KUALA LUMPUR: Manuskrip, karya kesusasteraan dan pengetahuan tradisional Melayu perlu didigitalkan supaya khazanah itu dapat diakses dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bahasa dan budaya Melayu berdepan perubahan pantas khususnya dalam cara generasi muda berkomunikasi, mendapatkan maklumat serta membentuk pemikiran.
Katanya, media sosial, kandungan digital dan pengaruh budaya global menjadikan perubahan itu semakin meluas serta sukar dibatasi oleh sempadan geografi.
“Usaha memelihara bahasa Melayu tidak boleh hanya bergantung kepada nostalgia terhadap kegemilangan masa lalu tetapi perlu memastikan bahasa ini terus hidup dan disesuaikan dengan keperluan zaman.
“Bahasa yang hidup ialah bahasa yang berkembang bersama masyarakatnya. Oleh itu, bahasa Melayu perlu terus diperkaya dengan istilah baharu, karya baharu dan pemikiran baharu supaya mampu menjawab perubahan dalam kehidupan manusia.
“Apa yang kita warisi daripada generasi terdahulu merupakan amanah tetapi apa yang kita lakukan dengan warisan tersebut merupakan tanggungjawab kita kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Kali Kelima di Hotel Seri Pacific di sini, hari ini.
Ismail berkata, bahasa Melayu perlu digunakan untuk menerbitkan karya akademik, membina pemikiran dan membincangkan persoalan besar masyarakat, bukan hanya menyampaikan ilmu yang dihasilkan dalam bahasa lain.
Katanya, perkembangan kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, ekonomi digital dan teknologi maklumat memerlukan bahan rujukan serta kandungan ilmiah yang dapat memperkayakan bahasa Melayu.
“Dalam bidang sains dan teknologi, bahasa Melayu perlu berkembang seiring dengan ilmu baharu. Kita perlu membangunkan korpus bahasa, pangkalan data digital dan teknologi pemprosesan bahasa yang mampu memahami bahasa Melayu dengan baik.
“Jika kita mahu bahasa Melayu terus mempunyai tempat dalam dunia masa hadapan, bahasa ini mesti hadir dalam ruang teknologi yang sedang membentuk kehidupan manusia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, generasi muda perlu diberikan ruang lebih luas untuk berkarya, menghasilkan ilmu, mencipta inovasi dan menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat masa kini.
Katanya, usaha memelihara bahasa Melayu juga perlu bermula daripada pendidikan dan keluarga kerana kedua-duanya membentuk asas seseorang mengenali, menggunakan serta menghargai bahasanya.
“Kita mahu anak-anak membesar dengan keyakinan terhadap bahasa Melayu, bukan kerana bahasa tersebut diwajibkan kepada mereka tetapi kerana mereka melihat bahasa itu mempunyai nilai, keindahan dan kemampuan untuk membawa mereka memahami dunia,” katanya. – UTUSAN











