Jamin keselamatan pengguna jalan raya

Jamin keselamatan pengguna jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sampai sebulan kita memasuki tahun 2026, seorang warga emas maut setelah disyaki dirempuh oleh pemandu mabuk di Pulau Pinang minggu lalu.

Menurut laporan media, mangsa yang merupakan pejalan kaki berusia 67 tahun telah dirempuh oleh sebuah kenderaan yang dipandu oleh warga asing dalam keadaan mabuk. Berita seperti ini bukanlah permulaan yang baik bagi kita memulakan tahun 2026.

Budaya meminum arak dan kemudian memandu adalah suatu perlakuan yang tidak masuk akal. Kes ini juga bukanlah satu-satu kes yang melibatkan pemandu mabuk.

Bahkan perlu diakui kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk bukanlah suatu yang baharu. Kerana itu, perlu wujud intervensi oleh kerajaan untuk membendung masalah ini dengan lebih serius.

Hakikatnya, dari Januari 2021 hingga September 2024, terdapat 149 kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk.

Namun, terdapat juga beberapa kes pada tahun-tahun sebelum ini yang melibatkan pemandu mabuk yang tidak dilaporkan statusnya sama ada didakwa ataupun tidak selepas penularan kes-kes ini di media.

Maka timbul suatu persoalan: Adakah benar tiada apa-apa tindakan pendakwaan yang dibawa terhadap pelaku-pelaku ini, ataupun pelaku-pelaku ini telah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah? Tanpa laporan media yang telus, masyarakat kekal bertanya-tanya.

Undang-undang berkenaan kesalahan pemanduan dalam keadaan mabuk dinyatakan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Di bawah Seksyen 44 Akta 333 telah menyatakan bahawa ia adalah satu kesalahan bagi memandu dalam keadaan pengaruh dadah atau alkohol yang melebihi had yang ditetapkan.

Sekiranya pemanduan menyebabkan kemalangan yang ada kematian, pelaku boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Bagi sabitan yang berulang, pelaku boleh dipenjara untuk tempoh tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih daripada RM150,000.

Bagi kesalahan memandu sehingga menyebabkan kecederaan, subseksyen 1A memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000.

Bagi sabitan seterusnya boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Seksyen 44 Akta 333 ini memaktubkan kesalahan bagi pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kecederaan atau kematian.

Bagi larangan memandu dalam keadaan mabuk meskipun tanpa kesan negatif sekalipun, ada juga dinyatakan di Seksyen 45 Akta 333.

Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan undang-undang ini jelas memperlihatkan bahawa telah wujud alat untuk menghukum mereka yang memandu dalam keadaan mabuk di Malaysia.

Namun persoalan utama: Adakah penguatkuasaan serta pendakwaan terhadap pelaku-pelaku ini telah dilakukan dan berjalan dengan baik?

Kegusaran masyarakat adalah berasas untuk menyekat spesies pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab dari berada atas jalan raya. Lantaran itu, menjadi tugas pihak berkuasa untuk kes-kes pemandu mabuk diambil tindakan sehingga dihadap ke muka pengadilan.

Pihak berkuasa perlu dilihat serius dalam menangani kes-kes ini. Ini akan memberikan sinar harapan bukan sahaja kepada masyarakat secara amnya tetapi juga kepada mangsa secara khusus bahawa kes mereka akan diuruskan dengan baik.

Penulis mengakui bahawa tertuduh yang dihadapkan kepada mahkamah mempunyai hak untuk membela diri. Ini adalah prinsip asas keadilan dan perundangan. Namun, apa yang diharapkan oleh anggota masyarakat bahawa tahap keseriusan pihak berkuasa dipamerkan jelas dalam menangani isu ini.

Parlimen telah menggubal perundangan ini melalui Akta 333. Kini ia menjadi tanggungjawab badan eksekutif untuk menguatkuasa dan melaksanakan perundangan ini supaya ia dapat dihormati.

Sebagai langkah pencegahan awal, kerajaan sendiri perlu mempunyai mekanisme untuk mencegah daripada awal budaya meminum arak sehingga mabuk.

Jika tidak, beban yang akan dipikul oleh pihak berkuasa seperti polis akan terus bertambah. Pencegahan secara total dengan kawalan jualan arak atau minuman keras di kawasan-kawasan taman perumahan atau operasi kelab-kelab hiburan yang perlu dikawal.

Kempen semata-mata tidak efisien. Tidak memberikan apa-apa kesan yang signifikan kepada pelaku-pelaku ini. Mereka jelas mengetahui bahawa tidak boleh memandu ketika mabuk tetapi masih dilakukan.

Hakikatnya, mereka mempunyai pilihan lain untuk tidak memandu ketika dalam keadaan berkhayal. Malangnya, pilihan salah dilakukan dan akhirnya menyebabkan kehilangan nyawa kepada pengguna jalan raya yang lain.

Ini tidak adil kepada pengguna jalan raya sedangkan mereka mempunyai hak untuk menggunakan jalan raya tersebut dengan rasa selamat dan dilindungi.

Tuntasnya, pihak berkuasa perlu bertindak dengan lebih proaktif dalam menangani isu pemanduan dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh arak mahupun dadah.

Tiada jalan lain atau singkat untuk mengekang individu yang degil ini daripada terus berada di jalan raya.

Lebih malang lagi jika masyarakat tidak dapat melihat dengan jelas proses pertuduhan di mahkamah, sabitan dan hukuman terhadap pesalah. Seolah-olah ada pesalah yang berada di atas ketinggian undang-undang. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN