JESSICA Watkins mencipta sejarah dalam penerokaan angkasa lepas apabila menjadi wanita kulit hitam pertama mengetuai kru ke orbit menerusi misi SpaceX yang mencatat rekod kepantasan baharu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Watkins bersama tiga lagi angkasawan, Luke Delaney dari AS, Joshua Kutryk dari Kanada dan Sergey Teteryatnikov dari Russia, tiba di ISS pada 1 Oktober lalu selepas menempuh perjalanan selama tujuh jam 55 minit menaiki kapsul Dragon milik SpaceX yang dinamakan Grace.
Kejayaan itu hadir selepas misi berkenaan terpaksa ditangguhkan selama tiga minggu bagi membaiki kebocoran sistem bahan api kapsul berkenaan.
Cuaca mendung dengan awan tebal turut menimbulkan kebimbangan menjelang pelancaran dari Cape Canaveral, namun keadaan kembali mengizinkan sebelum kapsul itu berlepas pada pukul 11.10 pagi waktu tempatan.
Hampir lapan jam kemudian, Grace berjaya mendarat di ISS, sekali gus mencatat pencapaian baharu dalam misi penerbangan angkasa lepas kendalian AS.
Rakaman langsung NASA menunjukkan kapsul itu menghampiri stesen berkenaan dengan lancar ketika kedua-duanya bergerak pada kelajuan kira-kira 28,100 kilometer sejam.
Selepas tiba, keempat-empat angkasawan terapung memasuki stesen berkenaan melalui ruang perantara bertekanan sebelum menyapa rakan setugas di Bumi.

“Kami sangat teruja berada di sini. Tempat ini benar-benar istimewa,” kata Watkins menerusi siaran langsung NASA.
Beliau turut menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang mengagumkan, terutama apabila perjalanan ke ISS yang singkat tersebut menjadi kemuncak kepada usaha panjang untuk menjayakan misi berkenaan.
“Menakjubkan dan agak ironik apabila memikirkan perjalanan ke sini begitu singkat, sedangkan perjalanan untuk sampai ke tahap ini sangat panjang,” katanya.
LUCKY 13
Tempoh perjalanan ke ISS bergantung pada jarak antara stesen itu dengan kapal angkasa ketika pelancaran dilakukan. Kru terakhir yang berlepas dari bumi AS mengambil masa lebih 30 jam untuk tiba di stesen berkenaan.
Pelancaran pada lewat pagi itu turut menyaksikan Watkins menjadi wanita kulit hitam pertama mengetuai kru ke orbit. Beliau merupakan ahli geologi yang pernah terlibat dalam projek rover Curiosity milik NASA di Marikh kira-kira sedekad lalu.
Misi itu merupakan perjalanan kedua Watkins ke ISS selepas menjalani penugasan panjang di stesen berkenaan pada 2022.
“Terima kasih atas perjalanan yang menakjubkan,” kata Watkins menerusi komunikasi radio sejurus selepas pelancaran.
Walaupun kru berkenaan akan berada di ISS selama enam bulan, perjalanan mereka ke stesen itu mencatat rekod terpantas bukan sahaja bagi SpaceX milik Elon Musk, malah mana-mana organisasi AS termasuk NASA.
Selain Watkins, tiga lagi angkasawan itu pertama kali ke angkasa lepas. Delaney ialah bekas anggota Kor Marin AS, Kutryk berpangkat kolonel dalam Tentera Udara Diraja Kanada, manakala Teteryatnikov merupakan bekas anggota kapal selam.

Mereka akan menggantikan empat angkasawan yang menetap di makmal orbit itu sejak Februari lalu.
Misi berkenaan merupakan penerbangan kru ke-13 yang dilancarkan SpaceX bagi NASA.
Penggunaan nama Crew-13 pada lambang misi itu turut memberi penghormatan kepada Apollo 13, misi ke Bulan pada 1970 yang berdepan kecemasan sebelum kesemua angkasawannya berjaya pulang ke Bumi dengan selamat.
Angka 13 turut menjadi tema misi itu pada Khamis apabila Watkins dan kru menaiki kenderaan Tesla hitam dengan nombor pendaftaran tertera perkataan ‘Lucky 13’ untuk ke tapak pelancaran.
Mereka juga membawa patung naga kecil berwarna emas yang dibuat menggunakan teknik kait benang (crochet), dinamakan Lucky dan dihiasi semanggi empat daun pada lehernya sebagai simbol tuah.
“Kami fikir tidak salah untuk membawa sedikit tuah sendiri sebagai persediaan, tetapi jelas kami tidak memerlukannya,” kata Watkins dari orbit, sambil menyifatkan mereka sebagai empat manusia paling bertuah di Bumi mahupun di luar planet ini.











