Peminat tidak teruja ke stadium?

Peminat tidak teruja ke stadium?

Pekan Ramli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin ‘malap’ apabila kehadiran penonton ke stadium dilihat kurang memberangsangkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai daya tarikan liga domestik dalam menarik minat penyokong terhadap perkembangan pasukan masing-masing.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata situasi berkenaan berpunca daripada pelbagai faktor yang membelenggu ekosistem bola sepak tempatan, termasuk isu kontroversi yang berulang sehingga menjejaskan bahang dan keterujaan menjelang permulaan musim.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan peminat tidak lagi merasakan keterujaan untuk mengikuti perkembangan setiap pasukan, terutama apabila persiapan menjelang saingan liga tidak memperlihatkan petanda jelas bahawa setiap kelab benar-benar bersedia untuk mencabar kejuaraan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila kita melihat persiapan pasukan, seolah-olah semuanya berjalan seperti biasa. Tidak nampak ada pasukan yang benar-benar menunjukkan mereka mahu membuat persiapan rapi untuk memberikan saingan kepada kejuaraan liga musim ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa sesetengah pasukan tidak cukup lapar dan dahagakan kejayaan, seolah-olah sudah menerima hakikat bahawa mereka sukar menyaingi kekuatan pasukan tertentu dalam perebutan kejuaraan.

Katanya, dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi antara faktor yang perlu dilihat dalam menilai persaingan liga, khususnya apabila pasukan lain dilihat kurang memperlihatkan keyakinan untuk mencabar kedudukan juara bertahan itu secara serius.

“Apabila pasukan sendiri tidak yakin mampu bersaing, mereka mungkin tidak sanggup berbelanja besar atau melakukan persiapan yang benar-benar mantap. Akhirnya, perkara yang sepatutnya menjadi tarikan kepada penonton tidak dapat ditonjolkan,” katanya.

Pekan berkata, usaha menarik penyokong ke stadium perlu bermula daripada kesungguhan kelab membentuk pasukan kompetitif, mendapatkan pemain berkualiti dan memperlihatkan cita-cita yang jelas untuk merebut kejuaraan, bukannya sekadar meneruskan penyertaan dalam liga.

Beliau berpandangan kehadiran penonton bagi JDT mungkin tidak menunjukkan perubahan ketara kerana pasukan itu sudah mempunyai penyokong dan tarikan tersendiri, namun situasi berbeza bagi kelab lain yang perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan peminat supaya kembali memenuhi stadium.

“Kalau kelab mahu orang datang ke stadium, mereka perlu tunjukkan usaha sejak awal. Persiapan mesti bersungguh-sungguh, ada usaha mendapatkan pemain terbaik dan ada keinginan untuk merampas kejuaraan. Semua elemen itu perlu ditonjolkan kepada penyokong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat Kuching City FC sebagai antara pasukan yang mempunyai potensi mengekalkan tarikan penonton menerusi faktor lokaliti, apabila hubungan dengan komuniti setempat boleh menjadi asas penting untuk membina sokongan terhadap pasukan.

Bagaimanapun, katanya, faktor lokaliti sahaja tidak mencukupi sekiranya kelab gagal memperlihatkan cita-cita untuk bersaing pada tahap lebih tinggi, selain membina keyakinan penyokong bahawa pasukan mereka mampu memberikan tentangan yang bermakna.

Pekan berkata, gabungan persaingan yang kurang meyakinkan, persiapan pasukan yang tidak cukup menonjol dan isu kontroversi dalam ekosistem bola sepak tempatan boleh menjejaskan minat peminat untuk mengikuti Liga M. 

“Jika keadaan itu berterusan, liga domestik berdepan cabaran untuk mengembalikan keterujaan penyokong, sekali gus memerlukan kelab membuktikan bahawa mereka bukan sekadar mahu bertahan, sebaliknya benar-benar dahagakan kejayaan,’ katanya.

Musim lalu, JDT menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah kehadiran penyokong ke stadium apabila merekodkan 145,986 jumlah kehadiran penonton bagi saingan Liga Super selain 72,109 penonton bagi Piala FA dan 31,004 untuk Piala Malaysia.

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan 106,123 kehadiran penonton membabitkan saingan Liga Super, manakala 30,056 penonton bagi saingan Piala FA dan 12,665 untuk Piala Malaysia.

Kuching City pula merekodkan 51,102 penonton bagi Liga Super, malah mereka mencatat angka kehadiran tinggi bagi pertandingan Piala FA (30,233 penonton) dan Piala Malaysia (35,885). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini