37 inisiatif RM260 juta bantu rakyat Perak

37 inisiatif RM260 juta bantu rakyat Perak

SAARANI Mohamad menunjukkan dokumen Belanjawan Perak 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 37 inisiatif ber­nilai kira-kira RM260 juta dihimpunkan di bawah Sentuhan Perak Sejahtera bagi meringankan beban kehidupan dan memperluas peluang kepada rakyat Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saa­rani Mohamad berkata, ini­­siatif itu disusun melalui lima Titik Sentuhan iaitu kos sara hidup, kebajikan ke­luarga, pendidikan, usahawan ser­ta penghargaan.

Katanya, antara 37 inisiatif tersebut rebat dan sub­sidi air, prog­ram Kad Perak Sejahtera, Prog­ram Bantuan Ko­tak Makanan dan bantuan ma­kanan RM200 se­bulan kepada ma­hasiswa.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sentuhan Perak Se­jahtera lahir daripada keprihatinan yang dikongsi bersama. Kerajaan Negeri menggerakkan ikhtiar, sya­­rikat GLC dan sektor swasta menghulurkan du­­kungan.

“Jabatan serta agensi pula menyatukan tenaga de­mi memastikan manfaatnya sampai kepada rak­yat,” katanya ketika mem­bentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri Perak se­malam.

Beliau berkata, bermula Januari 2027 kesemua inisiatif itu akan dipaparkan menerusi portal www.pe­raksejahtera.com bagi memudahkan rakyat me­­ngenal pasti ban­tuan yang bersesuaian.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, bagi meringankan kos sara hidup, Kerajaan Ne­geri melalui Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan RM41.13 juta untuk rebat dan subsidi air, termasuk rebat RM4 sebulan kepada semua pengguna akaun domestik.

“Program Kad Perak Sejah­tera pula diperuntukkan RM26 ju­ta untuk membantu kira-kira 22,000 penerima, manakala RM6.2 juta disediakan bagi Program Bantuan Kotak Makanan dan RM4 juta bagi Pasar Sejah­tera Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Perkhidmatan Bas Perak Sejahtera yang diperuntukkan RM4.4 juta akan diperluas ke Hulu Perak dengan tiga laluan baharu, menjadikan keseluruhannya 16 laluan.

Selain itu katanya, dalam aspek kebajikan, RM47.7 juta disediakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk RM37 juta bagi Bantuan Am Negeri.

“Kerajaan Negeri juga buat julung kalinya memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan Islam Percuma Menuju Cinta Sakinah yang memanfaatkan 3,000 bakal pengantin,” ujarnya.

Katanya, bagi pendidikan, tiga inisiatif bantuan makanan bernilai RM7.21 juta diteruskan, termasuk bantuan makanan RM200 sebulan kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah di lima kampus universiti di Perak.

“Saya percaya, anak-anak kita harus diberikan peluang untuk menuntut ilmu dan mengejar cita-cita, tanpa perlu menahan lapar atau dibelenggu resah untuk mengisi perut setiap hari,” katanya.

Tambah Saarani, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Farm Fresh Berhad melaksanakan program Perak Fresh, iaitu pemberian susu percuma di 177 prasekolah terpilih, terutamanya di kawasan luar bandar.

Menurut beliau untuk usahawan pula, RM4.29 juta disediakan kepada Sekretariat Usahawan Perak (STeP) termasuk bagi Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK dan GeRAK+), selain RM2 juta bagi Tabung Usahawan di bawah Yayasan Perak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini