SEBAGAI antara skim utama dalam perkhidmatan awam, jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) memainkan peranan yang amat signifikan dalam merancang, melaksanakan serta memantau dasar-dasar kerajaan.
Dalam usaha membentuk pegawai yang kompeten, lulus Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) merupakan syarat wajib untuk lantikan dalam perkhidmatan PTD.
Program DPA INTAN yang diperkenalkan sejak 1977 ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin tertinggi kerajaan serta sentiasa mengalami evolusi bagi memastikan perkhidmatan PTD mampu berdaya saing seiring dengan perkembangan semasa.

Program ini telah menerima akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2015. Peserta yang dikenali sebagai Kadet PTD wajib menyertai serta lulus semua 19 modul dalam kursus yang dilaksanakan selama 10 bulan.
Modul dalam program ini merangkumi komponen akademik, komponen integrasi nasional dan pengukuhan diri serta komponen kepimpinan dan kemahiran interpersonal, diterapkan sebagai persediaan kepada kadet sebelum dilantik dalam perkhidmatan PTD.
Elemen utama yang diterapkan kepada setiap Kadet PTD ini melibatkan elemen akademik dan sahsiah yang merangkumi aspek kepimpinan, penglibatan, kerja berpasukan, kreativiti, penampilan, kemahiran insaniah, dan membuat keputusan serta tahap disiplin.
Kesemua aspek ini amat penting dalam usaha membentuk karakter yang kuat kepada Kadet PTD sebelum dilantik dalam perkhidmatan. Perkara ini juga adalah untuk memastikan setiap Kadet PTD dapat menguasai lapan bidang utama dalam perkhidmatan PTD.
Lapan bidang utama dalam PTD adalah bidang hubungan antarabangsa dan hal ehwal negeri, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, sains, teknologi dan alam sekitar, kerajaan tempatan dan pentadbiran, pembangunan sosial dan masyarakat, ekonomi serta keselamatan dan pertahanan.
Program DPA INTAN turut memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh Subject Matter Expert (SME) dalam tujuh bidang tujahan baharu yang strategik iaitu kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, transformasi digital, pertanian dan teknologi makanan, pengurusan bencana, keselamatan Siber dan persempadanan negara.
Bagi Program DPA INTAN Tahun 2025/2026, seramai 162 Kadet PTD terpilih untuk menyertai program yang bermula pada September 2025 hingga Julai 2026. Kadet PTD ini ditapis daripada ratusan ribu calon skim perkhidmatan PTD.
Bermula pada 12 Januari hingga 23 Januari lalu, Kadet PTD menjalani aktiviti fizikal menerusi Modul Pengurusan Ketenteraman Awam (Polis) selama dua minggu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, manakala bagi Modul Operasi Pertahanan Negara (OPN), latihan dilaksanakan di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson.
Kadet PTD bukan sahaja diterapkan dengan ilmu teori tetapi juga latihan fizikal serta disiplin sama seperti latihan yang dilaksanakan untuk rekrut Kadet Polis dan Kadet Tentera.
Modul fizikal ini amat signifikan untuk membentuk karakter ketahanan diri serta disiplin tinggi dalam kalangan Kadet PTD agar sentiasa bersedia keluar dari zon selesa.
Kadet PTD didedahkan dengan amalan ketepatan masa, latihan kawad kaki, keyakinan diri di dalam hutan, senaman balak, pandu arah serta latihan menembak.
Mereka turut didedahkan dengan peranan Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit 69 Komando (VAT 69) di Ulu Kinta serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Cheras serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
TINGKAT KUALITI
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam Bicara Aspirasi: Memimpin Dengan Makna Bersama Kadet PTD baru-baru ini mengingatkan semua pegawai awam perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan mengoptimumkan sumber, beradaptasi pada perubahan, memperkukuh integriti, menambah baik tata kelola dan meningkatkan kompetensi diri.
Kata-kata itu bertepatan dengan modul yang dilaksanakan di bawah DPA INTAN apabila Kadet PTD bukan sahaja dapat membentuk karakter yang berdisiplin tetapi turut memahami fungsi serta peranan agensi keselamatan tersebut.
Perkara ini seterusnya membantu membentuk karakter Kadet PTD untuk lebih memahami keperluan pengguna akhir (end user) dalam merancang serta melaksanakan dasar kerajaan dengan lebih baik sama ada dalam aspek infrastruktur fizikal atau bukan fizikal.
Selain Modul Pengurusan Ketenteraman Awam dan Modul OPN, Kadet PTD juga wajib menjalani aktiviti fizikal lain seperti Modul Bomba dan Penyelamat serta Modul Outward Bound Malaysia (OBM) bagi memastikan hanya yang layak dan terbaik dilantik dalam perkhidmatan PTD. – UTUSAN
KHAIRIL Azwan Abu Mansor ialah Ketua Unit Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (UDPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
MOHD. Nor Fitri Affendi Mustafa ialah Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Penyelarasan Kadet, Unit Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (UDPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










