SAUDARA PENGARANG
DALAM usaha memperkukuh hubungan pendidikan dan budaya antara Malaysia dan Indonesia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMB Yogyakarta) telah menganjurkan satu program pertukaran budaya dari kedua-dua buah negara.
Pelajar UPSI, sebagai contoh, diberi peluang untuk mempelajari cara untuk bermain alat gamelan dan mengetahui kepelbagaian tarian di Indonesia sementara pelajar UMB Yogyakarta dapat mengenal budaya Malaysia seperi tarian dan alat muzik yang ada di Malaysia. Mereka turut membuat lawatan kebudayaan dengan melawat kawasan-kawasan yang banyak memberikan kesan budaya di Yogyakarta seperti Chandi Borobudur.
Hubungan sosial antara mahasiswa juga semakin erat melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Pelajar dari kedua-dua negara dilihat bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu semasa, berkongsi pengalaman hidup dan mempererat tali persahabatan.
Pelbagai aktiviti turut dijalankan seperti bengkel kesenian, sesi dialog dan lawatan kebudayaan. Peserta dari kedua-dua universiti ini berpeluang mengenali dan memahami tradisi, adat serta nilai budaya yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia.
Ini membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama antara UPSI dan UMB Yogyakarta pada masa hadapan, antaranya mengembangkan program ini ke dalam bentuk yang lebih meluas, seperti penganjuran seminar antarabangsa, penerbitan bersama dalam jurnal akademik dan pertukaran tenaga pengajar.
Persilangan budaya ini merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, sambil memupuk rasa hormat dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian budaya serantau. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga menyumbang kepada usaha globalisasi pendidikan di peringkat serantau. – UTUSAN
MOHAMAD ASRI SEMAN
DAN NETELIE NUIL
Universiti Pendidikan Sultan Idris










