Malaysia negara kaya tetapi ekonomi rapuh

Malaysia negara kaya tetapi ekonomi rapuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS rantaian nilai ekonomi Malaysia-China mendedahkan lima cabaran utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pembuat dasar. Walaupun Malaysia memiliki kelebihan dalam beberapa sektor, kelemahan struktur ekonominya boleh menjejaskan kestabilan dan kemakmuran jangka panjang.

MUSIBAH ANUGERAH ALAM
Malaysia hari ini menghadapi musibah anugerah alam. Ia fenomena bagi negara kaya dengan sumber semula jadi tetapi gagal mencapai pembangunan ekonomi seimbang.

Sektor perlombongan dan penggalian negara mencatatkan kelebihan mengagumkan sebanyak 3.93 mata berbanding China, menjadikannya antara sektor paling dominan dalam ekonomi negara.

Namun, dominasi ini bukanlah petanda kekuatan sebenar. Sektor perlombongan, walaupun menguntungkan, namun tidak membangunkan kemahiran teknologi atau kapasiti inovasi yang diperlukan ekonomi moden.

Pekerja dalam sektor ini mahir dalam mengeluarkan bahan mentah, bukan memprosesnya menjadi produk bernilai tinggi. Lebih membimbangkan, ekonomi menjadi terlalu bergantung kepada harga komoditi global yang boleh berubah dengan drastik dalam masa singkat.

Kejatuhan harga minyak sawit atau penurunan permintaan bijih timah memberi kesan besar kepada ekonomi. Berbeza dengan Jepun dan Korea Selatan yang berjaya membina ekonomi berteknologi tinggi tanpa bergantung pada sumber asli. Malaysia perlu sedar kebergantungan berlebihan kepada hasil alam boleh menghalang kemajuan jangka panjang.

DILEMA PERANTARA EKONOMI
Kelebihan Malaysia dalam sektor perdagangan borong dan runcit menunjukkan kejayaan negara sebagai hub perdagangan serantau. Kedudukan strategik di Selat Melaka dan infrastruktur pelabuhan yang canggih membolehkan Malaysia menjadi pintu masuk utama untuk perdagangan antara Asia Timur dan dunia. Namun, kejayaan ini menyembunyikan masalah yang mendalam.

Malaysia menjadi perantara ekonomi iaitu negara yang untung daripada memindahkan barang dari satu tempat ke tempat lain, tetapi tidak menghasilkan produk sendiri. Seperti kedai yang menjual barang import, Malaysia mendapat keuntungan daripada margin perdagangan, bukan daripada mencipta nilai sebenar. Ini bermakna apabila negara lain membangunkan laluan perdagangan alternatif atau teknologi yang membolehkan perdagangan langsung, kedudukan Malaysia boleh terancam.

Lebih kritikal lagi, aktiviti perantara ini tidak membangunkan kemahiran yang boleh dipindahkan ke sektor lain. Kemahiran mengurus gudang dan mengatur pengangkutan berbeza dengan kemahiran mereka bentuk produk atau membangunkan teknologi.

Negara yang terlalu bergantung kepada aktiviti perantara berisiko ketinggalan apabila ekonomi global berubah kepada model yang lebih terintegrasi dan automatik.

RISIKO BERGANTUNG SATU SEKTOR
Sektor elektrikal dan peralatan optik negara menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan total rantaian 10.84, menjadikannya jentera pertumbuhan utama ekonomi.

Malaysia berjaya menarik syarikat-syarikat teknologi global menubuhkan kilang dan pusat pemasangan di sini. Namun, kejayaan ini mencipta masalah baharu dikenali sebagai kebergantungan dalam sektor tentu.

Apabila satu sektor terlalu dominan, ekonomi menjadi rapuh. Jika industri elektronik global terganggu akibat krisis komponen, perubahan teknologi atau pengalihan pengeluaran, Malaysia bakal terjejas teruk. Seperti meletakkan semua telur dalam satu bakul, strategi ini menguntungkan dalam jangka pendek tetapi berisiko tinggi.

China, sebaliknya, menunjukkan struktur ekonomi lebih seimbang dengan kekuatan tersebar dalam pelbagai sektor dari industri berat hingga perkhidmatan canggih. Ini memberikan China fleksibiliti lebih besar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global.

Malaysia perlu belajar daripada pendekatan ini dan membangunkan sektor-sektor lain untuk mengurangkan risiko berkaitan ketergantungan berlebihan kepada satu industri.

HUBUNGAN YANG TIDAK SEIMBANG
Hubungan ekonomi Malaysia-China menunjukkan corak hubungan tidak seimbang. Walaupun kedua-dua negara bergantung antara satu sama lain, tahap dan jenis pergantungan tersebut berbeza secara signifikan.

Malaysia bergantung kepada China untuk pasaran, teknologi dan pelaburan, manakala China melihat Malaysia sebagai salah satu daripada banyak rakan kongsi yang boleh diganti.

Dalam sektor peralatan elektrik, Malaysia mungkin memegang posisi penting dalam rantaian nilai tetapi terhad kepada pemasangan komponen yang diimport dari China atau negara lain.

Apabila berlaku ketegangan geopolitik atau perubahan dasar di China, Malaysia tidak mempunyai alternatif mudah. Sebaliknya, China boleh memindahkan aktiviti pengeluaran ke Vietnam, Indonesia atau negara lain dengan relatif mudah.

Ketidakseimbangan ini juga ketara dalam sektor logam asas. China mempunyai kelebihan besar sementara Malaysia terpaksa bergantung kepada negara itu untuk bahan asas seperti keluli dan aluminium.

Sementara China tidak bergantung kepada Malaysia untuk keperluan yang sama. Ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan lemah dalam sebarang rundingan perdagangan atau ekonomi.

 

KEDAULATAN DI ERA GLOBALISASI
Cabaran paling besar dihadapi Malaysia adalah mengekalkan kedaulatan ekonomi sambil terus mengintegrasikan diri dengan ekonomi global.

Data menunjukkan 85.7 peratus sektor ekonomi negara bergantung kepada perdagangan antara wilayah berbanding China yang hanya 80 peratus. Perbezaan 5.7 peratus kelihatan kecil tetapi implikasinya besar.

Ketergantungan yang tinggi bermakna Malaysia mempunyai kuasa terhad untuk membuat keputusan ekonomi yang berdikari. Apabila berlaku krisis global seperti Covid-19 atau perang perdagangan, Malaysia lebih terdedah kepada kesan negatif kerana ekonominya sangat terikat dengan faktor luaran. Sektor seperti pendidikan dan hartanah yang sepatutnya domestik pun menunjukkan ketergantungan tinggi kepada aktiviti antara wilayah.

China, dengan ketergantungan relatif lebih rendah, mempunyai ruang besar untuk melaksanakan dasar ekonomi sesuai kepentingan domestiknya.

Negara tersebut boleh membuat keputusan berdasarkan keperluan dalam negeri tanpa terlalu risau tentang reaksi pasaran global. Malaysia, sebaliknya, terpaksa mempertimbangkan implikasi global untuk hampir setiap keputusan dasar ekonomi.

 

JALAN KE HADAPAN
Cabaran ini boleh diselesaikan dengan pengiktirafan yang jujur dan tindakan berani. Malaysia perlu beralih daripada mengejar pertumbuhan jangka pendek kepada membangunkan kekuatan struktural jangka panjang. Ini bermakna melabur dalam pendidikan teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta industri yang mencipta nilai sebenar.

Diversifikasi ekonomi bukan sekadar slogan politik tetapi keperluan survival dalam era ketidakpastian global yang semakin meningkat.

Malaysia mempunyai potensi untuk berjaya tetapi memerlukan keberanian untuk mengubah model ekonomi yang memberikan keuntungan dalam jangka pendek tetapi mungkin membahayakan masa hadapan negara.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN