Pembaharuan sistem kehakiman perlu dilakukan dengan hati-hati

Pembaharuan sistem kehakiman perlu dilakukan dengan hati-hati

HAKIM sepatutnya metafsirkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen, bukannya menggubal undang-undang daripada kerusi kehakiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KEDAULATAN undang-undang bermaksud secara literal apa yang dikatakan: kedaulatan undang-undang. Diambil dalam erti kata yang luas ini, ia bermaksud bahawa setiap orang harus mematuhi undang-undang dan diperintah oleh undang-undang. Tetapi dalam teori politik dan undang-undang, ia telah dibaca dalam erti kata yang sempit, bahawa kerajaan hendaklah diperintah oleh undang-undang dan tertakluk kepadanya. Cita-cita Kedaulatan Undang-undang dalam pengertian ini sering dinyatakan dengan frasa ‘pemerintahan melalui undang-undang dan bukan oleh pemerintah’.” – Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Sistem kehakiman sebagai tonggak ketiga dalam struktur pemerintahan negara bangsa, adalah nadi penting yang menjamin keadilan dan kedaulatan undang-undang. Di Malaysia, isu-isu berkaitan kecekapan badan kehakiman, khususnya isu berkaitan kes tertunggak dan kualiti penghakiman sering kali menjadi topik perbincangan. Dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan awam dan kecekapan sistem, wacana mengenai pembaharuan dalam badan kehakiman semakin mendapat perhatian. Antara cadangan yang dikemukakan adalah untuk meluaskan kelayakan dan latar belakang hakim, melangkaui pengalaman sebagai peguam kanan sahaja.

Cadangan ini bukanlah sesuatu yang asing. Negara-negara Komanwel lain seperti Singapura, United Kingdom dan Australia telah lama mengintegrasikan pelbagai profesional undang-undang termasuk ahli akademik dan pesuruhjaya kehakiman ke dalam sistem pelantikan hakim mereka. Pendekatan ini bukan sahaja dapat mempercepatkan proses keadilan dengan mengurangkan kes tertunggak, malah turut memperkaya badan kehakiman dengan kepakaran khusus yang pelbagai. Ia dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan badan kehakiman kekal relevan dan berkesan dalam menangani kerumitan isu undang-undang moden.

Namun, dalam keghairahan mengejar pembaharuan, kita tidak boleh alpa terhadap satu lagi kebimbangan besar yang melingkari badan kehakiman kita iaitu isu aktivisme kehakiman yang melampau. Kebelakangan ini, timbul persoalan mengenai sejauh mana hakim boleh melangkah melangkaui peranan tradisional mereka sebagai pentafsir undang-undang. Pertimbangan ini muncul apabila doktrin luar, seperti doktrin ‘struktur asas’ dari India, mula diterima pakai oleh mahkamah kita.

Pada dasarnya, doktrin ini membolehkan hakim untuk membatalkan sesuatu pindaan Perlembagaan yang digubal oleh Parlimen jika ia dianggap melanggar ‘struktur asas’ Perlembagaan Persekutuan. Walaupun ada yang berpendapat doktrin ini adalah benteng terakhir yang penting untuk melindungi hak-hak asasi dan demokrasi daripada penyalahgunaan kuasa, ramai juga yang berasa gusar. Mereka melihatnya sebagai satu bentuk ‘penjajahan undang-undang’ yang mengimport prinsip asing yang tidak mengambil kira konteks sejarah, budaya dan sosial di Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibina atas asas unik yang berbeza dengan Perlembagaan India. Perlembagaan kita tidak hanya memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang, malah turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai sebahagian daripada proses penggubalan. Struktur ini adalah refleksi kepada kontrak sosial yang telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan. Kontrak ini menjamin jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa khususnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Bumiputera.

Penerimaan masuk doktrin struktur asas bukan sahaja menidakkan keunikan identiti Perlembagaan Persekutuan sebagai instrumen bukti rundingan pelbagai pihak yang menuntut kemerdekaan negara. Bahkan lebih teruk lagi, meluaskan tafsiran berdasarkan prinsip doktrin struktur asas sebetulnya adalah ancaman kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang kerana apabila doktrin struktur asas digunakan, ia secara tidak langsung membuka ruang untuk tafsiran perlembagaan yang berpotensi menjejaskan peruntukan-peruntukan kritikal ini.

Dalam beberapa kes, keputusan mahkamah telah mengisytiharkan peruntukan undang-undang yang sah sebagai tidak berperlembagaan, dengan alasan ia bertentangan dengan struktur asas. Hal ini menimbulkan persoalan yang amat penting: Apakah kuasa rakyat melalui wakil yang mereka pilih di Parlimen kini boleh diketepikan oleh tafsiran sekelompok hakim yang tidak dipilih?

Ini adalah satu pencabulan terhadap prinsip pemisahan kuasa. Hakim sepatutnya metafsirkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen, bukannya menggubal undang-undang daripada kerusi kehakiman. Apabila hakim mula meletakkan had kepada kuasa pindaan Parlimen, mereka secara tidak langsung telah mengambil alih kuasa legislatif, yang merupakan mandat mutlak rakyat.

Justeru, walaupun pembaharuan dalam sistem kehakiman amat diperlukan, ia harus dilakukan dengan berhati-hati. Pembaharuan yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kes tertunggak adalah langkah yang tepat. Ia adalah jalan untuk membina sistem keadilan yang lebih pantas dan lebih dipercayai oleh rakyat. Perlu ditekankan bahawa pembaharuan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan aktivisme kehakiman yang melampau berleluasa.

Sudah tiba masanya untuk kita semua, tanpa mengira latar belakang, menjadi lebih cakna terhadap hala tuju sistem perundangan kita. Kita perlu memastikan bahawa undang-undang kita kekal dalam acuan kita sendiri, bebas daripada pengaruh luar dan berpaksikan kepada jati diri Malaysia. Kuasa kedaulatan undang-undang harus kekal di tangan rakyat, bukan diserahkan kepada tafsiran yang boleh merungkai pasak negara bangsa. – UTUSAN

PENULIS ialah mahasiswa Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN