SAUDARA PENGARANG,
PELANCARAN Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024-2028) amat kita alu-alukan dan memberi harapan baharu dalam menangani barah rasuah yang membimbangkan.
Apatah lagi kita dikejutkan dengan kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa negara kehilangan RM277 bilion dalam tempoh lima tahun lalu kerana pengamalan rasuah.
Kita juga mengikuti rapat isu rasuah dalam kalangan penjawat awam, misalnya membabitkan pengambilan rasuah oleh pegawai-pegawai kastam di pintu masuk negara kita. Seolah-olah perkara ini telah berlarutan agak lama dan tiada jalan penyelesaian.
Itu belum lagi melihat pelbagai kes berprofil tinggi dan membabit individu terkenal, yang membawa kepada tiada tindakan lanjut (No Further Action), hingga mengundang kecaman pelbagai pihak.
Jadi, selepas pengenalan NACS, apa pula pelan tindakan susulan. Bagaimana hendak menterjemahkan semua inisiatif membabitkan lima strategi utama, baik jangka pendek, sederhana mahupun jangka panjang.
Mendengar ucapan Perdana Menteri, kerajaan memang serius dalam menangani rasuah, seperti yang beliau laungkan semasa menjadi pemimpin pembangkang.
Kedapatan selama ini, ada kes rasuah ini, yang terlibat sekadar dipindahkan, diberhentikan atau diturunkan pangkat. Tindakan sedemikian amat tidak memadai, malah tiada sebarang pendakwaan di mahkamah.
Penghapusan rasuah perlukan iltizam politik, ketelusan pelbagai institusi dan pelaksanaan yang efektif. Baik kes rasuah besar mahupun kes kecil, perlu ditangani secara serius.
Kita tidak mahu NACS menjadi satu lagi program kerajaan yang tumpul dan tidak berkuku, apatah lagi pada era sekarang, di mana perbuatan itu dilakukan secara lebih licik, kreatif dan canggih.
Kita mahu kerajaan bertindak seperti apa yang dikatakan (Walk the talk). Kesungguhan Perdana Menteri perlu disokong dan disambut semua pihak. Hentikan bayaran komisen yang salah, rundingan bawah meja dan permainan di belakang tabir yang sudah sekian lama berlaku. – UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor










