Sejahtera Madani platform memperkukuh agenda kerajaan

Sejahtera Madani platform memperkukuh agenda kerajaan

KEJAYAAN Sejahtera Madani perlu diukur berdasarkan impak yang dapat dilihat dan dirasa oleh rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Sejahtera Madani baru-baru ini bukan sekadar satu lagi inisiatif kerajaan menangani kemiskinan. Ia adalah manifestasi langsung dalam menterjemahkan hasrat prinsip Ekonomi Madani ke lapangan.

Dalam kesibukan wacana nasional tentang kemiskinan dan jurang sosial, pengumuman tersebut memberi nada berbeza. Ia bukan sekadar bantuan rakyat atau paket kebajikan bermusim; sebaliknya usaha menstrukturkan semula cara negara melihat, memahami dan bertindak terhadap isu kemiskinan.

Lebih penting, ia dilihat sebagai usaha mengalihkan naratif ekonomi negara dari angka pertumbuhan kepada kesejahteraan rakyat. Maka, ia mesti menjadi platform tindakan bukan sekadar slogan. Ini sangat kritikal bagi merealisasikan cita-cita Ekonomi Madani yang bersifat manusiawi dan menyeluruh dengan menjelmakan wacana kepada intervensi konkrit sampai ke akar umbi rakyat.

Sejak era penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), agenda ini sudah menjadi keutamaan dasar. Tiada mana-mana kerajaan, tanpa mengira ideologi atau aliran politik meminggirkan isu ini.

Namun , iltizam politik ialah koordinasi yang benar-benar utuh, tahan uji serta tidak mudah dilunturkan oleh perubahan tampuk kuasa dan bersifat apolitical (berkecuali dalam politik). Inilah antara sebab utama kegagalan pelbagai inisiatif terdahulu.

Banyak program menjadi mangsa ketidakselarasan dasar serta pelaksanaan, ditambah pula kecenderungan menjadikan isu kemiskinan sebagai modal politik dan bukan satu amanah nasional.

Dalam konteks inilah Sejahtera Madani harus dinilai bukan sebagai program kebajikan sementara yang bersifat populis, tetapi sebagai pendekatan keseluruhan negara untuk menyusun semula cara memahami, merancang dan melaksanakan dasar pembasmian kemiskinan.

Pendekatan menangani kemiskinan jelas tidak boleh hanya dibaca melalui indeks makro atau garis kemiskinan mutlak, tetapi melalui dimensi yang lebih menyeluruh. Ia meliputi kemampuan akses kepada perkhidmatan awam, daya tahan ekonomi isi rumah, jaringan sokongan sosial dan peluang peningkatan mobiliti sosial.

PERBAHARUI MODEL BASMI KEMISKINAN

Sejahtera Madani mempunyai potensi untuk membaharui model basmi kemiskinan yang sedia ada. Ia tentang cara menangani dan pendekatan serta ekosistem yang diperlukan.

Tanggungjawab berat ini memerlukan seluruh ekosistem nasional agensi awam, sektor swasta, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil untuk menyumbang secara sinergistik melalui kerjasama empat penjuru (quadruple helix model).

Berdasarkan model ini, bukan hanya kehadiran pelbagai pihak yang ‘terlibat’ dalam program tetapi penciptaan dan pemilikan bersama.

Akademik membawa data dan pencerahan sementara sektor swasta menyumbang kepakaran dan jaringan logistik. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula berperanan sebagai penghubung sosial dan komuniti tempatan menyuarakan keperluan sebenar mereka. Ini bukan lagi pendekatan birokratik sehala tetapi ekosistem tindakan bersama yang hidup, fleksibel dan responsif.

Lebih penting lagi, kerjasama ini wajar dijadikan teras dasar pembangunan jangka panjang yang mempunyai pelan tindakan rentas kerajaan, yang tidak terikat kepada mana-mana kitaran pilihan raya.

SUSUN SEMULA STRATEGI KEBANGSAAN
Sejahtera Madani juga menawarkan potensi untuk menyusun semula strategi nasional menangani kemiskinan. Antara kelemahan ketara dalam dasar-dasar terdahulu ialah ketidakselarasan antara program peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Banyak inisiatif sama ada bertindan, bersifat silo atau gagal sampai ke golongan sasaran kerana tiada kesinambungan dan ketelusan rantaian pelaksanaan.

Melalui pendekatan keseluruhan negara , Sejahtera Madani membuka ruang kepada penyusunan semula bukan sahaja pada peringkat teknikal program tetapi juga dari segi tadbir urus dan pastinya ukuran kemiskinan. Perlu ada pemetaan semula lokasi miskin tegar, bukan sekadar berdasarkan angka statistik makro tetapi diperhalusi dengan penilaian mikro komuniti yang berubah-ubah dari masa ke masa.

Di peringkat negeri sudah ada usaha yang menghala ke arah ini. Proses pelaksanaan yang berjalan selama ini sudah mengenal pasti kelemahan dan kelompongan yang perlu diperbaiki.

Dengan pelaksanaan Sejati Madani, Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan pelbagai program madani lain pastinya mengesahkan titik-titik yang perlu disambung supaya penyampaian lebih berimpak. Kerjasama rentas kementerian dan agensi perlu diperkukuh dan peranan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diperkasa, agar strategi kebangsaan benar-benar membumi selain sesuai dengan realiti setempat.

Setiap daerah mempunyai cerita dan keperluan berbeza dan di sinilah pentingnya wacana dasar beralih kepada dasar tindakan. Semua ini boleh dijenamakan di bawah Sejahtera Madani.

CAPAI MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN
Apa yang sering dilupakan ialah agenda pembasmian kemiskinan adalah sasaran utama dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG-1). Namun begitu, pencapaian SDG tidak harus dibiarkan menjadi urusan jabatan perancang atau laporan antarabangsa semata-mata. Ia mesti diterjemah ke dalam tindakan yang bersifat granular, terarah dan berskala tempatan.

Sejahtera Madani, jika disusun dengan betul, boleh menjadi tulang belakang kepada pemetaan semula sasaran SDG terutamanya dalam menangani kemiskinan pelbagai dimensi merangkumi aspek pendapatan, akses pendidikan, kesihatan, tempat tinggal, keterhubungan dan peluang mobiliti sosial.

Apa yang perlu ialah indikator pelaksanaan yang lebih bersifat masa nyata dan interaktif bukan sekadar statistik tahunan yang hanya tiba selepas tindakan tidak lagi relevan.

TINDAKAN

Di tengah-tengah kelesuan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan dasar awam, Sejahtera Madani hadir sebagai peluang penting untuk mengembalikan makna kepada istilah ‘pembangunan’. Ia menuntut kita menyusun semula struktur dasar agar lebih tahan uji, inklusif dan tulen dalam hasratnya.

Jika Ekonomi Madani ialah idealisme keadilan sosial, maka Sejahtera Madani adalah pentas ujian sejauh mana idealisme itu mampu mendarat ke bumi.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN