SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA mencatatkan kemerosotan dalam kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA). Kemerosotan itu berlaku dalam Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.
Terdapat beberapa langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya menggabungkan teknologi dalam pembelajaran seperti penggunaan bahan sokongan dalam talian iaitu kaedah pembelajaran seperti blended learning.
Salah satu kelebihan utama ialah fleksibilitinya. Pelajar boleh belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja dan tidak terhad dalam kelas. Pendidikan lebih mudah diakses terutamanya bagi mereka yang mempunyai jadual atau komitmen yang berbeza-beza. Selain itu, penggunaan analisis data serta komponen dalam talian membantu guru menjejak kemajuan pelajar, mengenal pasti bidang kesukaran dan menyesuaikan arahan untuk memenuhi keperluan individu.
Antara kelebihan lain dalam blended learning ialah meningkatkan interaksi dan kolaborasi antara pelajar dan guru. Penggunaan forum perbincangan dalam talian, belajar secara maya dengan platform kolaborasi seperti Google Docs, Microsoft Teams, Google Meet, Youtube dan Blackboard membolehkan pelajar bekerjasama dalam tugasan dan projek.
Perkara ini akan memberi peningkatan dalam kualiti pengajaran kerana guru boleh menyampaikan bahan pembelajaran dengan cara yang lebih menarik dan berkesan. Gabungan visual seperti grafik, peta konsep, atau simulasi interaktif berupaya menerangkan konsep yang kompleks menjadi lebih mudah dan menarik. Ini membantu pelajar memahami topik dengan lebih baik melalui pendekatan yang lebih kreatif.
Kaedah pembelajaran secara blended learning memberikan pelbagai manfaat yang dapat meningkatkan pengalaman pendidikan buat guru dan pelajar. Dengan memanfaatkan teknologi secara efektif, blended learning dapat menghasilkan pendidikan yang lebih fleksibel, menarik dan berkesan. Melalui pendekatan ini, guru dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi cabaran masa depan. – UTUSAN
RASFAN ABU BAKAR
Mantan dekan Fakulti Animasi & Multimedia ASWARA










