Inovasi cip tempatan berpotensi jana jualan RM300 juta - Utusan Malaysia

Inovasi cip tempatan berpotensi jana jualan RM300 juta

AKMAL Nasrullah (lima dari kiri) bersama Amirudin Shari (enam dari kanan) ketika gimik pada majlis inisiatif pelancaran enam cip semikonduktor hasil inovasi tempatan di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inovasi cip semikonduktor tempatan berpotensi menjana jualan keseluruhan mencecah RM300 juta, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia memperkukuh kedudukan dalam segmen reka bentuk dan pemilikan teknologi bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pembangunan enam inovasi cip terbaharu oleh syarikat tempatan membuktikan keupayaan modal insan dan jurutera negara menghasilkan teknologi sendiri yang mampu memenuhi keperluan pasaran global.

Menurutnya, selepas lima dekad membina reputasi kukuh dalam rantaian bekalan semikonduktor global, Malaysia kini perlu beralih daripada sekadar hab pembuatan kepada negara yang turut mencipta dan memiliki teknologi sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini, enam inovasi cip tempatan ini memperlihatkan keupayaan kita untuk melangkah daripada pembuatan kepada penciptaan dan pemilikan teknologi.

“Pencapaian ini memberi inspirasi kepada generasi muda bahawa mereka mampu membina kerjaya berkualiti tinggi dan mencipta teknologi bertaraf dunia di tanah air sendiri,” katanya ketika Majlis Pelancaran Inovasi Semikonduktor Generasi Seterusnya Malaysia: Enam Cip Tempatan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Antara inovasi yang ditampilkan merangkumi pemproses AI pinggir MARS1000 oleh SkyeChip untuk aplikasi kamera dan robotik, serta penyelesaian storan aiDAPTIV+ bagi komputer peribadi dan pelayan AI oleh MaiStorage.

Turut diperkenalkan ialah peranti FPGA pertama dibangunkan di Malaysia dan Asia Tenggara oleh SiliconX untuk sektor automotif dan perindustrian, pengawal selia kuasa automotif Maxwell oleh Infinecs, cip pengawal kuasa sistem angkasa oleh Weeroc Space, serta pengawal penerbangan dron autonomi FC Mini oleh Alphaswift.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, inovasi itu membuktikan pasukan jurutera tempatan kini membangunkan teknologi untuk aplikasi global yang mencabar, bukannya sekadar menyumbang kepada produk yang direka di luar negara.

“Sasaran seterusnya bagi kesemua enam syarikat berkenaan adalah untuk mengamankan penerimaan pelanggan, memenuhi piawaian kelayakan industri, serta meningkatkan skala perniagaan ke peringkat komersial.

“Sehubungan itu, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, rakan industri, pelabur dan institusi pendidikan kekal penting bagi membolehkan syarikat tempatan terus berkembang dan menyediakan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya. 

Mengulas mengenai usaha menyelaraskan pelaburan teknologi antara negeri seperti ciptaan cip galium nitrida di Sarawak dan hab reka bentuk di Selangor, Akmal berkata, Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan memanfaatkan kekuatan unik setiap negeri bagi mengelakkan pertindihan.

“Ekosistem semikonduktor ini amat besar dan setiap negeri menawarkan jenis keperluan serta nilai tambah yang berbeza dalam rantaian nilai nasional.

“Kekuatan negara akan datang daripada segmen dan set kemahiran berbeza di peringkat negeri, dan kita perlu berkoordinasi bagi memperkukuh posisi Malaysia di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini