PETALING JAYA: Usaha mengurangkan defisit fiskal perlu diseimbangkan dengan keperluan melindungi kebajikan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2027 tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, meskipun kedudukan fiskal negara menunjukkan penambahbaikan, ruang kewangan kerajaan masih terhad berikutan komitmen perbelanjaan yang tinggi, tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, defisit fiskal diunjurkan berkurang daripada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 kepada 3.3 peratus pada 2027, mencerminkan usaha kerajaan meneruskan konsolidasi fiskal secara berdisiplin.
“Bagaimanapun, pengurangan defisit tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan belanjawan, sebaliknya perlu disertai peningkatan pendapatan rakyat, penyediaan pekerjaan berkualiti dan penambahbaikan mutu perkhidmatan awam.
“Antara cabaran utama kerajaan ialah memenuhi keperluan rakyat ketika kos sara hidup masih menjadi kebimbangan, di samping membiayai pembangunan dan mengawal pertambahan hutang negara.
“Ketidaktentuan harga tenaga dan perdagangan global turut menambah kerumitan dalam mengurus perbelanjaan serta hasil kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Paul berkata, pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang mampu menghasilkan pulangan ekonomi dan sosial tinggi, selain memastikan setiap ringgit wang awam digunakan secara berkesan.
Menurutnya, kerajaan masih mempunyai ruang untuk meneruskan perbelanjaan pembangunan dan menyediakan bantuan kepada rakyat, namun peruntukan berkenaan perlu disalurkan secara lebih terarah bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap kedudukan kewangan negara.
“Perbelanjaan pembangunan yang meningkatkan produktiviti, termasuk dalam sektor pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta bekalan air dan elektrik, perlu diberikan keutamaan,” katanya.
Pada masa sama, bantuan kerajaan perlu disasarkan kepada isi rumah yang benar-benar memerlukan supaya sumber kewangan yang terhad dapat memberikan manfaat maksimum.
“Ruang fiskal juga boleh diperluas melalui peningkatan keberkesanan kutipan hasil, pengurangan pengelakan cukai dan penjimatan perbelanjaan yang kurang produktif,” katanya.
Mengulas mengenai komitmen perbelanjaan kerajaan, beliau berkata, perbelanjaan berulang perlu dirancang berdasarkan sumber hasil yang mampan dan bukannya bergantung kepada hasil sementara yang sukar dikekalkan.
Katanya, kegagalan mengawal defisit dalam jangka panjang boleh meningkatkan keperluan pinjaman kerajaan, sekali gus memperbesar beban pembayaran faedah dan mengehadkan ruang untuk perbelanjaan pembangunan serta kebajikan rakyat.
“Keadaan itu berpotensi mengecilkan ruang perbelanjaan untuk hospital, sekolah, infrastruktur dan bantuan rakyat, selain mengurangkan kemampuan kerajaan bertindak ketika berlaku krisis ekonomi.
“Keyakinan pelabur juga boleh terjejas sekiranya kerajaan gagal mengemukakan pelan pengurusan hutang yang meyakinkan,” katanya.
Bagaimanapun, Paul berkata, penilaian terhadap defisit fiskal perlu mengambil kira tujuan pinjaman digunakan kerana pembiayaan pembangunan yang meningkatkan produktiviti dan menghasilkan pulangan ekonomi mempunyai implikasi berbeza berbanding pinjaman untuk menampung perbelanjaan yang tidak produktif.
Menurutnya, pendekatan fiskal yang berkesan bukan sekadar mengurangkan defisit, tetapi turut memastikan pinjaman kerajaan digunakan bagi meningkatkan kapasiti ekonomi dan menjana manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal yang berhemah dalam Belanjawan 2027 supaya hasil negara dapat dikembalikan kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, penjimatan hasil daripada penambahbaikan tadbir urus dan usaha membendung ketirisan akan disalurkan semula kepada rakyat, selaras dengan keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara tanpa menjejaskan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan. – UTUSAN











