Perpaduan bermula dengan komunikasi

Perpaduan bermula dengan komunikasi

PERPADUAN bermula apabila memilih untuk berkomunikasi dengan hormat, mendengar dengan empati dan memahami sebelum menilai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sudah sekian lama hidup sebagai masyarakat majmuk, Malaysia masih berdepan persoalan tentang tahap perpaduan nasional. Hidup bersama dalam sebuah negara belum tentu menjamin persefahaman yang kukuh. 

Kepelbagaian sering dianggap sebagai kekuatan negara. Namun, tanpa persefahaman, kepelbagaian itu belum mampu membentuk kesepaduan yang benar-benar kukuh. Justeru, komunikasi silang budaya perlu dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan perbezaan etnik, agama, bahasa, pendidikan dan latar sosial.

Secara asasnya, komunikasi silang budaya merujuk kepada interaksi antara individu daripada latar belakang berbeza. Amalan ini penting kerana setiap kelompok mempunyai nilai, adat dan cara berkomunikasi tersendiri. Tanpa pemahaman yang baik, perbezaan tersebut mudah mencetuskan salah tafsir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara punca ketegangan dalam masyarakat ialah penggunaan bahasa yang tidak sensitif, gurauan menyentuh agama atau adat serta penyebaran kandungan media sosial tanpa memahami konteks. Dalam keadaan sedemikian, komunikasi silang budaya mengajar kita supaya berfikir sebelum bercakap dan memahami sebelum membuat penilaian.

Perpaduan sebenar turut bergantung pada kepercayaan. Nilai tersebut tidak boleh diwujudkan hanya melalui peraturan, sebaliknya perlu dibina menerusi interaksi yang jujur, hormat dan konsisten. Apabila masyarakat saling mempercayai, hubungan antara komuniti menjadi lebih kukuh.

Komunikasi yang baik juga membuka ruang kepada empati. Dengan memahami pengalaman dan perspektif orang lain, kita lebih mudah bertolak ansur serta menghormati perbezaan. Interaksi di sekolah, universiti, tempat kerja, kawasan kejiranan dan ruang awam boleh menjadi peluang untuk mengenali individu daripada latar yang berbeza.

Hubungan secara langsung juga membantu menghapuskan stereotaip yang terbina daripada andaian atau khabar angin. Apabila kita mengenali budaya lain melalui pengalaman sebenar, kita lebih memahami tradisi, makanan, bahasa, perayaan serta pantang larang masyarakat berkenaan.

Dalam era digital, keperluan berkomunikasi secara berhemah menjadi semakin penting. Setiap komen, hantaran dan perkongsian boleh tersebar dengan pantas serta memberi kesan kepada hubungan antara kaum.

Masyarakat perlu memilih kata-kata dengan bijaksana, mengelakkan penghinaan terhadap agama dan budaya serta menolak kandungan yang berpotensi mencetuskan kebencian.

Pada masa sama, kita perlu belajar mendengar secara aktif. Tidak semua perbezaan pandangan memerlukan reaksi segera. Memahami konteks sebelum memberikan respons dapat mengelakkan kesimpulan terburu-buru dan mengurangkan salah faham.

Perpaduan juga tidak akan terbina jika masyarakat hanya bergaul dalam kelompok sendiri. Setiap individu perlu berani keluar daripada zon selesa dan memperluaskan hubungan merentasi kaum serta budaya. Aktiviti bersama, kerja sukarela, program komuniti dan perbincangan terbuka boleh menjadi ruang membina kepercayaan.

Setiap rakyat mempunyai peranan sebagai ejen perpaduan, sama ada sebagai ibu bapa, guru, pelajar, penjawat awam, pemimpin masyarakat atau pengguna media sosial.

Sikap menghormati kepelbagaian perlu diterjemahkan melalui tindakan harian, termasuk membetulkan salah faham dengan fakta, menolak ucapan kebencian dan menunjukkan teladan komunikasi yang matang.

Akhirnya, perpaduan tidak lahir hanya melalui slogan atau sambutan Hari Kebangsaan. Ia terbentuk melalui ribuan interaksi kecil yang berlaku setiap hari. Kita tidak perlu menjadi sama untuk hidup bersatu. Sebaliknya, kita perlu belajar memahami dan menghormati perbezaan.

Perpaduan bermula apabila kita memilih untuk berkomunikasi dengan hormat, mendengar dengan empati dan memahami sebelum menilai. –UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat),  Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini