PEKELILING Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam, yang dikeluarkan pada penghujung Oktober 2025, menekankan kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi. Hal ini bukan sahaja penting, malah perlu diberikan perhatian yang serius.
Hal ini penting memandangkan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi didapati merosot sekali kebelakangan ini. Justeru hal ini hendaklah diberi perhatian serius. Ini kerana kedaaan sedemikian boleh membawa kepupusan bahasa Melayu yang lebih teruk lagi dahsyat.
Sehubungan kemerosotan ini, masalah ini didapati berleluasa dalam agensi kerajaan apabila tidak lagi mengendahkan Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2020 mengenai Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.
Melalui Pekeliling 2020 itu, setiap agensi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya apabila sesuatu urusan rasmi melibatkan warganegara Malaysia sahaja.
Walaupun arahan tersebut jelas, terdapat agensi kerajaan yang langsung tidak mematuhinya. Sebaliknya, mereka menggunakan bahasa lain untuk menamakan sesuatu urusan rasmi dalam perkhidmatan awam, walaupun secara terang lagi bersuluh, hal itu tidak sepatutnya dilakukan terutamanya bagi urusan dalam negara yang melibatkan warganegara sendiri.
Ekoran itu, Pekeliling 2025 hendaklah dianggap amaran keras tentang sikap kita terhadap bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Secara umumnya, sikap kita terhadap bahasa Melayu masih jauh daripada positif. Malah, boleh dikatakan bersifat negatif sehingga menyebabkan bahasa Melayu kini mulai terpinggir. Perubahan ini berlaku dengan begitu pantas, sedangkan tidak lama dahulu, sejurus selepas mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu merupakan bahasa besar dan penting.
Kini bahasa Melayu menjadi bahasa kecil yang tidak penting lagi di tanah watannya sendiri. Dalam pada ini, ia ibarat peribahasa, melukut di tepi gantang dan rumput di tepi jalan, hidup segan mati tidak mahu.
Bahasa Melayu kini tidak dipedulikan kerana tidak diutamakan lagi.
Jika keadaan sebegini tidak ditangani dengan segera antaranya melalui Pekeliling 2025 menyebabkan bahasa Melayu berisiko menjadi seperti ‘kucing kurap’ dan ‘bangkai bernyawa’, iaitu sebuah ungkapan yang menggambarkan sesuatu yang dipandang rendah dan tidak lagi dianggap berguna.
Dengan hakikat ini, yang realitinya mungkin berlaku dalam masa yang tidak terlalu jauh, Pekeliling 2025 bukan sahaja menuntut kesedaran, malah keinsafan yang wajib diambil perhatian dan dikesali. Ia menegaskan bahasa Melayu kini sedang mengalami kepupusan melalui fenomena peralihan bahasa.
Sehubungan itu, peralihan bahasa ini harus diinsafi kerana kesannya akan terus melekat pada bahasa Melayu untuk selama-lamanya. Bahasa ini tidak mungkin bangkit kembali daripada status rendah dan terpinggir jika keadaan terus terbiar. Lebih menyedihkan, semua ini berlaku kerana kita sendiri yang bukan sahaja tidak cakna, malah langsung tidak mempedulikannya.
Pekeliling 2025 ini secara tersiratnya boleh dikaitkan dengan sekurang-kurangnya tiga perkara. Yang pertama ialah pentingnya kesedaran tentang norma bahasa Melayu. Bermakna kita hendaklah mempunyai dorongan untuk menggunakan bahasa Melayu secara bijak dan tepat, bagi menghormatinya sebagai bahasa negara.
Ini wajib berlaku pada nama sesuatu majlis rasmi yang sama sekali tidak boleh membelakangkan penggunaan bahasa Melayu, waima separa sahaja, apatah lagi sepenuhnya. Sudah tentu cara begini bijak dan tepat selain menghormati bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Ini kerana hal ini dikehendaki pada Pekeliling 2020 itu, yang sebenarnya adalah kesinambungan Pekeliling 2011 dan 2006 mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.
Sebetulnya dengan menggunakan bahasa Melayu untuk urusan rasmi, kita memperlihat bukan sahaja mematuhi piawai negara malah memiliki jati diri kebangsaan. Dalam hal ini, ia adalah institusi negara pada bahasa Melayu dan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Yang kedua ialah kita harus bangga terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara. Kita hendaklah berasa gembira, ghairah dan teruja untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai lambang kenegaraaan. Sesungguhnya kebanggaan ini adalah sentimen positif kepada bahasa Melayu dan negara Malaysia sendiri.
Sebenarnya rasa bangga ini tidak lain tidak bukan adalah nilai yang kita berikan kepada bahasa Melayu. Nilai ini pertama-tamanya harus berbentuk penggunaannya dari segi kualti dan kuantiti. Kemudiannya usaha untuk melestarikannya kerana bahasa Melayu mempunyai perkaitan amat mendalam dengan warisan kita.
Melalui perkaitan ini, penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja mencerminkan keazaman untuk mempromosikannya, malah rasa jengkel apabila bahasa ini tidak dihormati dan tidak dihargai.
Yang ketiga ialah kesetiaan kepada bahasa Melayu melalui melindunginya pada setiap masa dalam apa-apa jua cara daripada sebarang ancaman. Untuk ini, bahasa Melayu harus digunakan dalam semua konteks, termasuklah yang tidak formal, apatah lagi yang formal.
Selain itu, kita hendaklah selalu berusaha untuk memastikan agar bahasa Melayu bukan sahaja berada dalam keadaan baik sebaliknya harus gigih lagi tekun pada setiap masa untuk memperbaikinya agar terus menjadi bestari.
Dalam hal ini, kesetiaan kepada bahasa Melayu boleh dimanifestasikan sebagai usaha kolektif seluruh rakyat jelata untuk melestarikannya. Ia hendaklah bersifat kecekalan bersama apabila bahasa Melayu menerima tekanan daripada bahasa lain, khususnya yang lebih berkuasa, tinggi prestijnya dan banyak pula glamornya.
TAHU PERBEZAAN
Kesetiaan kepada bahasa Melayu hendaklah dibezakan dengan usaha yang giat lagi rancak untuk menguasai bahasa lain yang memiliki nilai instrumental, baik dari segi kemajuan sosial mahupun manfaat ekonomi.
Atas kesedaran dan keinsafan ini, Pekeliling 2025 ini tidak boleh dikesampingkan dengan begitu sahaja, seperti yang berlaku pada tiga pekeliling sebelumnya, iaitu pada 2020, 2011 dan 2006. Ini kerana Pekeliling 2025 ini adalah panggilan akhir menyelamatkan bahasa Melayu sebelum nasi menjadi bubur, akibat kesan globalisasi dan modernisasi yang membunuh banyak bahasa, termasuklah yang besar.
Dengan kata lain, Pekeliling 2025 ini peluang akhir kita untuk sedar dan insaf bagi melakukan sesuatu yang konkrit untuk mengembalikan syiar bahasa Melayu selaku bahasa negara. Ia penting sekali agar kita tidak kehilangannya yang akan ikut melenyapkan budaya.
Bukan itu sahaja, sesungguhnya kehidupan akan ikut lesap. Ini kerana semua nilai yang terkandung dalam bahasa itu tidak dapat melangsaikan peranan sosialnya lagi, setelah ditinggalkan untuk digantikan dengan nilai lain daripada bahasa lain.
Untuk jaminannya, bahasa Melayu hendaklah selalu digunakan dalam semua konteks, khususnya yang rasmi.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










