Ketua keras kepala beri kesan terhadap kesihatan mental pekerja

Ketua keras kepala beri kesan terhadap kesihatan mental pekerja

KEADAAN ini menekankan keperluan mendesak bagi majikan dan organisasi untuk mengambil langkah-langkah konkrit dalam menjaga kesejahteraan mental pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajian terkini menunjukkan bahawa ketua yang keras kepala atau toksik boleh memberi kesan negatif yang mendalam terhadap kesihatan mental dan fizikal pekerja. Penyelidikan yang dijalankan pakar-pakar di institusi terkemuka mendapati pekerja yang berada di bawah ketua yang sukar untuk tempoh lama mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit jantung.

Laporan-laporan terbaharu mendedahkan pengurus mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap kesihatan mental pekerja. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan seorang ketua dalam membentuk persekitaran kerja yang sihat dari segi kesejahteraan mental.

Situasi ini bermakna sebahagian besar tenaga kerja mengalami tekanan psikologi yang signifikan akibat tugas harian. Kesan negatif ini bukan sekadar terhad kepada waktu bekerja di pejabat, malah ia merebak seperti wabak ke pelbagai aspek kehidupan peribadi pekerja seperti kehidupan di rumah, kesejahteraan dan hubungan peribadi.

Keadaan ini menekankan keperluan mendesak bagi majikan dan organisasi untuk mengambil langkah-langkah konkrit dalam menjaga kesejahteraan mental pekerja. Tindakan ini bukan sahaja penting untuk kesihatan individu, tetapi juga untuk produktiviti dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Gaya pengurusan ketua yang keras kepala sering dicirikan tidak fleksibel, kekurangan empati, dan pengabaian kebajikan pekerja. Sikap sedemikian boleh mencetuskan pelbagai kesan negatif terhadap pekerja, termasuk peningkatan tahap tekanan dan kebimbangan, penurunan produktiviti dan kepuasan kerja, risiko kepenatan melampau, kemurungan yang lebih tinggi serta kesan buruk terhadap kesihatan fizikal.

Teori Kepimpinan Transformasional oleh James MacGregor Burns menawarkan perspektif yang bertentangan dengan gaya kepimpinan keras kepala ini. Teori ini mengutamakan pemimpin yang berupaya memotivasi dan menginspirasi pekerja, bukan sekadar memberi arahan.

Pemimpin transformasional memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja, menggalakkan kreativiti dan mewujudkan persekitaran kerja yang positif, iaitu pendekatan yang jauh berbeza daripada ketua yang cenderung mengabaikan keperluan dan kebajikan pekerja.

Bagi menangani isu ini, organisasi perlu mengambil langkah-langkah proaktif. Hal ini termasuk menyediakan latihan kepada pengurus tentang kepentingan kesihatan mental pekerja, memupuk budaya maklum balas yang berterusan, menyediakan sumber dan sokongan kesihatan mental, serta menerapkan dasar yang menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan. – UTUSAN

Nurul Nisha Mohd. Shah
Pensyarah, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN