Menilai politik dengan pertimbangan rasional dalam cabaran demokrasi

Menilai politik dengan pertimbangan rasional dalam cabaran demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK Malaysia hari ini jauh berbeza daripada keadaan sedekad lalu. Perubahan gabungan politik, pembentukan kerjasama baharu dan peralihan sokongan parti menjadikan landskap politik semakin sukar diramalkan.

Hubungan antara parti tidak lagi boleh dinilai berdasarkan sejarah semata-mata. Parti yang pernah menjadi lawan politik boleh bekerjasama atas nama kepentingan tertentu. Begitu juga, parti yang pernah berada dalam gabungan sama boleh memilih haluan berbeza apabila berlaku pertembungan kepentingan.

Perubahan ini membuktikan politik sentiasa berubah mengikut konteks semasa. Justeru, pengundi tidak boleh lagi menilai politik melalui kerangka lama, sebaliknya perlu memahami perubahan tersebut secara lebih kritis dan objektif.

Dalam era digital, persaingan politik semakin bergantung pada keupayaan membentuk persepsi masyarakat. Media sosial menjadi gelanggang utama penyebaran maklumat, kempen politik dan pembentukan pendapat awam.

Setiap parti berusaha menonjolkan kekuatan masing-masing sambil mendedahkan kelemahan lawan. Persaingan ini menyebabkan ruang digital dipenuhi pelbagai maklumat yang tidak semuanya berasaskan fakta.

Keadaan ini disokong Laporan Berita Digital Institut Reuters 2025 yang melibatkan 48 buah negara. Laporan tersebut mendapati sekitar 58 peratus responden di peringkat global bimbang terhadap peningkatan kandungan yang mengelirukan dan kesukaran menentukan sama ada sesuatu maklumat di internet benar atau palsu.

Pada masa sama, hanya sekitar 40 peratus responden menyatakan mereka mempercayai kebanyakan berita pada kebanyakan masa. Dapatan ini menunjukkan tahap kepercayaan terhadap media berita kekal rendah di peringkat global. Oleh itu, kebijaksanaan pengundi bukan sekadar bergantung hak mengundi, malah pada kemampuan menilai kredibiliti sesuatu maklumat sebelum membuat keputusan politik.

Persepsi yang dibentuk melalui media sosial tidak semestinya mencerminkan realiti. Maklumat yang tular tidak semestinya benar. Populariti seseorang tokoh juga tidak semestinya menggambarkan keupayaan mentadbir.

Dalam keadaan sebegini, pengundi perlu menguasai kemahiran berfikir secara kritis. Mereka perlu menyemak fakta daripada pelbagai sumber, membandingkan hujah yang berbeza dan menilai sesuatu isu berdasarkan bukti yang boleh disahkan. Pendekatan ini jauh lebih penting daripada menerima sesuatu dakwaan hanya kerana sejajar dengan kecenderungan politik sendiri.

Amaran sama turut diberikan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Menurut organisasi itu, penyebaran maklumat palsu dan mengelirukan semakin menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi demokrasi.

Fenomena ini bukan sahaja meningkatkan polarisasi politik, malah mengurangkan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan pentadbiran kerajaan. Keadaan tersebut memperlihatkan demokrasi sihat bukan hanya memerlukan kebebasan bersuara tetapi juga memerlukan ekosistem maklumat yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti.

Dalam konteks ini, literasi media menjadi sebahagian daripada literasi politik yang wajib dimiliki oleh setiap pengundi.

POLITIK PERTIMBANGAN

Satu perubahan yang semakin ketara ialah masyarakat kini lebih memberi perhatian kepada isu yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan mereka. Kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menjadi ukuran utama dalam menilai prestasi sesebuah kerajaan.

Perubahan ini menunjukkan pengundi semakin pragmatik. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi slogan politik semata-mata, sebaliknya menilai sejauh mana dasar yang ditawarkan mampu memberikan manfaat kepada kehidupan seharian.

Walaupun begitu, isu berkaitan identiti, kaum dan agama masih mempunyai pengaruh tertentu dalam politik Malaysia. Hakikat ini tidak dapat dinafikan kerana masyarakat Malaysia dibentuk oleh kepelbagaian budaya dan etnik.

Namun, faktor tersebut tidak seharusnya mengatasi kepentingan pentadbiran yang cekap dan berintegriti. Politik yang terlalu bergantung pada sentimen identiti berisiko mengabaikan persoalan yang lebih utama seperti pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang baik.

Oleh itu, pengundi perlu menilai calon dan parti berdasarkan prestasi serta kemampuan mereka menyelesaikan masalah rakyat, bukannya hanya berdasarkan sentimen identiti.

Cabaran terbesar masyarakat hari ini mereka berdepan lambakan maklumat. Setiap hari rakyat menerima pelbagai berita, video, kenyataan dan ulasan daripada pelbagai platform digital.

Sebahagiannya tepat dan berasaskan fakta, manakala sebahagian lagi sengaja dibentuk bagi mempengaruhi persepsi masyarakat.

Dalam keadaan sedemikian, kemampuan membezakan antara fakta dengan propaganda menjadi satu keperluan asas dalam demokrasi moden.

Menurut Tinjauan Kepercayaan OECD, hanya sekitar 31 peratus responden di negara anggota OECD berpendapat mereka mempunyai pengaruh terhadap tindakan kerajaan atau proses membuat keputusan awam.

Namun, sekitar 68 peratus masih percaya mengundi merupakan cara yang berkesan untuk mempengaruhi tindakan kerajaan.

Jurang ini menunjukkan demokrasi bukan sekadar bergantung pada pelaksanaan pilihan raya, malah turut bergantung pada keupayaan institusi awam melibatkan rakyat secara bermakna dalam proses membuat dasar.

Dalam konteks ini, kebijaksanaan pengundi tidak seharusnya terhenti selepas proses pengundian, sebaliknya diteruskan melalui pemantauan terhadap prestasi kerajaan, penilaian terhadap dasar awam dan penyertaan aktif dalam wacana demokrasi.

Dapatan ini memberi pengajaran penting yang demokrasi tidak berakhir selepas tamat proses pengundian. Penglibatan rakyat perlu diteruskan melalui budaya menyemak dasar kerajaan, menilai prestasi pemimpin dan memastikan setiap mandat yang diberikan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat untuk masyarakat.

Kemenangan sebenar dalam sesebuah pilihan raya bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti. Kejayaan yang lebih besar ialah apabila rakyat mampu membuat keputusan berdasarkan ilmu, fakta dan pertimbangan yang rasional.

Laporan Status Demokrasi Global 2024 oleh International IDEA memperlihatkan demokrasi abad ke-21 sedang memasuki fasa yang lebih mencabar.

Ancaman terhadap demokrasi tidak lagi hanya berpunca daripada kelemahan institusi politik, sebaliknya turut dipengaruhi polarisasi masyarakat, penyebaran maklumat palsu, kemerosotan kepercayaan terhadap institusi awam dan penggunaan teknologi digital untuk membentuk persepsi politik.

Keadaan ini menunjukkan kekuatan demokrasi tidak lagi bergantung semata-mata pada proses pengundian tetapi semakin ditentukan oleh tahap literasi politik, keupayaan menilai fakta secara kritis dan kebijaksanaan rakyat dalam membuat pertimbangan berasaskan bukti.

Laporan tersebut membuktikan kekuatan demokrasi pada abad ke-21 bukan lagi semata-mata kepada pelaksanaan pilihan raya yang bebas serta adil tetapi turut bergantung tahap literasi politik, literasi digital dan kebijaksanaan rakyat dalam menilai maklumat.

Oleh sebab itu, pengundi perlu berupaya membezakan antara retorik dengan realiti, antara persepsi dengan fakta dan antara strategi politik dengan prinsip kepimpinan.

Apabila rakyat memiliki keupayaan tersebut, maka demokrasi tidak lagi menjadi ruang untuk memenangi emosi masyarakat, sebaliknya menjadi wadah memilih kepimpinan yang benar-benar berwibawa.

Pada ketika itulah kebijaksanaan pengundi menjadi benteng utama yang mampu mengatasi segala bentuk percaturan politik dan seterusnya memperkukuh masa depan demokrasi negara. –UTUSAN

 

DR. Ahamad Jama’ Amin Yang ialah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah dan Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN