Perpustakaan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat

Perpustakaan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat

SEJAJAR dengan tujuan pembelajaran sepanjang hayat, perpustakaan juga berperanan dalam memilih bahan bacaan secara teliti bagi mengikut kesesuaian masyarakat komuniti persekitaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKHIDMATAN perpustakaan sedia ada telahpun banyak memberi sokongan dalam pembelajaran sepanjang hayat dari aspek bahan bacaan antaranya bahan bercetak serta elektronik kepada penggunanya.

Sebuah perpustakaan ditadbir urus oleh pustakawan yang mempunyai pengalaman dalam menyediakan akses maklumat kepada pengguna tanpa mengira demografi individu mahupun status pendidikan.

Penyediaan bahan seperti koleksi buku pendidikan formal dan tidak formal turut disediakan bagi pengguna mendapatkan akses tersebut. Oleh itu, pengguna yang ingin merujuk maklumat seperti kehidupan liar, undang-undang Malaysia, sains, agama dan sebagainya.

Perpustakaan adalah tempat terbaik dalam penyediaan segala maklumat. Sejajar dengan tujuan pembelajaran sepanjang hayat, perpustakaan juga berperanan dalam memilih bahan bacaan secara teliti bagi mengikut kesesuaian masyarakat komuniti persekitaran perpustakaan itu.

Pembangunan koleksi bagi sesuatu subjek di perpustakaan telah dilakukan secara terperinci bagi memberikan khidmat bacaan yang terkini dan berfakta kepada pengguna.

Bagi yang sering melawat perpustakaan, kebanyakan bahan sama ada elektronik mahupun bercetak telah disediakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Walaubagaimanapun, warga kerja perpustakaan juga menyediakan bahan bacaan santai demi meraih kunjungan daripada golongan kanak-kanak serta individu yang ingin membaca buku secara ringan. Sebagai contoh, koleksi komik atau cerita dongeng Melayu yang mudah difahami oleh pembaca.

Terdapat juga pelbagai genre novel yang telah disediakan oleh perpustakaan kepada penggunanya. Novel yang menarik serta mengikut trend semasa mudah mendapat sambutan oleh pengunjung terutama golongan remaja.

Selaras dengan tujuan pembelajaran sepanjang hayat, model perpustakaan adalah contoh yang terbaik dalam menggalakkan penggunanya menikmati perkhidmatan perpustakaan.

Apabila menghuraikan berkaitan pembelajaran sepanjang hayat, ia seringkali dikaitkan dengan pembelajaran.

Namun, aktiviti yang melibatkan pembelajaran juga perlu diambil kira bagi mereka yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Antara aktiviti yang disediakan oleh perpustakaan seperti program membaca, teknik membuat kertas penyelidikan, citation course, pembangunan web, seni tulisan khat dan sebagainya.

Secara amnya, perpustakaan dikategorikan tempat kedua selepas institusi pendidikan bagi menyediakan alternatif sumber pembelajaran sepanjang hayat.

Aktiviti yang menarik diselami dengan maklumat dan pembelajaran mampu menambahkan pengetahuan individu khususnya kepada yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Apabila aktiviti seperti bengkel penulisan penyelidikan, program bersama penulis buku dan lain-lainya dapat diturut serta oleh pengunjung yang berminat dalam menambah ilmu mereka tanpa mengira usia.

Program atau aktiviti di perpustakaan dapat dilihat pada kebanyakannya mendapat sambutan yang baik oleh pengunjung apabila dilaksanakan.

Oleh demikian, motif utama aktiviti dilaksanakan bukan sahaja untuk mendapat tarikan pengunjung malah perpustakaan berkehendak supaya masyarakat komuniti menerima maklumat secara adil dan saksama.

Kepelbagaian program dan aktiviti ini telah membuatkan ramai pengunjung perpustakaan menerima ilmu baharu atau menambah baik ilmu sedia ada.

Perpustakaan adalah pusat menimba ilmu selepas institusi pendidikan. Oleh demikian, penyediaan sumber maklumat serta aktiviti yang bersesuaian kepada golongan pembelajaran sepanjang hayat adalah tersedia pada setiap masa.

Individu yang berminat mengisi masa lapang mereka dengan perkara-perkara yang bermanfaat adalah digalakkan untuk menerokai bahan bacaan perpustakaan atau libat urus dengan aktiviti ilmiah yang ditawarkan. – UTUSAN

QUDRI ALI ABU BAKAR
Pustakawan, Khaw & Partners

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN