Pembangunan terlalu berpusat di Lembah Klang

Pembangunan terlalu berpusat di Lembah Klang

KEPERLUAN untuk menempatkan semula industri di luar Lembah Klang adalah penting untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan kualiti hidup, dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. – UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN masalah kesesakan di Lembah Klang sebenarnya bukan mengenai betapa banyaknya kenderaan di jalan raya, tetapi soal pembangunan negara yang terlalu berpusat di Lembah Klang.

Maka sudah tiba waktunya limpahan kemakamuran ini diperluaskan dengan menempatkan semula sebanyak mungkin sektor industri dan pekerjaan di luar Kuala Lumpur.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk merealisasikan hal ini adalah dengan membangun dan menambah baik sistem pengangkutan awam di luar Lembah Klang.

Sistem ini perlulah cekap, berpatutan dan boleh diakses oleh segenap penduduk. Selain itu, rangkaian jalan raya, komunikasi, serta capaian internet perlu juga dinaik taraf dan diperluaskan untuk menampung pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.

Syarikat-syarikat juga perlulah diberikan lebih banyak insentif kewangan untuk menarik mereka untuk melabur di luar Lembah Klang.

Contohnya, mereka boleh diberi pelepasan atau pengurangan cukai jika menjalankan operasi di kawasan yang ditetapkan di luar bandar.

Mereka juga boleh diberikan geran atau subsidi untuk menampung sebahagian daripada kos yang berkaitan dengan penubuhan infrastruktur, kemudahan, atau program latihan pekerja mereka di lokasi baharu.

Sokongan kewangan untuk pekerja yang berpindah ke kawasan pinggir bandar atau luar bandar juga boleh diwujudkan, termasuk bantuan dengan perbelanjaan pindah, perumahan dan persekolahan untuk tanggungan mereka.

Proses desentralisasi pembangunan perindustrian secara strategik akan membuka jalan kepada komuniti luar Lembah Klang yang seimbang, berdaya saing dan saling membantu demi memacu kemakmuran negara secara keseluruhannya. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi Mara
Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN