2023 tahun cemerlang buat Jabatan Peguam Negara

2023 tahun cemerlang buat Jabatan Peguam Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELITI segala pencapaian Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Tan Sri Idrus Harun dan kemudiannya di bawah Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sejak 6 September 2023, banyak sekali kejayaan cemerlang yang telah dicapai olehnya sepanjang tahun lalu.

Antara kejayaan penting AGC ialah membawa Malaysia mencapai kemenangan di Mahkamah Rayuan Paris, Mahkamah Rayuan Den Haag dan Mahkamah Luxembourg menentang tuntutan kewangan melampau yang dibuat oleh lapan individu yang mendakwa pewaris Sultan Sulu.

Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 juga telah dibentangkan pada 29 November 2023 bagi menerima pakai kekebalan negara asing daripada bidang kuasa mahkamah sekali gus boleh membuka hati kerajaan negara asing untuk turut memberikan kekebalan kepada Malaysia.

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa pada 4 Julai tahun lalu dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) berkuat kuasa pada 12 September 2023 memberikan Mahkamah Persekutuan bidang kuasa semakan untuk menilai semula hukuman mati dan penjara seumur hidup yang dikenakan, yang mana AGC telah berjaya menyelesaikan 40 daripada 42 permohonan semakan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Seterusnya ialah pemansuhan seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri dengan menganggap orang yang berjuang dengan kesakitan dan dilema mental sebagai mangsa dan pesakit bukan penjenayah; diikuti dengan pindaan ke atas Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) bagi merujukkan mangsa percubaan bunuh diri untuk pemeriksaan dan rawatan di hospital psikiatri.

Sepanjang tahun lalu juga, AGC telah berjaya mempertahankan kepentingan kerajaan dalam kes-kes kepentingan awam. Antaranya ialah kes Peter Anthony lwn Riduan Rubin dan 3 Ors, yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seseorang yang telah disabitkan dalam kesalahan jenayah dan dihukum penjara tetap menjadi individu yang tidak layak dalam pengertian Perkara 48(1) dan (5) Perlembagaan Persekutuan.

Kes lain ialah kes Salconmas Sdn. Bhd. lwn Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Anor dalam mana Mahkamah Persekutuan membatalkan suatu anugerah arbitral ‘tidak berasas dan melampau’ sebanyak RM144,730,780 juta di bawah perenggan 37(2)(b)(ii) Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) atas alasan dasar kepentingan awam.

Satu lagi kes ialah kes Kartini Farah Abdul Rahim dan Anor lwn Polis Diraja Malaysia dan Ors (2023), kes ini adalah contoh yang menggambarkan ujian ambang dua peringkat yang harus dipenuhi pada peringkat kebenaran dalam sebarang cabaran terhadap kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

AGC telah berjaya mendakwa dan memperoleh hukuman penjara selama 22 tahun terhadap pengasas Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, Siti Bainun Ahd Razali, dalam kes malang penderaan kanak-kanak Bella yang mencetuskan reaksi ramai.

AGC juga telah berjaya memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan diterjemahkan ke dalam bentuk undang-undang. Antara undang-undang penting yang telah diluluskan pada tahun lalu ialah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 (Akta A1681) dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 (Akta A1682) untuk memperkenalkan kesalahan jenayah mengintai.

Selainnya ialah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 (Akta A1687) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 (Akta A1688) bagi perlindungan yang lebih baik bagi kanak-kanak dan bagi meningkatkan prosedur yang berkaitan dengan perbicaraan yang melibatkan saksi kanak-kanak.

PERKHIDMATAN PARLIMEN
Seterusnya ialah pengenalan semula undang-undang berkenaan perkhidmatan Parlimen iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen, bertujuan untuk membuka jalan kepada kebebasan Parlimen dalam mengendalikan urusannya sendiri termasuk mengawal perbelanjaan dan pengambilan kakitangannya serta penyediaan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber.

Selain itu, 42 Rang Undang-Undang telah digubal dan dibentangkan manakala 898 undang-undang subsidiari telah diterbitkan dalam Warta, yang mana semua ini adalah langkah-langkah substantif untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih adil dan lebih adil.

Banyak lagi sumbangan besar lain yang telah diberikan oleh AGC sepanjang tahun lalu, termasuk kejayaannya merundingi dan memuktamadkan perjanjian serta triti bilateral dan multilateral antara Malaysia dan negara asing lain, khasnya pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia-Indonesia yang mula dirundingkan sejak 2005.

AGC juga telah berjaya memperoleh kelulusan Kabinet untuk meminda Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) dan telah membentangkannya bagi bacaan kali pertama pada 27 November 2023 untuk meningkatkan peruntukan Akta 621 dalam menyediakan bantuan undang-undang timbal balas (MLA) dalam hal ehwal jenayah.

Berdasarkan kepada segala peranan penting dan sumbangan besar yang telah diberikan oleh AGC sepanjang tahun tahun lalu, maka adalah amat tidak wajar untuk mana-mana pihak mengambil mana-mana cebisan kecil keputusan AGC yang dilaksanakan di dalam ruang lingkup bidang kuasanya untuk memperlekehkan kewibawaan AGC.

Seperti yang telah ditegaskan oleh Ahmad Terrirudin dalam ucapan sulungnya sebagai Peguam Negara di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 pada 15 Januari lalu, AGC harus dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya dengan selamat di dalam batasan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis tanpa campur tangan luar yang tidak perlu.

Paling mengujakan adalah seruan Ahmad Terrirudin supaya ditingkatkan kerjasama antara AGC, badan kehakiman dan Majlis Peguam bagi mengekalkan keyakinan rakyat ke atas sistem keadilan negara. Keprofesionalan, termasuk jaminan beliau bahawa AGC tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Majlis Peguam dalam lebih meningkatkan dan memperbaiki sistem undang-undang dan jurisprudens, amat dialu-alukan.

Mengulangi kata-kata beliau di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024, peranan AGC dalam sistem keadilan bukanlah semata-mata untuk menang pada apa-apa kos, tetapi untuk mendakwa atau menjalankan kes dengan adil, secara bebas dan telus berdasarkan bukti.-UTUSAN

DR. Mohd. Zakhiri Md. Nor ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×