Revolusikan kepimpinan masa hadapan

Revolusikan kepimpinan masa hadapan

INTEGRASIKAN nilai-nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan terutama di peringkat sekolah dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa dan beretika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASYARAKAT Islam di Malaysia kini memerlukan revolusi pembaharuan di peringkat nasional bagi memacu gaya tradisional kepimpinan dengan inovasi yang berprinsipkan kenegaraan dan falsafah agar fenomena kecelaruan moral tidak menghantui negara. 

Istilah pemimpin bukan sahaja bagi mereka yang memimpin atau mengurus kebajikan mereka yang berada dibawah pimpinan namun setiap orang boleh dianggap sebagai pemimpin terutama kepada diri-sendiri.

Pembangunan karakter pemimpin yang holistik seharusnya bermula di peringkat sekolah menerusi semangat kerjasama dalam aktiviti ko-kurikulum dan pencapaian akademik, yang akan membantu mengembangkan dan mematangkan pemikiran belia. Perkara seperti ini penting dalam melibatkan generasi muda dalam pembangunan negara, terutamanya dalam aspek sivik dan politik.

Dengan penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, golongan belia seharusnya memahami hal-ehwal negara agar penglibatan mereka dalam proses demokrasi tempatan dapat dijalankan secara berprinsip dan rasional tanpa mengalami krisis yang boleh merugikan negara. 

Akan tetapi, pembelajaran politik kenegaraan dan politik pentadbiran yang bersifat komprehensif masih tiada di peringkat sekolah. Oleh itu, isu ini boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap keupayaan golongan belia dalam memahami isu politik kenegaraan dan pentadbiran kerajaan.

Tanpa panduan, mereka berkemungkinan akan terpengaruh dengan naratif negatif dan ideologi politik yang bersifat ekstrem. Kewujudan polarisasi sosial dan ekstremisme hanya akan dapat diatasi seandainya golongan belia memiliki sifat komited terhadap budaya kepimpinan yang kukuh. Maka, reformasi sistem pendidikan harus dilaksanakan.

Oleh yang demikian, pengenalan subjek pendidikan falsafah dan kenegaraan di peringkat sekolah sangat dialu-alukan. Hal ini kerana pembelajaran ini akan membantu golongan belia dalam menilai semula andaian dan persepsi mereka serta memupuk pemikiran yang bebas, supaya bebas daripada pengaruh yang bersifat negatif. 

Selain itu, transformasi kepada sistem pendidikan dengan mengintegrasikan nilai-nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan terutama di peringkat sekolah dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa dan beretika amat diperlukan. 

Secara ringkasnya, pengenalan subjek kenegaraan dan falsafah akan membantu golongan belia dalam memahami dan menghayati falsafah pendidikan kebangsaan dan Rukun Negara secara kritis dan merdeka. Selain itu, golongan belia juga akan memperolehi kesedaran bahawa wujudnya usaha global kolonialisme negara dalam pelbagai cara bukan sekadar jasmani tetapi dalam bentuk kolonialisasi rohani, emosi dan intelek. Selain itu, pendidikan kenegaraan dan falsafah juga dapat melahirkan cendekiawan yang mampu berfikir secara beradab, rasional dan kritis. 

Dengan secara tidak langsung akan mewujudkan budaya kepimpinan yang dapat meredakan ketegangan politik dengan menggalakkan pemahaman dan toleransi. Hasilnya, akan wujud suatu fenomena dialog konstruktif berkenaan dasar negara secara lebih terbuka tanpa gangguan politik yang negatif. 

Sungguhpun ramai yang beranggapan subjek seperti kenegaraan dan falsafah adalah ilmu pengetahuan yang berat, meletihkan dan tidak sesuai di peringkat sekolah, namun sebenarnya ilmu ini menitipkan pengajaran dalam mengatur langkah seterusnya dalam membina tamadun dan kepimpinan. Justeru, pendidikan kenegaraan dan falsafah sangat berpotensi merevolusikan gaya kepimpinan tradisional dengan menghasilkan budaya kepimpinan yang baru dan bersifat unik. – UTUSAN

MOHD AMMYRUL ASHRAF SAIRAN

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah

Universiti Utara Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN