KUALA TERENGGANU: Adinda kepada Sultan Terengganu, Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mangkat di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada pukul 1.20 pagi ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu, Datuk Mohd. Sophian Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham dijadual tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, dekat sini pada pukul 1.15 petang ini menggunakan pesawat khas sebelum dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir.
Katanya, jenazah kemudian dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini selepas solat Asar dan solat jenazah pada pukul 4.13 petang.
Istiadat pemakaman berlangsung sebaik sahaja jenazah tiba di makam diraja berkenaan sebelum urusan bersurai.
Sehubungan itu, Pemangku Raja Terengganu turut berkenan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini.
Majlis tahlil diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Majlis tahlil malam pertama dijadual berlangsung pada pukul 7.45 malam ini. – UTUSAN











