawaran itu dibuat selepas Kabinet Thailand bersetuju memberi peluang kepada anggota kumpulan bersenjata atau pemisah menjalani latihan khas sebagai alternatif kepada prosiding jenayah di mahkamah.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, peluang itu diberikan kepada individu yang menyesal, mengakui kesilapan dan menyedari akibat perbuatan mereka yang menjejaskan keselamatan awam.
Sementara itu, bekas pemimpin BRN berkata, sekiranya kerajaan Thailand benar-benar ikhlas mahu memberikan pengampunan, langkah berkenaan sepatutnya ditumpukan kepada individu yang kini ditahan atas dakwaan fitnah politik dan tidak mempunyai waran tangkap.
Katanya, sekurang-kurangnya 240 tahanan politik sepatutnya diberikan pengampunan dan dibebaskan selain tidak lagi diganggu selepas kembali ke dalam masyarakat.
Mengulas lanjut, bekas pemimpin itu turut mempertikai penggunaan istilah pengampunan.
Katanya, ia seolah-olah menggambarkan anggota pergerakan pejuang Selatan Thai melakukan kesalahan sedangkan perjuangan mereka didakwa bertujuan menuntut hak sendiri. – UTUSAN











