Masa hadapan Sabah di tangan rakyat

Masa hadapan Sabah di tangan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTEMBUNGAN sehingga 14 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid bukan sekadar berita panas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Ia adalah potret sebenar betapa dinamik dan rumitnya politik negeri itu.

Dengan 596 calon bertanding, rekod tertinggi dalam sejarah PRN, negeri ini sekali lagi muncul sebagai gelanggang politik yang paling warna-warni, kompetitif dan menunjukkan keunikan budaya politik tempatan.

Namun di sebalik angka luar biasa itu, lahirlah persoalan yang lebih besar, apakah ini tanda ketidakstabilan atau sebenarnya bukti rakyat Sabah semakin matang dan berani menggunakan ruang demokrasi?

Ramai penganalisis melihat pertembungan banyak penjuru sebagai isyarat ketidaktentuan serta perpecahan antara parti-parti dominan.

Dr. Mohammad Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya menyifatkan fenomena ini sebagai bukti krisis penyatuan politik, di mana parti politik semakin sukar mencari titik pertemuan minimal untuk membina kerajaan stabil.

Namun jika dicelah naratif yang lebih dalam, kewujudan calon Bebas, parti kecil dan figura tempatan yang berani mencuba nasib juga menunjukkan rakyat Sabah, sejak dahulu, sentiasa mengangkat demokrasi secara lebih terbuka berbanding negeri-negeri lain.

Kerencaman ini bukan sekadar pertembungan politik tetapi ia adalah refleksi keberanian rakyat untuk tampil sebagai pemain politik, bukan sekadar pengundi pasif.

 

SIAPA PUN BOLEH BERTANDING

Sabah terkenal dengan budaya politik yang unik antaranya kepelbagaian etnik, identiti tempatan yang kuat dan kecenderungan rakyat untuk mengangkat pemimpin berdasarkan faktor hubungan kekeluargaan, jaringan komuniti dan simbol kepimpinan yang dekat dengan akar budaya mereka.

Oleh itu, apabila ramai calon tampil di kerusi tertentu, ia menggambarkan demokrasi rakyat yang subur sekali gus membuktikan politik Sabah tidak dikawal ketat oleh dua atau tiga kuasa besar tetapi memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang percaya dirinya mampu membawa perubahan.

Fenomena ini sukar dilihat di negeri lain, yang mana calon Bebas hampir mustahil menang dan parti kecil jarang mencuri perhatian. Sabah berbeza, sejarah politiknya menunjukkan ramai calon Bebas berjaya mencipta kejutan dan pilihan raya sering berubah wajah pada detik terakhir.

Di sinilah kita melihat sisi positif banyak penjuru dengan semakin ramai calon, semakin besar peluang rakyat memilih yang benar-benar mereka rasa layak.

Sistem mungkin kelihatan kacau tetapi kesedaran rakyat untuk menilai calon secara individu menjadi lebih tinggi. Mereka tidak hanya mengundi parti tetapi manusia, karakter, rekod bakti dan keserasian dengan masyarakat setempat.

Walaupun demikian, kebimbangan tetap wajar. Profesor Madya Dr. Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengingatkan pecahan undi ekstrem boleh menghasilkan wakil rakyat yang menang hanya dengan 10 hingga 15 peratus undi, menyebabkan legitimasi politik dipersoalkan.

Apatah lagi risiko dewan tergantung dan kerajaan rapuh begitu jelas apabila tiada parti mampu memperoleh majoriti mutlak.

Tetapi di tengah-tengah risiko itu, kita tidak boleh menafikan keindahan demokrasi yang sedang hidup subur dalam PRN Sabah kali ini. Rakyat Sabah tidak takut mencuba, mereka tidak gentar bersaing dan berani menawarkan diri demi rakyat.

Langkah ini secara tidak langsung mendidik pengundi untuk menjadi lebih kritikal. Apabila terlalu ramai calon bertanding, pengundi spontan tidak lagi wujud. Rakyat mula membanding, menyemak rekod, bertanya soalan dan memikirkan kesan jangka panjang terhadap masa hadapan Sabah, terutama dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) , kos sara hidup, pembahagian hasil negeri serta hubungan dengan Persekutuan.

PRN ini bukan hanya pertandingan politik tetapi proses pendidikan sivik terbesar kepada rakyat Sabah.

Politik Sabah memasuki fasa baharu iaitu era politik kompetitif ekstrem. Tiada lagi ‘kawasan selamat,’ tiada lagi ‘parti pasti menang.’ Sebaliknya setiap calon perlu bekerja keras, turun padang, membina hubungan tulen dan membina naratif yang meyakinkan. Fenomena ini memecahkan tembok politik selesa dan memaksa semua pihak berfikir lebih jauh.

Walau begitu, kita tidak boleh mengabaikan realiti lain, antaranya politik Sabah sering dibayangi budaya lompat parti, kerajaan bertukar selepas pilihan raya serta gabungan yang cepat terbentuk dan cepat pecah.

Untuk itu, PRN ini juga adalah ujian besar kepada integriti politik Sabah.

Beza kali ini, rakyat semakin berani bersuara. Mereka tidak lagi mudah ditenangkan dengan janji kosong. Mereka menilai, memerhati dan bersedia menghukum mana-mana parti yang gagal menepati komitmen.

PENGUNDI LEBIH BIJAK
Kita sering menganggap banyak penjuru sebagai indikator perpecahan. Namun dari perspektif lebih optimis menunjukkan petanda pengundi mempunyai kuasa lebih besar daripada calon.

Dalam keadaan pertembungan 14 penjuru, undi rakyat menjadi pedang sebenar yang menentukan siapa layak berdiri di DUN.

Barangkali, ramai calon bukan masalah tetapi yang bermasalah ialah calon yang tidak mampu meyakinkan rakyat.

Rakyat Sabah kini mempunyai pilihan yang sangat luas dan dengan kesedaran politik yang semakin meningkat, mereka tidak lagi mengundi ikut arus, tetapi keyakinan. Rakyat hanya akan memilih calon terbaik, bukan yang paling bising, parti besar atau banyak poster.

DEMOKRASI

Daripada satu sudut, PRN Sabah kali ini boleh dilihat sebagai eksperimen politik paling besar dalam negara. Ini adalah medan demokrasi tulen yang memberi peluang kepada semua, mengajar rakyat untuk berfikir dan menunjukkan kepada Malaysia politik tidak boleh dimonopoli sesiapa.

Ya, risiko kerajaan rapuh tetap ada. Namun demokrasi yang matang memerlukan keberanian mencuba, membuat kesilapan dan memperbaiki kelemahan.

Di tengah gelombang besar politik ini, rakyat Sabah sebenarnya sedang menunjukkan kepada seluruh Malaysia demokrasi bukan hanya milik elit tetapi hak rakyat. Paling penting, rakyat Sabah sendiri akan menentukan wajah politik mereka.

Realitinya, pada 29 November nanti, kuasa bukan di tangan parti. Kuasa bukan di tangan calon. Kuasa berada di tangan anda, rakyat Sabah yang bijak, matang dan semakin berani menentukan arah negeri tercinta.

Semoga PRN ini melahirkan pimpinan yang benar-benar membawa Sabah melangkah ke hadapan dengan stabil, adil dan bermaruah.-UTUSAN

PENULIS ialah Calon Ijazah Kedoktoran, Kepimpinan Wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN