MEMILIKI rumah sendiri menjadi impian hampir setiap penjawat awam. Ia bukan sekadar tempat berteduh tetapi lambang kestabilan hidup, kematangan kewangan dan kejayaan hasil titik peluh sendiri.
Namun bagi ramai, impian itu masih jauh. Kos sara hidup meningkat, harga rumah terus melojak, dengan gaji dan elaun bergerak perlahan.
Penjawat awam sering dianggap hidup selesa kerana gaji tetap dan jaminan kerja. Hakikatnya tidak begitu. Ramai antara mereka masih menyewa rumah, malah ada yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun tanpa memiliki rumah sendiri. Majoritinya terdiri daripada kumpulan pelaksana berpendapatan rendah dan sederhana.
Fenomena ini mencerminkan perubahan sosioekonomi yang besar. Ramai kini penjawat awam tergolong dalam kelompok ‘berpendapatan tetap tetapi terbeban’.
Pendapatan bulanan stabil tetapi tidak mencukupi untuk menampung gaya hidup bandar yang serba mencabar. Harga makanan, petrol, yuran pendidikan dan perkhidmatan terus meningkat, menyebabkan simpanan semakin menipis.
Dalam keadaan ini, memiliki rumah sendiri menjadi sesuatu yang sukar dicapai tanpa sokongan dasar yang berkesan. Justeru, Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) menjadi antara inisiatif kerajaan paling bermakna.
PPAM bukan sekadar menyediakan rumah pada harga lebih rendah tetapi satu bentuk perlindungan sosial yang membina kesejahteraan jangka panjang.
Program ini secara puratanya menawarkan rumah berkualiti pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 sepadan dengan kemampuan gaji bulanan sekitar RM3,000 hingga RM5,000.
Selain harga yang berpatutan, unit rumah yang ditawarkan tertakluk kepada lokasi, saiz rumah dan dasar kerajaan semasa.
Namun, harga rumah bukan satu-satunya cabaran. Masalah lebih besar ialah literasi kewangan isi rumah. Ramai penjawat awam masih kurang mahir mengurus pendapatan, hutang dan simpanan.
Ada yang terlalu bergantung kepada pinjaman peribadi, pembiayaan kenderaan atau kad kredit hingga tidak mampu menyediakan wang pendahuluan untuk memiliki rumah.
Kesilapan kecil dalam pengurusan kewangan boleh memberi kesan besar terhadap masa hadapan mereka.
Di sinilah pentingnya kesedaran dan pendidikan kewangan. Penjawat awam perlu memahami setiap keputusan kewangan adalah pelaburan masa hadapan.
Berbelanja tanpa perancangan, menangguh bayaran atau gagal menabung bukan sekadar kesilapan kecil tetapi boleh menjejaskan peluang memiliki rumah.
Literasi kewangan bukan hanya tentang menabung tetapi tentang memahami nilai wang, membuat bajet dan mengurus komitmen dengan berdisiplin.
Ironinya, kajian sebelum ini menunjukkan lebih 45 peratus daripada 400 responden yang ditemui telah berkhidmat melebihi 11 tahun, namun masih belum memiliki rumah sendiri.
Hal ini menunjukkan kestabilan pekerjaan tidak semestinya menjamin kestabilan kewangan jika pengurusan hutang dan simpanan tidak diberi perhatian.
Melalui PPAM, penjawat awam juga dapat belajar secara praktikal tentang tanggungjawab kewangan. Proses memohon rumah, mengurus pinjaman, menyediakan deposit dan membayar ansuran bulanan mengajar mereka berfikir panjang. Ia melatih disiplin, kesabaran dan perancangan. Inilah pembelajaran kewangan sebenar yang tidak diajar dalam bilik darjah.
Selain itu, pola pilihan rumah dalam kalangan penjawat awam kini berubah. Mereka tidak lagi mencari rumah murah tetapi yang sesuai dengan gaya hidup keluarga moden.
Lokasi berhampiran tempat kerja, sekolah, hospital dan pengangkutan awam menjadi keutamaan. Rumah yang selamat serta selesa memberi ketenangan minda, meningkatkan produktiviti kerja dan mengeratkan hubungan keluarga.
Kestabilan pekerjaan penjawat awam memberi mereka kelebihan besar dalam mendapatkan pinjaman perumahan. Namun bagi kumpulan pelaksana, kemampuan masih rendah berbanding harga rumah semasa.
Maka bantuan tambahan seperti skim pinjaman bersama pasangan, subsidi deposit rumah pertama dan bimbingan pengurusan hutang perlu diperluas. Bantuan seperti ini bukan membazir, tetapi pelaburan sosial untuk mengurangkan jurang kemiskinan bandar.
SIMBOL TANGGUNGJAWAB
PPAM pada hakikatnya ialah dasar pembangunan manusia. Ia bukan bantuan segera, tetapi peluang membina aset dan kestabilan jangka panjang.
Rumah yang dimiliki bukan sekadar harta fizikal tetapi simbol tanggungjawab dan kebijaksanaan mengurus rezeki. Pemilikan rumah meningkatkan keyakinan diri, kesejahteraan keluarga dan semangat bekerja.
Namun usaha ini tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Kejayaan sebenar PPAM bergantung kepada sikap penjawat awam sendiri. Mereka perlu menambah ilmu kewangan, merancang perbelanjaan dan menilai semula keutamaan hidup. Setiap ringgit yang dijimatkan hari ini adalah batu asas kepada rumah impian esok hari.
Pada masa yang sama, kerjasama antara kerajaan, institusi kewangan dan universiti juga penting. Universiti boleh membantu melalui penyelidikan dasar, pembangunan modul literasi kewangan dan latihan professional bagi kumpulan penjawat awam muda. Pendidikan kewangan perlu dijadikan budaya, bukan sekadar kempen bermusim.
Akhirnya, rumah sendiri bukan sekadar tempat berlindung daripada panas dan hujan. Ia lambang maruah dan kestabilan hidup.
Bagi penjawat awam, rumah sendiri adalah tanda kejayaan yang dicapai dengan usaha, disiplin dan perancangan yang bijak.
Selagi PPAM terus diperkasa dan literasi kewangan dipertingkat, impian memiliki rumah sendiri tidak akan tinggal sebagai cita-cita tetapi menjadi kenyataan yang menenangkan jiwa, membahagiakan keluarga dan mengukuhkan masyarakat.
PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










