PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli, mengesahkan sudah tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, FMC Music sebaliknya memilih untuk bergerak sebagai artis independen.
Menurut Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli, 28, keputusan itu dilakukan sejak sebulan lalu namun tetap mengucapkan terima kasih kepada syarikat tersebut yang telah membantu kerjayanya sejak 10 tahun lalu
“Projek Katamu Sekejap ini adalah projek pertama saya secara independen. Saya juga nak ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada FMC Music menguruskan, menjaga dan banyak menolong saya dari awal kemunculan saya sampailajh 10 tahun ini, sejak awal kemunculan saya.
“Buat masa sekarang, saya bergerak secara independent di bawah Haqiem Rusli Entertainment. Ia baru sebulan lebih.
“Saya tak maklumkan di mana-mana media sosial. Itu sebab hari ini saya nak beritahu yang saya dah bergerak secara independent,” katanya semasa majlis pelancaran lagu epenuh Hati Rindu berjudul Katamu Sekejap di Hotel Premiera, baru-baru ini.
Enggan pengundurannya mencipta kontroversi, Haqiem berkata hubungannya dengan syarikat rakaman itu masig baik dan terbuka untuk meneruskan kerjasama.
“Memang saya sayangkan FMC Music sebab saya dah sangat rapat dengan pasukan di sana, termasuk bos dan pengurus saya. Sebab itu, keputusan untuk bergerak sendiri mengambil masa yang lama.
“Atas nasihat ramai kawan, mereka katakan kenapa tidak saya cuba dan mungkin sudah tiba masanya untuk saya membuat bergerak sendiri dan mempunyai lebih kebebasan dalam pelbagai aspek,” katanya.
Sepanjang bergerak secara independen, penyanyi itu bersyukur kerana isterinya banyak membantu sekali gus menjadi penasihat terutama mengenai trend di media sosial.
“Sekarang, buat masa ini isteri adalah salah satu penasihat dalam kerjaya seni saya dan dia jiga banyak membantu saya dari segi membuat keputusan.
“Saya sangat memuji pemikiran kritikal dan cara dia menilai sesuatu. Sekarang, isteri menjadi penasihat paling rapat dengan saya.
“Kami juga sudah membuat persediaan lebih awal, termasuk mendapatkan khidmat akauntan serta kenalan yang boleh membantu dalam penyediaan kandungan. Cuma bagi saya semua ini sangat baru dan saya masih belajar dan masih ambil ilmu untuk bergerak secara sendiri,” katanya.
Tambah penyanyi itu, sekarang dia mahu memberi fokus kepada syarikatnya sendiri
Haqiem Rusli Entertainment sekali gus bakal membawa adiknya untuk sama-sama menjadi artis naungannya. -UTUSAN











