Sengitnya pilihan raya, rakyat perlu buat pilihan tepat

Sengitnya pilihan raya, rakyat perlu buat pilihan tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengan rekod bilangan calon dan parti bertanding yang begitu besar, perebutan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini menjadi bertambah sengit. Seramai 595 orang calon yang mewakili 24 buah parti, termasuk 74 orang calon Bebas berentap bagi merebut 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Ada juga kerusi yang mempunyai sehingga 14 calon bertanding.

Bilangan parti yang begitu besar tambah merancakkan lagi perang bendera di seluruh Sabah bagi menzahirkan kehadiran serta mempamerkan kekuatan parti-parti yang bertanding.

Dari mata turun ke hati, kehadiran bendera parti dan poster calon di serata ceruk akan menjadikan wajah calon yang bertanding tidak lagi asing kepada pengundi. Dengan ini, ia dapat mempermudahkan usaha parti yang bertanding memikat dan meyakinkan hati pengundi atas pagar.

Setiap kali mengundi, perkara yang paling mencabar ialah untuk memilih calon yang tepat, apatah lagi jika calon-calon yang bertanding masing-masing orang baharu yang belum begitu dikenali.

Oleh kerana itulah parti-parti politik dan calon-calon yang bertanding sanggup berhabis-habisan bagi memastikan kempen mereka berkesan dan berjaya menarik undi supaya dapat menang dengan bergaya.

Maka, ramai yang menjanjikan bulan dan bintang ketika berkempen walaupun sedar perkara yang mereka janjikan itu tidak akan dapat mereka tunaikan biarpun parti menang besar.

Ketika berkempen, semuanya cantik dan indah. Pemimpin politik dari jauh dan dekat datang membawa pelbagai janji manis. Bagi yang berniaga makanan dan cenderahati, hasil jualan mereka pasti berlipat kali ganda tingginya.

Namun, suasana di desa akan kembali sepi seperti sebelumnya setelah berakhirnya PRN nanti. Tiada lagi kenderaan yang sarat dengan jentera parti bersimpang-siur menyelusuri jalan sempit di desa-desa terpencil.

Yang tinggal hanyalah kenangan dan harapan agar janji yang ditabur tidak hanya tinggal janji.

Kia sering mendengar para pemimpin menyalahkan pihak lain apabila mereka didesak menunaikan janji pilihan raya.

Justeru, pengundi tidak boleh rambang mata apabila berhadapan dengan pelbagai tawaran yang datang mencurah-curah bak durian runtuh.

Kita harus sedar perangkap janji politik yang ditabur hanya sebagai umpan. Bukan semua yang berkilauan itu ialah permata yang berharga. Salah memilih buruk padahnya.

Kempen pilihan raya sarat dengan pelbagai cerita. Masing-masing membawa naratif berbeza yang dikira segar dan mampu memikat pengundi.

Namun malangnya, kita masih terbelenggu dengan corak kempen kotor oleh sesetengah pihak yang dengan sengaja memainkan sentimen pengundi dengan fitnah, andaian, tuduhan tidak berasas serta teknik adu domba untuk menjatuhkan lawan.

Mereka mencari apa sahaja isu untuk diangkat bagi menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat. Persoalannya adakah isu tersebut akan mereka selesaikan jika mereka menang? Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Baik di manapun berada, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan berwibawa untuk memacu kemajuan. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, setiap langkah harus diambil dengan berhati-hati.

Setiap negeri mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza, maka kebijaksanaan rakyat membuat pilihan masing-masing tanpa dipengaruhi sentimen sempit adalah sangat penting.

Tak kira di mana pun, kita harus sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Undilah menggunakan akal dan bukannya emosi yang dipengaruhi kebencian.

Dendangan cerita hanya sedap didengar dan bukannya boleh menyelesaikan masalah. Politik sempit yang di mainkan sesetengah pihak hanya akan memecahbelahkan rakyat dan seterusnya melemahkan negara.

PRN Sabah dilihat penting bagi mengukur sentimen rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti. Oleh kerana itu, kehangatannya terasa sehingga ke Semenanjung Malaysia.

Kini seluruh tumpuan sedang terarah kepada keputusan PRN nanti. Persoalan paling panas ialah parti manakah yang akan memenangi kerusi terbanyak dalam PRN ini?

 

BANYAKNYA parti bertanding turut merancakkan perang bendera di seluruh Sabah untuk menunjukkan kehadiran dan kekuatan masing-masing.

SENGIT
PRN ini yang memperlihatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding menggunakan logo parti masing-masing akan menjadi ujian kepada keutuhan kerjasama di antara kedua-dua parti dalam gabungan kerajaan ini.

Senario politik domestik Sabah yang berbeza berbanding ketika PRN Sabah ke-16 serta perpecahan dalam gabungan politik tertentu ketika ini menjadikan PRN ini lebih menarik untuk diperhatikan.

Berjayakah Pas memenangi kerusi sulungnya di Sabah? Bagaimanakah prestasi Perikatan Nasional (PN) setelah perpecahan mereka dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak lagi memegang tampuk kerajaan pusat?

Menarik juga untuk diperhatikan bagaimanakah prestasi Parti Warisan (Warisan) yang bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah dalam PRN ini. Begitu juga dengan kekuatan Parti Impian Sabah (PIS) yang bertanding di 72 kerusi DUN.

Dengan pelbagai isu yang dimainkan termasuk isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya hak hasil 40 peratus negeri itu, kita mengharapkan semangat Persekutuan yang sekian lama disemai dalam jiwa rakyat Malaysia tidak akan tergugat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Keputusan PRN Sabah ini akan menentukan hala tuju dan kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan rakyatnya. Jatuh bangunnya Sabah terletak di tangan anak negeri terutamanya dalam memilih kerajaan negeri.

Semoga rakyat Sabah membuat keputusan yang bijak dan matang dan tidak mempertaruhkan masa hadapan negeri demi janji-janji manis yang belum tentu akan terlaksana.

Undilah dengan bijak dan matang. Selamat mengundi.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN