Menghidupkan semula semangat Rukun Negara

Menghidupkan semula semangat Rukun Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Rukun Negara terus diulang dalam pelbagai kesempatan, daripada perutusan rasmi negara hingga titah Yang di-Pertuan Agong, ia bukan sekadar peringatan kepada rakyat yang mungkin terlupa.

Lebih daripada itu, ia mencerminkan keperluan untuk menghidupkan semula semangat yang semakin terhakis dalam kehidupan bermasyarakat.

Semakin kuat seruan itu kedengaran, semakin jelas keperluan untuk kita kembali menghayati nilai dan prinsip yang menjadi asas perpaduan negara.

Seruan Rukun Negara ini juga tidak datang secara tiba-tiba. Ia menyusul dari siri kejadian bermula dari stokin bercetak kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, al-Quran dipijak, kebiadaban yang menjalar sehingga ke dalam masjid dan ditambah dengan jari-jari yang menyemai kebencian di media sosial.

Inilah ujian sebenar terhadap satu ikrar yang sepatutnya menyatukan kita dan ia datang bukan dalam bentuk rusuhan jalanan seperti insiden 1969 tetapi dalam bentuk hakisan yang berlaku sedikit demi sedikit, hampir setiap minggu.

Rukun Negara bukannya perjanjian sosial yang tumbuh dari bawah sebaliknya diisytiharkan pada 1970, dalam keadaan darurat, oleh sebuah negara yang Parlimennya digantung dan ditadbir Majlis Gerakan Negara selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Ia dirangka dari atas sebagai alat kejuruteraan sosial perpaduan dengan acuan yang meminjam Pancasila Indonesia untuk membina semula konsensus yang retak.

Malangnya sejak itu, Rukun Negara ditanam ke dalam kehidupan hanya sebagai upacara, bukan amalan. Rukun Negara dilaungkan setiap pagi perhimpunan, dicetak di belakang buku latihan, dihafal untuk peperiksaan dengan harapan rakyat menghayati secara spontan sesuatu yang sejak awal direka sebagai ideologi negara.

 

 

RUKUN Negara tidak wajar kekal sebagai slogan atau diucapkan dalam majlis rasmi tetapi mesti benar-benar dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

IKRAR HIDUP HANYA JIKA DIPERDEBATKAN

Di sinilah pengalaman jiran kita memberi pelajaran. Pengajaran daripada Indonesia tidak terletak pada isinya Pancasila tetapi peranannya dalam kehidupan seharian dan cara fikir rakyatnya.

Ikrar negara itu kekal bernyawa kerana sentiasa diperdebatkan dan sekurang-kurangnya, cuba ditadbir. Apabila sesuatu ikrar didebatkan, ditafsir semula dan dipertahankan oleh pelbagai pihak, itu tandanya masih dianggap benar-benar berkesan dan berpengaruh.

Sebuah ikrar hidup bukan kerana dihafal tetapi kerana dibahaskan maknanya.

Rukun Negara, sebaliknya, tidak diperdebatkan tetapi dibiar sepi. Tiada siapa bertarung untuknya kerana tiada siapa menganggapnya mengikat. Ia tidak pernah benar-benar masuk ke dalam perdebatan undang-undang, perbahasan dasar atau hujah di dewan sebaliknya kekal tergantung di dinding dan tersangkut di bibir. Rukun Negara dilaung, bukan digunakan.

Kerana tidak pernah diperdebatkan, kita keliru menyangka kesunyian itu sebagai kesepakatan sedangkan sebenarnya tanda ramai yang sudah berhenti mempedulikannya.

Bukti paling nyata tentang kebekuan ini ialah betapa kerasnya peringatan yang kini terpaksa dilontarkan dari atas takhta dan betapa nadanya semakin meningkat dari satu titah ke satu titah.

Dalam perutusan Aidilfitri lalu, Yang di-Pertuan Agong mengulangi teguran yang seakan-akan sudah dilupakan, lalu menyebut satu demi satu kebiadaban yang berlaku bermula stokin tertera kalimah Allah, bendera dikibarkan terbalik, al-Quran dipijak, kekurangajaran di dalam masjid dan mulut yang mengapi-apikan kebencian.

Mutakhir, pada Hari Keputeraan baginda pula, titah itu menjadi lebih tegas lagi di mana sesiapa yang enggan menghormati prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara Malaysia, diiringi peringatan agar pisang jangan berbuah dua kali, bayang-bayang 13 Mei 1969.

Namun apabila institusi diraja terpaksa bersuara sekeras ini, berulang kali, ini bukanlah tanda ikrar itu sedang menguat. Sebaliknya, menandakan betapa rapuhnya penghayatan yang sepatutnya sudah berakar sejak ikrar ini diperkenalkan.

Jika begitu, mengapa pengikisan ini terasa begitu hebat pada saat ini? Jawapannya bukan kemerosotan akhlak tetapi perubahan insentif. Era dominasi satu parti telah berakhir. Yang menggantikannya ialah politik gabungan yang rapuh, di mana cara termurah untuk menggerakkan pengundi yang berpecah ialah dengan menaikkan suhu perkauman dan agama.

Siri penghinaan yang menyusul belakangan ini bukan insiden terpencil, sebaliknya gejala daripada sebuah sistem yang memberi ganjaran kepada sesiapa yang sanggup mengapikan sentimen.

Dalam waktu sama apabila undang-undang dikuatkuasakan secara terpilih, keras kepada satu pihak, lembut kepada pihak lain, maka prinsip kedaulatan undang-undang itu sendiri bertukar menjadi alat kuasa, bukan perisai daripadanya.

Nilai mengikut insentif di mana ia tidak berubah semata-mata kerana diseru. Yang menanggung kosnya pula bukan mereka yang mengaut keuntungan daripada perpecahan tetapi rakyat biasa pelbagai kaum yang tetap hidup berjiran, berniaga dan bekerja bersama setiap hari.

Merekalah yang sebenarnya mengamalkan Rukun Negara tanpa pernah perlu melaungkannya dan merekalah yang paling terkesan apabila prinsip itu dibiarkan menjadi sekadar slogan.

Dalam keadaan inilah pembelaan paling lantang terhadap Rukun Negara kini datang dari istana, bukan dari Dewan Rakyat. Apabila kepimpinan terpilih kehilangan wibawa moral, maka takhta terpaksa mengisi kekosongan. Itu bukan tanda kekuatan sistem kita tetapi gejala kelemahannya.
Dan dalam konteks ini, seruan agar mereka yang menolak Rukun Negara dianggap ‘tidak layak’ menjadi warganegara perlu direnung dengan berhati-hati.

Ia menggeser tafsiran kewarganegaraan daripada keanggotaan perlembagaan kepada satu ujian nilai, daripada konsep sivik kepada moral tentang siapa yang layak menjadi sebahagian daripada negara ini.

Rukun Negara tidak boleh dihidupkan semula dengan laungan yang lebih kuat.

Namun peringatan yang berulang itu juga tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, perbahasan hangat kini wajar dicanai dan ditadbir menjadi perdebatan yang sihat dan jujur supaya menjadi pemangkin kepada penghayatan sebenar.

Rukun Negara yang sepatutnya berakar sejak ikrar itu diperkenalkan pada 1970, tetapi tidak pernah benar-benar berlaku.

Apa yang terlepas pada permulaannya masih boleh ditebus tetapi hanya jika kita berani menuntut sebuah politik yang berhenti berdagang dengan perpecahan. Tugas memaknakan ikrar itu ialah amanah institusi yang kita pilih, bukan beban yang dibiarkan dipikul semata-mata oleh takhta yang kita hormati.

Kerana sebuah ikrar yang tidak pernah diperdebatkan bukanlah tonggak perpaduan. Ia hanya laungan yang telah kehilangan rohnya tetapi gema yang kita ulang kerana terlupa ia pernah bermakna. –UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional dan Penyelidik Pelawat Pusat Kajian Malaysia Universiti Soka, Tokyo, Japan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN