KONFLIK di Asia Barat yang bermula apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu, kini kelihatan seperti sudah sampai ke penghujung.
Ini berdasarkan kenyataan terbaharu Presiden Donald Trump bahawa AS dan Iran semakin ‘hampir’ untuk berdamai dan menamatkan perang walaupun sebelum ini perundingan di Islamabad gagal mencapai kata putus.
Apa pun kata-kata Trump dalam keadaan sekarang agak sukar dipercayai kerana beliau sentiasa memanipulasi fakta supaya sentiasa terlihat AS hebat dan menang dalam konflik terbaharu ini.
Tetapi, pada masa sama jelas kepada kita bagaimana Iran langsung tidak menghiraukan ancaman dan ugutan AS bersama sekutunya Israel, sebaliknya berpegang kepada tuntutan dan syarat mereka.
Satu lagi yang boleh dilihat sebagai kejayaan Iran di sebalik perang yang dicetuskan oleh AS dan Israel adalah ia bukan sahaja mengubah landskap geopolitik Asia Barat, tetapi turut menggoncang hubungan tradisional antara AS dan sekutu-sekutunya di Eropah.
Apa yang sebelum ini dilihat sebagai pakatan Barat yang kukuh kini semakin menunjukkan retakan yang ketara, baik daripada segi strategi ketenteraan, kepentingan ekonomi mahupun kepercayaan politik.
Kesimpulan paling jelas daripada perkembangan terkini adalah perang ini bukan sekadar konflik serantau, tetapi krisis yang mendedahkan perbezaan asas dalam pendekatan antara Washington dan ibu kota Eropah.
Perpecahan Strategi: Serangan vs Diplomasi
AS bersama Israel memilih pendekatan agresif melalui serangan ketenteraan dan sekatan maritim terhadap Iran. Tindakan memperluas sekatan hingga ke perairan antarabangsa serta operasi ketenteraan global menunjukkan kesediaan AS untuk meningkatkan tekanan maksimum terhadap Tehran.
Namun, banyak negara Eropah tidak berkongsi pendekatan ini. Mereka lebih cenderung kepada penyelesaian diplomatik dan gencatan senjata. Kesatuan Eropah (EU), misalnya, secara terbuka menyeru penghentian konflik dan menekankan bahawa diplomasi adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan jangka panjang.
Perbezaan ini mencerminkan jurang falsafah: AS melihat konflik ini sebagai ancaman keselamatan yang memerlukan tindak balas ketenteraan, manakala Eropah melihatnya sebagai krisis yang berisiko merebak dan perlu dikawal melalui rundingan.
Satu lagi faktor utama yang memecahbelahkan pakatan Barat ialah kesan ekonomi yang tidak seimbang. Penutupan Selat Hormuz oleh Iran telah mengganggu bekalan tenaga global, menyebabkan harga minyak melonjak dan memberi tekanan besar kepada ekonomi Eropah.
Lebih membimbangkan, Eropah kini berdepan kemungkinan kekurangan bahan api penerbangan dalam tempoh singkat, memaksa syarikat penerbangan mengurangkan operasi.
Berbeza dengan AS yang lebih berdikari dari segi tenaga, negara-negara Eropah sangat bergantung kepada import minyak dan gas. Ini menyebabkan mereka menanggung kesan ekonomi yang lebih berat, sekali gus menjadikan mereka kurang cenderung menyokong konflik berpanjangan.
Perang ini juga mendedahkan isu kepercayaan dalam pakatan NATO. Laporan bahawa AS menangguhkan penghantaran senjata kepada beberapa negara Eropah akibat keperluan mendesak di Asia Barat telah menimbulkan kebimbangan serius.
Bagi negara-negara Eropah terutamanya yang berdepan ancaman Rusia, kelewatan ini bukan sekadar isu logistik, tetapi soal keselamatan nasional. Ia menimbulkan persoalan sama ada AS masih komited untuk melindungi sekutunya, atau kini lebih menumpukan kepada kepentingan sendiri.
Situasi ini telah mendorong beberapa negara Eropah mempertimbangkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem pertahanan AS dan memperkukuh industri pertahanan domestik mereka.
Eropah terperangkap
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam serangan awal, Eropah kini terheret ke dalam konflik ini. Serangan balas Iran telah menyasarkan aset dan kepentingan Barat di rantau tersebut, termasuk kawasan berhampiran wilayah Eropah.
Pada masa sama, EU terpaksa bersiap sedia menghadapi kemungkinan krisis pelarian besar-besaran dan ancaman keselamatan siber. Ini mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Eropah bahawa mereka menanggung akibat daripada keputusan strategik yang tidak sepenuhnya mereka sokong.
Lebih menarik, perang ini bukan sahaja memecahbelahkan hubungan transatlantik, tetapi juga mendedahkan perpecahan dalam Eropah sendiri. Negara-negara EU tidak sepakat dalam menentukan tahap sokongan terhadap AS.
Ada yang cenderung menyokong tindakan keras terhadap Iran, manakala yang lain menolak sebarang penglibatan ketenteraan dan menekankan neutraliti. Perbezaan ini melemahkan keupayaan Eropah untuk bertindak sebagai satu blok yang bersatu dalam krisis global.
Strategi yang digunakan oleh Iran kelihatannya berkesam iaitu bertahan dan menyerang balas termasuk negara-negara Arab yang menjadi sekutu kepada AS.
Objektif utama Iran tidak semestinya menang secara klasik (menakluk musuh), tetapi bertahan, mengeksploitasi ketahanan strategik, dan menyeimbangkan kos politik dan ekonomi musuh.
Para penganalisis berpandangan, kejayaan Iran adalah dapat bertahan dalam konflik yang sangat mirip dengan perang ketahanan, sekaligus menimbulkan kos tinggi kepada AS dan sekutunya.
Walaupun konflik ini sering digambarkan sebagai ‘tiada pemenang mutlak’ kerana kedua-dua pihak mengalami kerugian, tekanan ekonomi dan kesan geopolitik yang luas tanpa keputusan yang tegas, tetapi Iran memperoleh kemenangan moral.
Ketika Trump mendakwa AS sudah menang, Iran pula masih tegak berdiri dan lantang bersuara mempertahankan haknya dan melawan propaganda.
Memang mereka tidak memperoleh kemenangan mutlak, tetapi dalam tempoh beberapa dekad ini belum ada krisis atau konflik yang berjaya menggugat kesepaduan Barat dan AS.
Iran telah membuka satu realiti baharu iaitu pakatan Barat tidak lagi sekuat dan sebersatu seperti yang sering digambarkan.
Perbezaan dalam pendekatan strategi, kepentingan ekonomi, dan keutamaan keselamatan telah mencetuskan ketegangan yang ketara antara AS dan sekutunya di Eropah.
Ini boleh dianggap sebagai satu kemenangan kepada Iran, negara yang disekat dan diancam sejak berdekad lalu hanya kerana AS dan Israel bimbang akan pengaruhnya terutama ke atas Palestin.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










