MENYERU manusia kepada agama Islam merupakan satu amanah mulia di sisi Allah SWT. Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah…” (Fussilat: 33).
Usaha dakwah adalah warisan agung Rasulullah SAW yang perlu diteruskan oleh umat Islam sepanjang zaman. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik serta mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali Imran: 104).
Dakwah memastikan umat Islam terus dirasakan kewujudannya dalam masyarakat. Tujuan utamanya ialah mengingatkan manusia tentang tanggungjawab mentauhidkan Pencipta, melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Allah menegaskan:
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi teguh di atas tauhid, mendirikan solat serta menunaikan zakat. Dan demikian itulah agama yang benar.” (al-Baiyyinah: 5).
LANDASAN DAKWAH
Dalam melaksanakan dakwah, dua sumber autentik menjadi pegangan utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-duanya memiliki kekuatan rohani yang dapat membangkitkan jiwa, membentuk akhlak serta memberi panduan kepada pendakwah dan mad‘u (sasaran atau objek dakwah itu sendiri).
Al-Quran diturunkan untuk mengetuk hati manusia agar memahami hakikat kewujudan mereka. Dakwah berfungsi sebagai dialog rohani supaya fitrah manusia tidak tersasar kepada kekufuran, sebaliknya memilih jalan iman dengan mengesakan Allah SWT.
Namun, seruan dakwah bukanlah paksaan. Orang bukan Islam berhak menerima atau menolak ajakan itu. Pendakwah sekadar penyampai yang menunjukkan jalan tauhid, kebaikan dan keredaan Allah SWT.
Pendakwah memerlukan kekuatan rohani (ruhiyyah) yang mantap, berasaskan akidah sahih. Akidah adalah pasak hati. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menjaga ibadah dan sentiasa berlumba dalam kebaikan.
Tiga amalan penting untuk memperkukuh rohani ialah qiamullail, membaca al-Quran dan berzikir. Jika dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah, amalan ini membentuk keperibadian yang luhur.
Selain kekuatan rohani, pendakwah mesti menguasai ilmu pengetahuan agama, termasuk tasawur Islam. Apabila berdakwah kepada bukan Islam, aspek ketuhanan, sifat-sifat Allah dan kebaikan Islam perlu dijelaskan dengan ilmu yang sahih.
Kewajipan dakwah bukan sekadar tanggungjawab individu, bahkan pemimpin dan kerajaan. Sirah menunjukkan Rasulullah SAW, sebagai ketua negara Madinah, tetap menyeru kaum Quraisy, kabilah Yahudi, serta kerajaan luar Jazirah Arab agar menerima Islam.
Metod dakwah Rasulullah turut melibatkan siyasah-dakwah (pendekatan politik dakwah). Baginda mengutus surat dan utusan kepada pemerintah Habsyah, Parsi, Rom dan lain-lain, menyeru mereka mentauhidkan Allah.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa dakwah bukan sekadar ceramah atau khutbah, tetapi juga melibatkan hubungan diplomasi dan politik, demi menyebar serta mempertahankan Islam.
KEGEMILANGAN DAKWAH
Selepas Rasulullah SAW, para khalifah meneruskan siyasah dakwah. Hasilnya, Islam tersebar luas ke Asia Tengah, Asia Tenggara, Afrika Utara, hingga ke Andalusia. Kekuatan ini dicapai melalui dakwah dan politik, manakala peperangan hanya dilakukan sebagai reaksi mempertahankan diri.
Firman Allah: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu tetapi janganlah melampaui batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (al-Baqarah: 190).
POLITIK DAKWAH: MEDAN UJIAN BERAT
Politik dakwah adalah medan paling mencabar. Ia menuntut kesetiaan, kesabaran dan akhlak mulia. Pemimpin mesti mampu mengawal pengikut dengan syakhsiyyah rabbaniyyah agar dakwah kekal teguh.
Dr. Badli Shah Alauddin dalam bukunya Seni Dakwah Kontemporari (2016) menegaskan politik-dakwah ialah medan tarbiah lapangan yang mendidik kader dakwah untuk istiqamah dan berjuang menegakkan kebenaran.
Di Malaysia, Pas menjadi contoh parti yang menzahirkan politik dakwah melalui demokrasi pilihan raya. Dengan kuasa, mereka berusaha menegakkan pemerintahan adil berlandaskan Islam.
Pendekatan Pas berasaskan kefahaman agama mendalam (tafaqquh fi ad-din), bukannya semangat kosong.
Pas menekankan hikmah, kematangan dan keadilan agar perjuangan politik-dakwah membawa rahmat dan keamanan, sesuai dengan Islam sebagai rahmatan lil-‘alamin. Wawasannya bukan hanya duniawi, tetapi juga ukhrawi, seimbang antara kepentingan individu dan masyarakat.
Pas tidak boleh disamakan dengan Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Taliban, al-Qaeda atau Daish. Sebagai parti politik berdaftar di Malaysia, Pas bergerak dalam kerangka demokrasi, berijtihad sesuai dengan realiti semasa tetapi tetap berpegang pada prinsip Islam.
Medan politik Malaysia yang majmuk dan pelbagai aliran menjadikan perjuangan dakwah semakin mencabar. Ia menuntut kebijaksanaan, istiqamah dan kesabaran tinggi daripada pemimpin dan kader dakwah.
Kepimpinan mesti menjaga syakhsiyyah rabbaniyyah agar tidak terjebak dalam fitnah politik. Mereka perlu memiliki izzah (harga diri) dan semangat juang kental untuk mengharungi cabaran.
Dakwah adalah amanah agung dan asas kekuatan umat. Tanpanya, umat Islam akan lemah dan kehilangan jati diri. Sama ada melalui pendekatan individu, sosial atau politik, dakwah mesti diteruskan dengan berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Jika dakwah dipinggirkan, umat akan kehilangan kekuatan mempertahankan akidah, syariat dan maruah. Namun, jika ia dilaksanakan dengan istiqamah, hikmah dan keikhlasan, maka Islam akan terus terpancar sebagai rahmat kepada seluruh alam. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










