Lumpuhkan sindiket jenayah terancang di Selangor sasaran Shazeli

Lumpuhkan sindiket jenayah terancang di Selangor sasaran Shazeli

SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMEJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak sekian lama tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat.

Ketua Polis Selangor, DATUK  SHAZELI KAHAR tampil dengan iltizam baharu untuk mengembalikan semula kepercayaan orang ramai khususnya di negeri Selangor.

Sejak memegang tampuk kepimpinan kontinjen Selangor pada 30 Julai lalu, Shazeli mahu hubungan rapat antara polis dan masyarakat diperkukuhkan meskipun mengakui perkara itu bukan satu tugas yang mudah.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NURAINA HANIS ABD HALIM dan MASZUREEN HADZMAN dan jurugambar AFIQ RAZALI di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana kadar jenayah di Selangor ketika ini?

SHAZELI: Lima daripada 16 daerah di Selangor menunjukkan peningkatan kepada jenayah ini iaitu di Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang dan Kajang. Bagaimanapun, ia masih terkawal.

Sekarang ini, kita berusaha untuk menyelesaikan sesuatu kes yang akhirnya membawa kepada pertuduhan.

Apa yang menakutkan adalah kes meningkat tetapi tidak selesai. Itu yang lebih membimbangkan.

Operasi pencegahan jenayah perlu diperhebat bagi mengesan, menangkap seterusnya mendakwa penjenayah di mahkamah.

Tindakan ini sekali gus mengurangkan perasaan fear of crime dalam masyarakat khususnya dalam jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang menunjukkan trend yang meningkat.

Adakah kes di Selangor juga banyak melibatkan jenayah terancang?

Terdapat beberapa kawasan di Selangor, khususnya di Klang dan Kuala Langat dikenal pasti mempunyai kegiatan jenayah terancang sehingga wujudnya aktiviti pengedaran dadah dan lain-lain jenayah.

Polis Selangor mengambil serius isu ini dan bertindak dengan teliti agar sindiket ini dapat dilumpuhkan sekali gus tindakan perundangan dapat diambil. Kita tidak mahu tangkap, reman kemudian mereka bebas.

Apa tindakan yang diambil untuk menangani jenayah-jenayah ini?

Kerjasama antara polis dan komuniti menjadi semakin penting dalam usaha membanteras jenayah secara holistik. Melalui pendekatan ini, polis secara aktif mengadakan dialog bersama komuniti, ceramah keselamatan, serta lawatan mesra ke kawasan kejiranan.

Komuniti pula digalakkan untuk menyalurkan maklumat serta melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis tanpa rasa takut. Inisiatif seperti Community Policing, Program Rondaan Sukarela (SRS), Program Pencegahan Jenayah dan Program High Profile Policing (HPP) telah berjaya memperkukuhkan hubungan antara polis dan penduduk setempat serta dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan, malah membina budaya masyarakat yang prihatin dan proaktif dalam menjaga keselamatan bersama.

Tambahan pula, PDRM turut memanfaatkan platform media sosial dan aplikasi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memudahkan rakyat menyalurkan maklumat terus kepada polis.

Ini memudahkan komunikasi dua hala antara polis dan masyarakat serta meningkatkan kecekapan dalam mengambil tindakan segera terhadap kes jenayah.

DATUK SHAZELI KAHAR

Bagaimana penggunaan dron, CCTV dan kamera badan?

Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) amat diperlukan di seluruh perimeter (kawasan) balai, IPD dan IPK bagi meningkatkn kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Penggunaan dron dapat membantu dalam pemantauan trafik, jaga aman, cegah jenayah dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, kos yang tinggi dan kekurangan operator (dron pilot) berkelayakan di kontinjen perlu ditangani dahulu.

Dalam pada masa sama, PDRM Selangor akan terus berusaha menjalin kerjasama bersama agensi di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri serta syarikat swasta dalam usaha membanteras kegiatan jenayah

Kerjasama ini boleh direalisasikan melalui bantuan membekalkan peralatan atau aset yang tidak dapat disediakan oleh PDRM.

Di Selangor, sebanyak 1,320 set lengkap kamera badan (BWC) bersama aksesori telah dibekalkan bagi membantu pemantauan jenayah dan operasi.

Namun, terdapat segelintir anggota dikesan tidak mengaktifkan BWC ketika bertugas.

Sehubungan itu, diingatkan bahawa tiada kompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana petugas yang ingkar menggunakan peralatan berkenaan.

Penggunaan Mobile Card Acceptance Device (MCAD) turut banyak membantu petugas mendapatkan maklumat penting dengan lebih pantas.

Malah, teknologi terbaharu membolehkan bilik gerakan memantau pergerakan pengguna MCAD menerusi kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi sebagai alat pengesan lokasi.

SHAZELI KAHAR

Apa penambahbaikan yang perlu dilakukan pihak polis ketika ini?
Paling penting, sistem penyampaian kaunter perlu diperbaiki kerana anggota polis perlu berhadapan dengan masyarakat yang mahu mengadu dan menjadi mangsa kes jenayah.

Sistem penyampaian barisan hadapan di lapangan juga perlu ditambah baik antaranya anggota di balai, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Peronda Polis (MPV) juga perlu diperhebatkan.

Saya juga berusaha untuk menambah baik aspek siasatan dan pengurusan kes melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Ketua Polis Daerah serta ketua-ketua bahagian juga mesti memainkan peranan mendengar, memantau dan memberi maklum balas kepada setiap aduan yang dibuat.

Dalam masa sama, usaha pengukuhan integriti diperkasa melalui latihan dalam perkhidmatan, kursus berkaitan tugasan serta program kerohanian yang menjadi landasan membentuk jati diri warga polis.

Selain itu, pemantauan disiplin termasuk menerusi Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dilaksanakan secara bersemuka bagi memastikan anggota bukan sahaja menerima arahan, malah turut merasai keprihatinan dan sikap ambil tahu daripada penyelia.

Bagaimana tahap keberkesanan operasi khas dan rondaan berkala?

Salah satu elemen utama dalam usaha pencegahan jenayah ialah pelaksanaan rondaan berkala dan operasi khas oleh pihak polis.

Program rondaan ini bukan sahaja melibatkan anggota polis berpakaian seragam, tetapi juga kerjasama dengan agensi lain.

Operasi ini akan dikoordinasikan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) menerusi pelaksanaan beberapa siri operasi, antaranya Op Bersepadu Khas Pencegahan Jenayah di setiap daerah, Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Arahan Pengarah JPJKK, Op 3 Penjuru Pencegahan Jenayah dan Op Lusuh.

Kesemua operasi menunjukkan impak positif dalam menurunkan kadar jenayah di kawasan panas. Kajian dalaman PDRM bersama laporan statistik menunjukkan bahawa peningkatan kehadiran polis di kawasan berisiko mampu memberi kesan pencegahan dengan mewujudkan rasa takut dalam kalangan penjenayah, sekali gus meningkatkan keyakinan serta rasa selamat orang awam.

Keselamatan awam merupakan tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa dan masyarakat. Dengan pendekatan bersepadu melalui kerjasama komuniti, pelaksanaan program pencegahan jenayah dan rondaan polis yang konsisten, tahap keselamatan awam dapat terus dipertingkatkan.

Lebih penting, pembudayaan sikap prihatin dan saling mempercayai antara rakyat dan pihak polis perlu sentiasa dipupuk bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang aman dan selamat untuk didiami. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×