UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) melancarkan Sudut Sasterawan Negara bagi menyuburkan rasa cinta kepada sastera tempatan terutama dalam kalangan mahasiswa, di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Anugerah Sasterawan Negara Malaysia merupakan anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu di Malaysia. Anugerah seumpama ini telah diadakan sejak 1981.
Usaha dan pengorbanan ikon dunia sastera perlu terus diangkat misalnya Perpustakaan Sultanah Bahiyah mewujudkan Sudut Sasterawan Negara untuk mengangkat dan mengabadikan karya-karya dan memberi satu pengiktirafan kepada sasterawan.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan mereka, tetapi juga untuk memberikan inspirasi kepada generasi muda dan pencinta sastera agar terus menghargai dan meneruskan legasi yang ditinggalkan selain menyemarakkan kempen budaya membaca di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sudut Sasterawan Negara dapat menjadi pusat rujukan dan kajian bagi para pelajar, penyelidik, dan peminat sastera untuk mendalami karya sasterawan negara dengan lebih mendalam.
Usaha ini dapat dimanfaatkan serta menjadi lambang penghargaan kita kepada sasterawan yang telah berjuang dan berkarya tanpa mengenal lelah demi mengangkat martabat sastera Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bimbang dengan sikap sebilangan pelajar yang tidak berminat mendalami sastera, bahasa dan budaya terutama karya tokoh tempatan.
Justeru, langkah memperkenalkan Sasterawan Negara di universiti merupakan salah satu inisiatif awal bagi menyuburkan rasa cinta kepada sastera tempatan terutama dalam kalangan mahasiswa universiti.
Diharapkan Sudut Sasterawan Negara yang mempunyai 340 bahan bakal menjadi tempat tumpuan warga universiti dan masyarakat sekitar mendalami karya serta pemikiran Sasterawan Negara melalui sokongan semua pihak.
Semoga Perpustakaan Sultanah Bahiyah akan menjadi pusat sumber sastera yang menyediakan akses kepada pelbagai karya sastera yang berkualiti yang membuka peluang pelajar untuk meneroka dan menikmati dunia sastera dengan lebih mendalam. – UTUSAN
SITI FATIMAH ABDULLAH
Universiti Utara Malaysia










