Dari karya bahasa Cina kepada bahasa kebangsaan

Dari karya bahasa Cina kepada bahasa kebangsaan

LIM Chuan Boon (kanan) bersama-sama Liau Lay San (tengah) dan Lee Hao Jie giat mempromosi sastera Mahua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha menterjemah karya pelbagai bahasa oleh pengarang tempatan kepada bahasa kebangsaan memang dialu-alukan dan sangat penting. Masyarakat majmuk tentu berhak dan perlu tahu apa yang disajikan dalam karya bahasa Tamil dan Cina oleh penulis di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam situasi ini, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) yang ditubuhkan pada 1986 terus giat memainkan peranan. Apa yang menarik, persatuan ini memikul tanggungjawab menterjemah karya bahasa Cina kepada bahasa kebangsaan.

Untuk rekod, bahasa Mandarin ialah bahasa formal yang diajar di sekolah manakala terdapat juga dialek seperti Hokkien, Hakka, Teochew dan Kantonis dalam kalangan orang Cina.

Pada 25 September lalu, saya mengatur pertemuan dengan Lim Chuan Boon yang pernah menjadi setiausaha Perspektif (1995-2001) sebelum dipilih menjadi naib presiden dan kini diberi mandat sebagai presiden persatuan itu.

Saya memberitahunya bahawa saya mengenali karya sastera Cina tempatan menerusi antologi terbitan Perspektif seperti ‘Angkatan Ini’ (1990), ‘Gadis Dalam Gambar’ (1994), ‘Dalam Hujan Renyai’ (2000), ‘Impian di Pelabuhan’ (2004) dan ‘Dermawan’ (2023).

“Setakat ini, kami sudah berjaya mengadakan banyak aktiviti terjemahan dan penerbitan. Perspektif juga diundang ke Mesyuarat Majlis Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum pada 6 Mac lalu.

Kami terlibat dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China di Beijing pada 22 Mei lalu.

Manakala pada Julai lalu, kami menganjurkan bengkel terjemahan untuk mengasah bakat baharu,” katanya. Walaupun saya mengikuti perkembangan Perspektif sejak 1990-an, ternyata apa yang saya tahu hanyalah sedikit berbanding begitu banyak kejayaan dicapai persatuan ini dalam bidang penerbitan dan penganjuran aktiviti.

Misalnya, saya amat teruja apabila dihadiahkan koleksi tesis kajian ilmiah yang diterbitkan dalam bentuk buku. Buku ‘Perkembangan Puisi Mahua Baru’ (2022) dan ‘Perkembangan Cerpen Mahua Baru’ (2022) menjadi pelengkap kepada ‘Perkembangan Kesusasteraan Mahua Moden’ (2000) dan ‘Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu: Suatu Perbandingan’ (2006) yang ada dalam koleksi saya.

Lim Chuan Boon menjelaskan, istilah ‘Mahua’ ialah singkatan kepada ‘Malaysian Tionghua’ dan sastera Mahua merujuk khusus kepada karya bahasa Cina dihasilkan komuniti Cina di Malaysia. Karya-karya ini lebih bermakna apabila diterjemah pula supaya dapat dinikmati khalayak pelbagai kaum.

Perspektif ternyata tidak mahu sumbangan penulis kaum Cina dilupakan dan hilang ditelan zaman. Maka, lahirlah juga tesis yang dijadikan buku seperti ‘Perkembangan Esei Mahua’ (2024), ‘Perkembangan Teori dan Kritik Sastera Mahua’ (2024) serta ‘Sumbangan Suplemen Akhbar dan Majalah Tionghua Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Mahua Baru’ (2024).

Sementara saya membelek buku-buku berkenaan dengan penuh minat dan keterujaan, Lim Chuan Boon menghulurkan pula dua lagi tesis yang diterbitkan dengan judul ‘Selayang Pandang Tema-tema Karya Kesusasteraan Mahua Moden’ (2025) dan ‘Selayang Pandang Penulis-penulis Mahua dan Karya-karyanya’ (2025).

“Ketujuh-tujuh tesis yang kami sunting dan terbitkan ini berkaitan sastera Mahua dan mencakup semua genre penulisan,” beliau memaklumkan dengan penuh bangga.

Perspektif turut mengatur Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Oktober lalu.

Ia merupakan program kerjasama sejak 1992 melibatkan Perspektif, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.

“Bagi saya, Perspektif menjadi jambatan yang menghubungkan kaum Cina dengan kaum-kaum lain di Malaysia dan bahasa kebangsaan menjadi medium yang mewujudkan interaksi positif menerusi terjemahan. Maka, kami turut menyumbang kepada persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” Lim Chuan Boon mengulas dengan optimis.

Turut terlibat dalam perbualan kami di Restoran Anak Baba, Brickfields, Kuala Lumpur ialah setiausaha Perspektif, Liau Lay San dan penolongnya, Lee Hao Jie. Mereka ternyata berusaha keras mengangkat dan mempromosi sastera Mahua pada peringkat kebangsaan menerusi terjemahan.

“Setakat ini kami hanya ada 53 orang ahli, manakala individu yang benar-benar aktif mungkin kurang daripada sepuluh orang.

Hal ini mungkin kerana bidang sastera dan terjemahan bukan satu bidang yang menarik dan menguntungkan,” ujar Lim Chuan Boon sambil menegaskan, Perspektif akan terus memikul tugas dan tanggungjawab mempromosi sastera Mahua.

Persatuan ini tetap aktif walaupun menghadapi kesempitan dari segi kewangan. Antara pihak yang sentiasa membantu ialah graduan Jabatan Pengajian Melayu, Foon Yew yang kini dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Selatan di Johor Bahru.

“Ramai graduan yang kini berjaya dalam perniagaan dan sudi memberi sumbangan dana. Kalau tidak, Perspektif sukar menjalankan aktiviti kerana tidak ada apa-apa sokongan kewangan daripada kerajaan,” Lim Chuan Boon memaklumkan sambil mengucapkan terima kasih kepada para ahli jawatankuasa yang berkhidmat secara sukarela.

Persatuan ini ada dana penerbitan yang dikhususkan untuk menghasilkan buku berkaitan sastera Mahua. Apabila tesis diterbitkan dalam bentuk buku, maka dikirim ke institusi pengajian tinggi yang berminat.

“Harapan kami agar buku-buku ini menjadi bahan rujukan di universiti selain mencetuskan minat siswa-siswi melakukan kajian lebih mendalam berkaitan sastera

Mahua dan sumbangan penulis Cina tempatan,” katanya. Pada masa sama, Lim Chuan Boon berharap, perpustakaan, agensi kerajaan dan jabatan-jabatan di seluruh negara turut memberi sokongan dengan membeli buku-buku yang diterbitkan.

Generasi muda pula diharap berminat menyertai Perspektif dan meneruskan usaha terjemahan karya bermutu.

Selain daripada itu, perlu ada juga pertemuan dan interaksi antara penulis pelbagai kaum dan bahasa di negara ini.

Menyedari hal ini, Perspektif dan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (MTWA) bekerjasama dengan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menganjurkan Pertemuan Penulis Pelbagai Kaum di Brickfields pada Sabtu depan (25 Oktober 2025). – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN