PERNYATAAN universiti perlu memberikan impak nyata, bukan sekadar mencatat pencapaian yang kelihatan baik di atas kertas tetapi menjadi titik tolak penting kepada transformasi sistem pendidikan tinggi negara.
Pendekatan ini menuntut perubahan daripada budaya yang hanya berorientasikan hasil akademik kepada budaya mengutamakan impak sebenar terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Universiti awam tidak lagi boleh beroperasi secara terasing atau kekal sebagai menara gading, sebaliknya perlu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, rakan strategik kerajaan dan industri serta penyelesaian kepada pelbagai cabaran masyarakat.
Perubahan ini bermula dengan memahami perbezaan antara hasil dan impak. Hasil merujuk kepada pencapaian langsung universiti seperti bilangan artikel jurnal yang diterbitkan, graduan dilahirkan, geran penyelidikan diperoleh atau kertas dasar yang dihasilkan.
Impak pula ialah perubahan sebenar yang terhasil daripada pencapaian tersebut, sama ada dalam bentuk dasar kerajaan yang ditambah baik, teknologi yang digunakan industri, peningkatan pendapatan komuniti atau penyelesaian kepada masalah sosial.
Sebagai contoh, penerbitan 20 artikel mengenai teknologi pertanian hanyalah satu hasil. Impak sebenar berlaku apabila teknologi itu meningkatkan hasil tanaman petani, mengurangkan kos pengeluaran atau membantu industri pertanian beroperasi dengan lebih cekap.
Dalam kata lain, impak ialah perubahan yang berlaku kepada masyarakat hasil daripada penyelidikan tersebut.
Atas sebab itu, impak wajar dijadikan petunjuk prestasi utama universiti. Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh negara dan rakyat.
Jika universiti hanya menghasilkan penerbitan tanpa memberi kesan kepada pembangunan negara, maka pulangan terhadap pelaburan awam tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan.
Universiti yang memberi tumpuan kepada impak juga akan menjadi lebih relevan dengan keperluan semasa.
Penyelidikan akan digerakkan berdasarkan isu sebenar yang dihadapi kerajaan, industri dan masyarakat, bukan semata-mata untuk memenuhi sasaran penerbitan.
Pendekatan ini membolehkan universiti berperanan sebagai pemangkin pembangunan negara dan bukannya sekadar pusat penghasilan ilmu.
Pada masa ini, penilaian prestasi universiti masih banyak bergantung pada jumlah penerbitan ilmiah, kedudukan dalam penarafan antarabangsa, reputasi akademik serta nilai geran penyelidikan.
Walaupun semua aspek tersebut penting, namun belum mencukupi jika tidak disertai mekanisme yang mampu menterjemahkan hasil penyelidikan kepada manfaat sebenar untuk industri dan masyarakat.
Pengalaman universiti terkemuka dunia membuktikan impak boleh dijadikan ukuran utama kecemerlangan.
Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Universiti Stanford misalnya berjaya membangunkan ekosistem inovasi melalui Pejabat Pemindahan Teknologi yang profesional serta kerjasama rapat dengan pelabur. Hasilnya, ribuan syarikat terbitan berjaya diwujudkan dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi.
Di United Kingdom (UK), Rangka Kerja Kecemerlangan Penyelidikan (REF) meletakkan kajian kes impak sebagai sebahagian penting daripada penilaian universiti.
Institusi pengajian tinggi perlu membuktikan penyelidikan mereka mempengaruhi dasar kerajaan, meningkatkan kesejahteraan masyarakat atau menjana manfaat ekonomi, bukan sekadar menghasilkan penerbitan ilmiah.
Pendekatan yang sama turut diamalkan Universiti Twente di Belanda serta Universiti Aalto di Finland melalui kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan.
Di Australia pula, Universiti Canterbury melaksanakan penyelidikan secara reka bersama dengan melibatkan pihak berkepentingan sejak peringkat awal bagi memastikan hasil kajian benar-benar memenuhi keperluan pengguna.

BERUBAH
Bagi merealisasikan perubahan ini, universiti awam di Malaysia perlu melakukan reformasi terhadap sistem penilaian prestasi.
Selain menerbitkan karya ilmiah, universiti perlu memberi penekanan yang sama kepada penubuhan syarikat terbitan, pengkomersialan hasil penyelidikan, penerimaan cadangan dasar oleh kerajaan, kejayaan projek komuniti dan kerjasama strategik dengan industri.
Pada masa sama, Pejabat Pemindahan Teknologi di setiap universiti perlu diperkukuh dengan tenaga profesional yang mempunyai kepakaran dalam harta intelek, pengkomersialan dan pembangunan perniagaan.
Inkubator keusahawanan di kampus juga perlu diperkasakan bagi membantu penyelidik dan pelajar menukar hasil penyelidikan kepada produk serta perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada negara.
Budaya kerja dalam kalangan ahli akademik turut memerlukan perubahan. Penilaian prestasi mereka tidak seharusnya hanya bergantung pada penerbitan, sebaliknya mengambil kira sumbangan kepada masyarakat, industri dan pembentukan dasar awam.
Penyelidikan rentas disiplin yang menangani isu seperti keselamatan makanan, kesihatan, perubahan iklim dan kelestarian juga perlu diberi galakan.
Universiti juga perlu memperkukuh kerjasama dengan kerajaan, industri dan komuniti dalam menentukan agenda penyelidikan. Penemuan penyelidikan pula hendaklah diterjemahkan dalam bentuk kertas dasar serta disampaikan kepada masyarakat melalui pelbagai medium komunikasi supaya manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih meluas.
Inisiatif seperti Bulan Sinergi yang memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan kesukarelawanan merupakan langkah positif yang boleh diperluaskan ke universiti lain.
Kampus juga wajar dijadikan makmal hidup untuk menguji penyelesaian baharu yang boleh terus dimanfaatkan oleh masyarakat.
Transformasi daripada budaya yang menilai hasil kepada budaya yang mengutamakan impak memerlukan komitmen semua pihak.
Kerajaan perlu menyemak model pembiayaan sementara universiti perlu memperkukuh tadbir urus, manakala ahli akademik harus mengubah pendekatan penyelidikan dan pengajaran.
Hanya melalui perubahan menyeluruh ini, universiti Malaysia mampu muncul sebagai pemacu pembangunan negara yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus mengangkat sistem pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi. –UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










