SAUDARA PENGARANG,
SIAPA yang tahu isi hati mereka? Murid-murid darjah empat, lima, dan enam di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga (SKFBT) sangat istimewa, meskipun berdepan dengan cabaran utama dalam bentuk kelainan pembelajaran.
Di sebalik senyuman dan semangat mereka, tersembunyi impian dan cita-cita, walaupun mereka harus menempuh perjalanan yang lebih sukar berbanding rakan-rakan sebaya.
Di sekolah ini, mereka bukan sahaja belajar membaca, menulis, dan mengira seperti kanak-kanak lain, tetapi juga bergaul, berkomunikasi, dan bekerjasama dalam usaha untuk menjadi setara dengan rakan-rakan yang lain.
Mereka mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami sesuatu konsep atau menyelesaikan tugasan, namun semangat dan ketabahan mereka dapat dilihat dalam setiap sesi Program Membaca dan Bercerita yang dijalankan.
Kelainan pembelajaran yang dialami oleh murid bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh kita semua. Disleksia, disgrafia, dan diskalkulia adalah antara cabaran yang memerlukan sokongan yang lebih intensif daripada ibu bapa, guru, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling.
Sokongan ini tidak hanya datang dalam bentuk akademik, tetapi juga dalam bentuk emosi dan sosial, yang penting untuk membina keyakinan diri mereka.
Cabaran sosial, latar belakang keluarga dan kesempitan hidup sesetengah murid ini juga adalah cabaran luaran yang perlukan perhatian. Kelainan dan cabaran ini tentu sekali memerlukan sokongan sumber dan bimbingan yang lebih intensif dari kita semua, ibu bapa, guru, kawan-kawan, dan masyarakat sekeliling.
Cerita mereka adalah inspirasi kepada kita semua, mengingatkan bahawa di sebalik setiap cabaran, terdapat peluang untuk cemerlang. Kita semua mempunyai peranan untuk memastikan mereka mendapat peluang tersebut. Dengan bimbingan dan sokongan yang betul, tiada impian yang terlalu jauh untuk dicapai, tiada cita-cita yang terlalu tinggi untuk diraih. – UTUSAN
PROFESOR DR. ZULIKHA JAMALUDIN
Universiti Utara Malaysia










