Bukan sentiasa perlu dibelai, kucing juga perlu ‘me time’

Bukan sentiasa perlu dibelai, kucing juga perlu ‘me time’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran pemilik di rumah sepanjang hari mungkin dianggap sebagai peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama kucing peliharaan.

Namun, perubahan rutin itu boleh menyebabkan sesetengah haiwan berasa tidak selesa, keliru atau terganggu.

Hal ini kerana kucing yang sudah terbiasa menghabiskan masa bersendirian ketika pemilik keluar bekerja mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Doktor Perubatan Veterinar dan Pengurus Vetico Animal Clinic, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, tindak balas kucing terhadap perubahan rutin bergantung kepada karakter setiap haiwan.

Menurutnya, ada kucing yang mesra dan suka bermanja, manakala terdapat juga sesetengah kucing yang kurang gemar menerima perhatian secara berterusan.

“Jika kucing itu kurang mesra dan ramah serta sudah biasa dengan keadaan bersendirian pada waktu pemilik bekerja, perubahan tersebut boleh memberikan kesan kepada kucing kerana kucing sudah biasa bersendirian dan mempunyai rutin sendiri,” katanya kepada Seri.

Perubahan rutin pemilik

Perubahan rutin pemilik secara mendadak boleh menyebabkan sesetengah kucing berasa tertekan atau keliru, terutama apabila haiwan itu sudah terbiasa bersendirian selama lapan hingga 10 jam sehari ketika pemilik keluar bekerja.

Keadaan itu pernah berlaku ketika pandemik Covid-19, khususnya pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila ramai pekerja diarahkan bekerja dari rumah dan pelajar perlu mengikuti pembelajaran dari rumah.

Perubahan tersebut turut mempengaruhi rutin harian haiwan peliharaan yang sebelum itu biasa ditinggalkan bersendirian di rumah pada waktu siang.

Kajian oleh Dr. Jessica Oliva dari James Cook University pada Mei 2020 mendapati kira-kira 50 peratus pemilik kucing melaporkan haiwan peliharaan mereka menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, keliru atau terganggu dengan kehadiran pemilik di rumah.
“Kehadiran pemilik sendiri akan menghasilkan bau dan bunyi tersendiri yang boleh dikesan oleh kucing tanpa kehadiran pemilik secara fizikal. Oleh itu, apabila pemilik bergerak di dalam rumah tersebut sudah boleh menghasilkan rangsangan,” jelasnya.

Kucing perlukan masa berehat

Menurut Dr. Wafaa, kucing lazimnya menghabiskan banyak masa pada waktu siang untuk tidur, selain melakukan aktiviti lain seperti makan, minum dan bermain bersama pemilik.

Namun, tempoh tidur berbeza mengikut individu kerana ada kucing yang memerlukan waktu rehat lebih lama berbanding kucing lain.

Justeru, pemilik perlu membiarkan kucing meneruskan rutin hariannya tanpa gangguan, terutama ketika haiwan itu sedang tidur atau berehat.

Tindakan pemilik yang terlalu kerap memanggil, memeluk atau membelai kucing juga boleh menyebabkan haiwan itu berasa tidak selesa, bergantung pada karakternya.

“Jika kucing itu kurang mesra dan ramah, ia mungkin akan merasa rimas atau terganggu dengan kelakuan pemiliknya.

“Sebaliknya, pemilik disarankan memberi ruang kepada kucing untuk mendekati mereka terlebih dahulu apabila mahu bermanja sebelum memulakan interaksi,” ujarnya.

Tanda kucing tertekan

Kucing yang mengalami tekanan boleh menunjukkan perubahan tingkah laku, termasuk bersembunyi, menjauhkan diri atau menjadi lebih agresif sehingga mencakar dan menggigit.

Selain itu, pemilik perlu memberi perhatian sekiranya kucing kehilangan selera makan dan minum, kerap muntah makanan atau bulu serta mengalami cirit-birit.

Kucing juga boleh menunjukkan tingkah laku excessive grooming atau menjilat badan secara berlebihan sehingga menyebabkan keguguran bulu.

Masalah saluran kencing atau feline lower urinary tract disease (FLUTD), perubahan karakter serta perubahan tahap aktiviti fizikal turut disenaraikan sebagai antara tanda yang perlu diperhatikan.

Sekiranya kucing menunjukkan gejala berkenaan, pemilik disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan veterinar bagi mengenal pasti keadaan haiwan peliharaan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini