Dapur Siswa Madani tangani kos sara hidup mahasiswa

Dapur Siswa Madani tangani kos sara hidup mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF Dapur Siswa Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi pemangkin baharu agenda kebajikan mahasiswa, khususnya dari segi jaminan akses kepada sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat.

Program ini menggambarkan kesungguhan Kerajaan Madani memastikan mahasiswa tidak lagi berdepan dilema ‘belajar dalam keadaan lapar’ ketika kos sara hidup kian mencabar.

Selari dengan inisiatif tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah lama mendahului usaha ini menerusi pelaksanaan Dapur HEP UiTM di kolej-kolej kediaman dan kampus cawangan sejak tahun 2022, sekali gus menjadikan UiTM sebagai rakan pelaksana penting dasar kebajikan mahasiswa di peringkat nasional.

Kerajaan Madani memberi perhatian khusus kepada kebajikan asas rakyat, termasuk dalam ekosistem pendidikan tinggi, melalui pelaksanaan Dapur Siswa Madani di institusi pengajian tinggi awam seluruh negara.

Menerusi belanjawan kerajaan, peruntukan puluhan juta ringgit disalurkan bagi menyediakan peralatan memasak, bahan mentah serta sokongan logistik di kampus, di samping memperkukuh bank makanan dan penyediaan makanan percuma atau berharga rendah kepada mahasiswa yang memerlukan.

Langkah ini diperkukuh lagi dengan pengumuman tambahan RM15 juta oleh Perdana Menteri dalam Amanat Tahun Baharu 2026, sebagai komitmen penting Kerajaan Madani untuk menangani isu pelajar ‘ikat perut’ secara tuntas agar tumpuan mahasiswa kekal terarah kepada pengajian dan tidak terganggu oleh kegusaran mencari makanan harian.

Dapur HEP UiTM sebagai Pelopor Kebajikan Makanan Mahasiswa
Dalam kerangka yang sama, UiTM telah melaksanakan Program Dapur HEP UiTM sebagai model intervensi kebajikan makanan yang menyasarkan pelajar B40, asnaf dan mereka yang terputus bekalan kewangan akibat faktor keluarga atau kecemasan kewangan. Garis panduan pelaksanaan Dapur HEP

UiTM memperincikan penyediaan ruang dapur bersama yang lengkap dengan kemudahan memasak, stok bahan makanan kering serta sistem pengagihan berpusat melalui bank makanan di kolej-kolej kediaman.

Objektif Dapur HEP UiTM bukan sahaja untuk menjimatkan perbelanjaan harian pelajar, malah bagi memastikan mereka menikmati makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi, sekaligus mengurangkan tekanan kewangan dan emosi yang boleh menjejaskan prestasi akademik serta kesejahteraan mental.

Pelaksanaan Dapur HEP UiTM di semua kampus UiTM termasuk di Sabah dan Sarawak banyak bergantung pada budaya saling menyantuni yang dipupuk melalui sumbangan warga universiti, alumni dan rakan industri menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Pendekatan ini menjadikan Dapur HEP UiTM lebih daripada sekadar kemudahan makanan dan berkembang sebagai platform solidariti sosial, di mana komuniti kampus berganding bahu membantu pelajar yang memerlukan.

Ribuan mahasiswa telah menerima manfaat secara langsung dalam bentuk bahan makanan asas, ruang memasak yang selesa serta sokongan psikososial apabila mereka tidak lagi berasa keseorangan menghadapi kesempitan hidup.

Penjajaran Polisi Kerajaan dan UiTM
Dari perspektif dasar, Dapur Siswa Madani berada dalam rangka kerja lebih luas yang memberi tumpuan kepada pengurangan kos sara hidup, pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan pembinaan negara Madani yang berteraskan ihsan serta keadilan.

Penyaluran peruntukan kepada bank makanan, penyediaan makanan percuma dan pembinaan infrastruktur dapur di kampus membuktikan kesungguhan kerajaan mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan tidak meminggirkan pelajar kurang berkemampuan.

UiTM pula menyelaraskan Dapur HEP UiTM dengan Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar 2026-2030 dan Model Pemerkasaan Mahasiswa UiTM (MPMU), yang menekankan kebajikan, kesihatan mental dan kesejahteraan sebagai prasyarat kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah graduan.

Sinergi Dapur Siswa Madani dan Dapur HEP UiTM
Dari sudut pelaksanaan, Dapur Siswa Madani menyediakan rangka polisi dan sumber kewangan di peringkat nasional, manakala Dapur HEP UiTM menawarkan model pelaksanaan mikro yang telah diuji di lapangan melalui sistem pengagihan yang terancang, penentuan sasaran pelajar B40 serta integrasi dengan program pembangunan pelajar dan sukarelawan.

Sinergi kedua-dua inisiatif ini membolehkan UiTM memanfaatkan sokongan kerajaan untuk memperluas kapasiti Dapur HEP UiTM, menambah stok bahan mentah, menaik taraf kemudahan dapur dan memperkukuh jaringan CSR bersama agensi serta syarikat luar.

Gabungan Dapur Siswa Madani dan Dapur HEP UiTM juga membuka ruang luas kepada inovasi sosial dalam kalangan mahasiswa UiTM, misalnya melalui program sukarelawan pengurusan dapur, kajian tindakan berkaitan keselamatan dan kedaulatan makanan kampus, serta inisiatif keusahawanan makanan yang selari dengan program pekerjaan sambilan di kampus.

Dalam jangka panjang, pelaksanaan bersepadu kedua-dua inisiatif ini diyakini menyumbang kepada lahirnya graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga sejahtera dari segi fizikal, emosi dan sosial, serta lebih empati terhadap realiti masyarakat.

Dengan kedudukan UiTM sebagai institusi yang memegang amanah meningkatkan mobiliti sosial Melayu dan Bumiputera, Dapur HEP UiTM berperanan sebagai pelengkap praktikal kepada dasar Dapur Siswa Madani di peringkat nasional.

Pendekatan ini menzahirkan bahawa agenda kebajikan mahasiswa bukan sekadar retorik dasar, sebaliknya diterjemahkan secara nyata melalui pinggan yang terisi, minda yang tenang dan peluang pembelajaran yang lebih sama rata.

Melalui kerjasama erat antara kerajaan dan UiTM, kampus bukan sahaja menjadi medan menimba ilmu, tetapi juga ruang kehidupan yang lebih berperikemanusiaan dan berkeadilan kepada setiap mahasiswa. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Sazili Shahibi ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN