Langkah pertama ialah mengenal pasti punca dan tanda-tanda awal kesan trauma dalam kalangan pekerja. Ada individu yang mungkin menunjukkan perubahan tingkah laku seperti kemurungan, penurunan prestasi kerja atau mengasingkan diri daripada rakan sekerja.
Ada yang mengalami simptom fizikal seperti keletihan melampau, sakit kepala berterusan atau gangguan tidur. Pemantauan yang rapi dan pendekatan prihatin daripada pihak pengurusan serta rakan sekerja boleh membantu dalam mengenal pasti mereka yang terkesan dan memerlukan bantuan.
Majikan perlu membangunkan sistem sokongan psikologi di tempat kerja seperti menyediakan kaunseling atau sesi terapi dengan pakar.
Majikan juga boleh melatih pengurus dan ketua jabatan dalam teknik asas pertolongan cemas psikologi agar mereka dapat memberikan bantuan awal kepada pekerja yang memerlukan. Keprihatinan dan empati dalam menangani trauma ini akan membantu pekerja berasa lebih dihargai dan selamat dalam persekitaran kerja mereka.
Tempat kerja perlu mewujudkan budaya yang menyokong kesihatan mental dan emosi. Salah satu cara ialah dengan memastikan komunikasi yang terbuka antara majikan dan pekerja. Pekerja harus diberi ruang untuk meluahkan perasaan tanpa rasa takut akan stigma atau tindakan balas.
Sesi dialog berkala atau kumpulan sokongan boleh diadakan bagi membolehkan pekerja berkongsi pengalaman serta mendapat dorongan daripada rakan sekerja yang lain.
Pemulihan daripada trauma tidak berlaku dalam sekelip mata. Oleh itu, tempat kerja perlu menyediakan pelan jangka panjang bagi membantu pekerja menangani kesan trauma dalam tempoh yang lebih lama. Ini boleh dilakukan dengan menawarkan fleksibiliti dalam tugasan kerja seperti mengurangkan beban kerja sementara atau memberi kebenaran untuk bekerja dari rumah bagi pekerja yang masih dalam proses pemulihan.
Dalam kes-kes tertentu, penyesuaian dalam jadual kerja atau perubahan dalam tanggungjawab boleh membantu pekerja kembali menyesuaikan diri dengan tugas mereka secara berperingkat.
Latihan dan program kesedaran mengenai trauma perlu dijalankan bagi meningkatkan kefahaman pekerja terhadap isu ini. Program ini bukan sahaja membantu individu yang mengalami trauma tetapi juga mendidik pekerja lain tentang bagaimana mereka boleh menyokong rakan sekerja yang sedang melalui proses pemulihan. Dengan kesedaran yang lebih tinggi, stigma terhadap kesihatan mental di tempat kerja dapat dikurangkan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan menyokong.
Program seperti yoga, meditasi atau sesi terapi seni boleh membantu pekerja mengatasi tekanan dan trauma dengan cara yang lebih santai dan tidak terlalu formal serta menyediakan ruang khas yang boleh membantu mengurangkan tekanan.
Organisasi juga perlu melihat semula dasar-dasar tempat kerja bagi mencegah kejadian yang boleh mencetuskan trauma. Sebagai contoh, jika trauma berlaku akibat beban kerja yang melampau, maka pihak pengurusan perlu menilai semula struktur kerja dan memastikan pembahagian tugas yang lebih seimbang. Jika konflik dalaman menjadi punca trauma, dasar berkaitan pengurusan konflik dan sokongan terhadap pekerja yang menjadi mangsa perlu diperketatkan.
Pekerja yang diberi sokongan sewajarnya akan lebih cenderung untuk kembali bekerja dengan semangat dan motivasi yang lebih tinggi. – UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN,
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour










