Pahang meterai 12 perjanjian, tarik pelaburan RM421 juta - Utusan Malaysia

Pahang meterai 12 perjanjian, tarik pelaburan RM421 juta

WAN Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) melawat reruai pameran selepas Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Kerajaan Negeri Pahang sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pahang memperkukuh usaha menarik pelaburan ke negeri itu menerusi pemeteraian 12 perjanjian pelaburan komitmen bernilai RM421 juta sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyertaan kerajaan negeri menerusi Invest Pahang dalam acara itu memberi tumpuan kepada kerjasama strategik, pembangunan wilayah dan penerokaan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi.

Katanya, SIBS 2026 turut membuka ruang kepada beberapa cadangan kerjasama strategik merangkumi sektor teknologi digital, tenaga, perindustrian, pendidikan, perumahan dan pelancongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam sektor teknologi digital, PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. merancang kerjasama dengan Dayanex AI Sdn. Bhd. bagi membangunkan perkhidmatan kolokasi pusat data di Pahang Technology Park, Gambang.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) juga merancang kerjasama dengan Microfits Advanced Energy Technologies Sdn. Bhd. untuk membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) bersepadu.

“Bagi Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Pekan, kerjasama yang dirancang pula melibatkan pembangunan infrastruktur digital dan perindustrian pintar, industri pembuatan serta cadangan pembangunan pusat data,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik bersama Kerajaan Negeri Pahang sempena SIBS 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kesemua inisiatif ini mencerminkan usaha kerajaan untuk memperkukuh daya saing industri negeri melalui penggunaan teknologi moden, infrastruktur yang bersesuaian dan penerokaan sektor ekonomi baharu.

Beliau berkata, dalam aspek pembangunan modal insan, UCYP University dan Cornell Leadership Academy akan bekerjasama dalam bidang industri halal, pelancongan dan hospitaliti, manakala aYP Advanced Skills dan Cornell Leadership Academy akan memberi tumpuan kepada latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jelasnya, kerjasama ini penting bagi memastikan keperluan tenaga kerja mahir dapat dipenuhi dan anak-anak Pahang mempunyai peluang untuk menjadi tenaga kerja, usahawan serta profesional dalam sektor yang sedang berkembang.

“Dalam sektor perumahan, kerjasama antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad bertujuan membantu memudahkan akses pembiayaan di bawah skim perumahan Kerajaan Negeri.

“Bagi sektor pelancongan pula, selain kerjasama mempromosikan King’s Park Genting Highlands sebagai destinasi mesra Muslim, Kerajaan Negeri turut meneroka cadangan kerjasama dengan Tradewinds Corporation Berhad berhubung pembangunan semula Resort Mutiara Taman Negara.

“Kita melihat pelancongan sebagai sektor yang mampu menjana pendapatan, merancakkan perniagaan tempatan dan membuka peluang pekerjaan, khususnya kepada masyarakat di sekitar destinasi pelancongan,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua kerjasama ini memperlihatkan kepelbagaian potensi ekonomi Pahang dan perancangan teliti dan keupayaan membawa setiap inisiatif ke peringkat pelaksanaan.

“Kita mahu setiap projek mempunyai hala tuju yang jelas, berdaya maju dan akhirnya memberikan manfaat yang boleh dirasai oleh rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Pahang memberi penekanan kepada pembangunan Pahang Barat, di samping terus memanfaatkan potensi Pahang Timur dalam sektor perindustrian, pelabuhan, perdagangan dan logistik.

“Pahang Barat mempunyai potensi besar dalam pembangunan bandar, pelancongan, pertanian moden, industri serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Kedua-dua wilayah ini perlu dibangunkan secara seimbang dan saling melengkapi bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih menyeluruh, mampan dan berdaya saing.

“Inilah semangat Aspirasi Pahang 1st, iaitu memastikan pembangunan dirancang dengan jelas, membuka peluang kepada rakyat dan memberikan manfaat untuk jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini