Memartabat bahasa Melayu tanpa menyisih dunia

Memartabat bahasa Melayu tanpa menyisih dunia

BELANJAWAN 2026 menegaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sambil mengekalkan peranan bahasa Inggeris bagi keseimbangan antara jati diri nasional dan keperluan global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2026 memperlihatkan tekad kerajaan untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, sambil menegaskan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Pendekatan ini menggambarkan keseimbangan strategik antara memperkukuh jati diri bangsa dan memperluas keupayaan komunikasi antarabangsa.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi lambang identiti nasional dan warisan budaya yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Dalam ucapan pembentangan Belanjawan, Perdana Menteri menekankan bahasa Melayu perlu dimartabatkan semula sebagai bahasa ilmu di semua peringkat pendidikan daripada sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi termasuk sekolah antarabangsa.

Langkah ini bertujuan memastikan semua pelajar warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang pendidikan, memiliki kecekapan asas dalam bahasa kebangsaan.

Tindakan ini hadir pada masa yang tepat. Dalam arus globalisasi dan era kecerdasan buatan (AI) yang pesat, bahasa Melayu berdepan cabaran dominasi bahasa asing dalam dunia pendidikan, sains dan teknologi.

Oleh itu, usaha kerajaan untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu melalui dasar pendidikan yang inklusif adalah langkah penting ke arah memperkukuh jati diri nasional. Langkah-langkah strategik dalam Belanjawan 2026 juga mencakup penghidupan semula Hadiah Bahasa.

Inisiatif seperti ini berperanan penting dalam menyemarakkan minat terhadap penggunaan bahasa Melayu yang indah dan berwibawa dalam penulisan, kesusasteraan serta bidang komunikasi profesional. Ia juga memberi penghargaan kepada penulis, cendekiawan dan penggiat bahasa yang banyak menyumbang kepada pembangunan budaya ilmu dalam bahasa ibunda.

Namun begitu, usaha ini bukanlah tanpa cabaran. Pelaksanaan dasar agar bahasa Melayu diajar secara berkesan di semua jenis sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, memerlukan penyelarasan antara kementerian.

Kita harus memastikan guru yang terlatih dan bahan pengajaran yang relevan disediakan. Tidak cukup sekadar meletakkan dasar sebaliknya memastikan pelaksanaannya mesti pantas, konsisten dan dapat diakses oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang geografi atau sosioekonomi.

Di sekolah antarabangsa, misalnya, kerajaan menetapkan mula 2026, semua pelajar warganegara Malaysia wajib mempelajari bahasa Melayu. Langkah ini bukan sekadar simbol dasar tetapi usaha konkrit untuk menutup jurang linguistik yang semakin melebar antara pelajar tempatan dan antarabangsa.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberi penekanan penguasaan bahasa Inggeris akan terus diberi perhatian sebagai keperluan untuk membina daya saing global dan keterbukaan ilmu.

Keseimbangan antara kedua-dua bahasa ini penting. Bahasa Melayu membentuk akar identiti dan kebersamaan rakyat manakala bahasa Inggeris menjadi jambatan kepada dunia luar.

Dalam konteks ini, kerajaan tidak bermaksud meminggirkan bahasa Inggeris tetapi mahu memastikan bahasa Melayu tidak hilang peranan dan prestijnya dalam sistem pendidikan serta urusan rasmi negara. Inilah maksud sebenar pemerkasaan iaitu untuk memperkukuh tanpa menafikan peranan bahasa lain.

Aspirasi untuk menjadikan pendidikan inklusif dan berkualiti bagi semua juga menuntut agar kurikulum disesuaikan supaya pelajar, termasuk mereka dari kawasan luar bandar, mendapat akses terhadap pendedahan bahasa Melayu dan Inggeris yang seimbang.

Penyediaan bahan ajar dwibahasa, pusat latihan guru yang diberi tumpuan dan program sokongan bahasa tambahan boleh menjadi komponen penting dalam strategi ini.

Dalam merangka strategi jangka panjang, kerajaan perlu melihat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bukan sebagai pesaing tetapi pelengkap. Ini sekali gus melambangkan akar dan identiti nasional. Dalam masa sama memperluas cakrawala dan membuka ruang peluang global.

Pelaburan dalam latihan pengajaran bahasa, bahan rujukan berkualiti, penggunaan teknologi pendidikan serta platform digital dwibahasa boleh menjadi acara utama dalam memacu kesinambungan matlamat ini.

Untuk menjayakan aspirasi ini, pembaharuan dalam latihan perguruan dan pembangunan bahan pengajaran perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Guru bahasa Melayu dan Inggeris harus dilengkapi dengan kemahiran pedagogi moden serta sokongan teknologi pendidikan. Selain itu, penggunaan platform digital dwibahasa boleh memperluas capaian ilmu dan meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran bahasa.

Pendekatan ini bukan sahaja seiring dengan perkembangan zaman, malah memperlihatkan kemampuan bahasa Melayu untuk hidup subur dalam ekosistem digital.

KOMITMEN

Akhirnya, kejayaan usaha memperkasakan bahasa Melayu bergantung pada komitmen bersama, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga masyarakat, institusi pendidikan dan media.

Rakyat perlu menanam rasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan tanpa melihatnya sebagai penghalang kepada kemajuan.

Belanjawan 2026 menandakan permulaan baharu kepada usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam era moden. Ia merupakan usaha berpaksikan keyakinan bangsa yang menghormati bahasanya ialah bangsa yang berdaulat.

Usaha murni kerajaan ini menyajikan harapan generasi akan datang bukan sahaja akan berdialog menggunakan bahasa Melayu dengan bangga tetapi juga mampu menjalin perbualan global dalam bahasa Inggeris dengan yakin.

Dalam tempoh ini, keberhasilan usaha kerajaan terletak pada keberanian bertindak konsisten, kecekapan dalam pelaksanaan dan iltizam kolektif semua lapisan masyarakat untuk memelihara kedua-dua bahasa sebagai warisan dan aset utama.-UTUSAN

 

DR. Yohan Kurniawan ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN