JAWATANKUASA Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam ditubuhkan pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) ke-70 pada 28 Ogos 2023.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Pengerusi MKI ketika itu memberikan tempoh setahun bagi jawatankuasa tersebut membuat pengesyoran kepada MKI dan Majlis Raja-Raja kaedah yang terbaik untuk memperkasakan perundangan Islam dan mahkamah syariah.
Berdasarkan laporan, jawatankuasa tersebut mengadakan lebih 40 kali mesyuarat dan syor-syor telah dibuat kepada MKI pada 1 Julai lalu dan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 16 Julai, kini diperingkat penelitian jemaah menteri.
Keperluan terhadap kajian dan kaedah memperkukuhkan kuasa negeri dalam menggubal perundangan Islam menjadi kian mendesak apabila Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes mendapati terdapat peruntukan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri dikatakan berada dalam Senarai Persekutuan menjadikan peruntukan itu terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melangkaui wewenang DUN untuk menggubalnya.
Kelihatannya penghakiman tersebut mengakaskan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menetapkan kedua-dua perundangan sivil dan syariah boleh wujud secara dikotomi asalkan seseorang tertuduh tidak dituduh dua kali di atas satu kesalahan yang sama.
POLEMIK BIDANG KUASA NEGERI
Antara isu yang perlu diselesaikan segera adalah sama ada DUN yang selama ini menggubal perundangan syariah melalui Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri sebenarnya mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan kesalahan jenayah syariah yang kesalahan tersebut juga diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.
Tentunya selama ini apabila DUN menggubal perundangan syariah tersebut mereka merujuk kepada peruntukan dalam Senarai II Negeri yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menetapkan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan jenayah syariah berkaitan pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam.
Komuniti perundangan dalam negara kita juga dikejutkan apabila Mahkamah Persekutuan pada tahun ini memutuskan fatwa dan seterusnya mahkamah syariah hanya boleh membuat perintah terhadap orang Islam (natural persons) dan kedua-dua institusi ini tidak berbidang kuasa untuk membuat apa-apa perintah kepada entiti atau syarikat yang bukan orang sebenar (artificial persons) walaupun entiti itu dimiliki oleh orang Islam.
Arah fikir seumpama ini akan akhirnya merubah lanskap perundangan syariah dalam negara yang wujud terlebih awal dari kewujudan Perlembagaan Persekutuan.
Teringat saya watak menteri nikah kahwin dalam cerita Musang Berjanggut arahan Tan Sri P. Ramlee yang seolah-olah membenarkan dakwaan institusi agama Islam yang dikawal oleh negeri-negeri kini hanya mempunyai kuasa terhad dalam hal ehwal nikah dan kahwin sahaja.
KESAN DOMINO MENGHAKIS KUASA NEGERI
Kesan domino pasca penghakiman-penghakiman Mahkamah Persekutuan ini dibimbangi bukan sahaja mengurangkan kuasa DUN, fatwa dan mahkamah syariah malahan juga mencetuskan polemik sama ada apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu adalah citra sebenar konsep negara Persekutuan sebagaimana yang dimanifestasikan dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri yang perlu ditelusuri berdasarkan sejarah penubuhan negara.
SYOR -SYOR PERLU DIUMUMKAN
Oleh kerana tempoh setahun Jawatankuasa Khas untuk menyempurnakan pengesyoran telah lama berakhir dan syor-syor telah pun dikemukakan kepada pihak tertentu, maka lebih adil jika hasil dapatan itu tidak hanya diteliti secara eksklusif di peringkat Persekutuan.
Sebaliknya, ia juga perlu dimaklumkan kepada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perlis yang paling terkesan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Apatah lagi ketika penubuhan jawatankuasa ini, rakyat keseluruhan diberikan harapan inilah platformnya untuk kuasa negeri dan persekutuan diharmonikan bagi mengakhiri polemik bidang kuasa ini.
Syor-syor Jawatankuasa Khas tidak seharusnya diarkibkan sebagai makalah undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu diumumkan agar menjadi asas panduan untuk diperjuangkan pelaksanaannya oleh semua pihak, khususnya ahli Parlimen dan DUN Islam merentasi parti, ahli eksekutif serta badan kehakiman.
Hal ini penting sebagai kesinambungan usaha Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim yang meletakkan sempadan jelas antara kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah melalui pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan 1988, lebih-lebih lagi apabila Menteri Hal Ehwal Agama kini juga merupakan seorang figura kehakiman.
Jika sempadan kuasa Persekutuan dan negeri ini tidak dileraikan secara tuntas dengan segera ia akan menyekat perkembangan perundangan Islam di negeri-negeri malahan membuka ruang untuk lebih banyak peruntukan jenayah syariah negeri diakaskan.
Amatlah wajar agar semua pihak diberikan ruang meneliti pengesyoran yang dibuat dan jika ia baik untuk perundangan Islam, maka hendaklah dijadikan syor-syor itu sebagai misi bersama bagi memperkasakan kuasa DUN, perundangan Islam dan mahkamah syariah.-UTUSAN
DATUK Ikbal Salam ialah pengamal undang-undang, peguambela & peguamcara.










