KEMATIAN adalah ketetapan yang pasti bagi setiap makhluk bernyawa, tidak ada satu pun yang mampu menghindarinya. Seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 185: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” Ia akan tiba tepat pada waktunya, tidak akan terawal walau sesaat dan tidak akan terlewat walaupun sesaat.
Dalam konteks perubatan, terutamanya di Jabatan Kecemasan, kematian boleh berlaku secara tiba-tiba dan dramatik, tanpa mengenal usia dan penyakit.
Berdasarkan statistik dunia oleh Worldometer, jumlah kematian menjangkaui setiap saat, tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebahagian kematian berlaku di luar tempat tinggal, manakala sebahagian lagi berlaku di hospital terutama di Jabatan Kecemasan dengan petugas kesihatan menjadi saksi kepada saat-saat terakhir pesakit.
Dalam Islam, lima minit sebelum kematian atau dikenali sebagai sakaratul maut, merupakan detik yang sangat penting, bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga spiritual. Maka, kefahaman tentang perspektif Islam terhadap saat akhir kehidupan amat penting agar rawatan kecemasan tidak sekadar berorientasikan fizikal semata-mata tetapi juga mengambil kira nilai- nilai kerohanian dan kehormatan insan.
Islam melihat kematian bukan sebagai pengakhiran tetapi permulaan kepada kehidupan abadi di alam akhirat. Proses kematian melibatkan pemisahan roh daripada jasad.
Allah menyebut tentang detik sakaratul maut, iaitu “Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah perkara yang kamu cuba lari daripadanya.” (Surah Qaf, 50:19).
Ia bukan proses mudah. Ia digambarkan sebagai kesakitan yang berat dan sebagai ujian akhir kepada manusia. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya sakaratul maut itu mempunyai kesakitan yang tidak dapat digambarkan.”
Bagi orang beriman, malaikat akan turun dengan membawa salam dan ketenangan, manakala bagi yang ingkar, roh dicabut dengan kasar dan menyakitkan.
MANIFESTASI KLINIKAL SEBELUM KEMATIAN
Dalam bidang kecemasan, pesakit yang berada dalam lima minit terakhir hayat biasanya menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti pernafasan agonal (nafas tercungap-cungap), tidak sedarkan diri, tekanan darah yang sangat rendah, denyutan nadi lemah atau tiada, pupil mata melebar dan tidak bertindak balas.
Dari sudut fisiologi, tanda-tanda ini menunjukkan kegagalan sistem peredaran darah dan saraf. Namun, dalam perspektif Islam, ia mungkin mencerminkan roh yang sedang meninggalkan tubuh.
Dalam saat-saat ini, syaitan akan berusaha menggoyahkan akidah pesakit, manakala malaikat menyeru kepada keimanan dan keampunan. Oleh itu, penting untuk memastikan pesakit diperdengarkan dengan kata-kata yang baik, menenangkan dan mengingatkan kepada Allah, sebagai sokongan spiritual menjelang ajal.
PERANAN PETUGAS KESIHATAN
Dalam Islam, saat kematian berkait dengan iman. Oleh itu, penting untuk petugas kesihatan membimbing pesakit jika masih sedar atau membacakan kalimah syahadah disisinya. Nabi SAW bersabda: “Ajarkanlah orang yang sedang menghadapi kematian dalam kalangan kamu, La ilaha illallah.”
Seterusnya, membenarkan ahli keluarga yang hadir untuk membacakan doa atau ayat al-Quran seperti Surah Yasin amatlah digalakkan.
Di samping itu, terdapat situasi di mana pesakit berada dalam fasa akhir hayat dan rawatan intensif seperti bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang berpanjangan, intubasi atau ubat-ubatan sokongan jantung tidak lagi memberikan sebarang harapan untuk sembuh.
Dalam keadaan ini, Islam membenarkan rawatan yang tidak membantu dihentikan dan tidak diteruskan, asalkan ia disokong penilaian klinikal sah dan persetujuan waris diperoleh.
Pendekatan ini bersesuaian dengan prinsip Maqasid al-Syariah, yang menekankan penjagaan nyawa, maruah insan dan pencegahan mudarat. Menurut pandangan ulama kontemporari, termasuk keputusan untuk memberhentikan sokongan hayat dibolehkan apabila sekumpulan doktor pakar bersetuju kematian adalah pasti dan tiada lagi peluang untuk pulih.
Sebaik kematian disahkan, tubuh pesakit perlu diurus secara beradab, antaranya ialah menutup mata dan mulut, meluruskan anggota, menutup tubuh dengan kain, tidak membiarkan tubuh terbuka atau terdedah tanpa keperluan. Ini berdasarkan sunnah Nabi SAW yang bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, maka tutuplah matanya.”
Antara situasi klinikal yang terjadi di Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ialah seorang lelaki Muslim, 65 tahun dikejarkan di sini selepas serangan jantung.
Setelah 25 minit rawatan resusitasi tanpa tindak balas, keputusan diambil untuk menghentikan CPR. Anak atau waris pesakit memohon untuk membacakan ayat al-Quran seperti Surah Yasin di sisi ayahnya. Antara tindakan yang diambil ialah pasukan perubatan menghentikan CPR, mengesahkan kematian secara rasmi, menutup tubuh pesakit, memberi ruang kepada keluarga untuk duduk di sisi dan membaca surah tersebut. Tindakan ini menunjukkan gabungan pendekatan klinikal dan penuh ihsan selari dengan nilai Islam.
Selain itu, etika dan cabaran Perubatan Kecemasan dalam situasi akhir hayat termasuk kekangan waktu serta keperluan membuat keputusan segera iaitu perbezaan kefahaman antara pasukan perubatan dan keluarga pesakit, kekangan ruang serta masa untuk amalan spiritual, tidak kira berlainan agama mahupun budaya.
Dengan lebih banyak latihan tentang kesedaran budaya dan agama, pasukan perubatan boleh menyediakan persekitaran yang lebih inklusif serta menghormati kepercayaan pesakit.
Kajian Padela & Mohiuddin (2015) menunjukkan pesakit Muslim cenderung menolak rawatan berlebihan yang tidak memberi manfaat selain lebih menghargai pendekatan berpusatkan keluarga dan spiritual dalam penjagaan akhir hayat.
Jika dilihat, lima minit terakhir sebelum kematian, setiap detik amat bermakna. Bagi pesakit Muslim, ia adalah peluang terakhir untuk kembali kepada Allah dalam keadaan beriman. Bagi petugas kesihatan pula, ia adalah peluang untuk memberikan rawatan yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa tetapi menjaga maruah kematian seseorang dengan penuh hormat.
Dengan kefahaman yang mendalam terhadap ajaran Islam dan prinsip perubatan moden, kita dapat mencipta persekitaran akhir hayat yang penuh rahmat, belas ihsan dan tidak lupa, profesionalisme.-UTUSAN
DR. Adib Mursyidi Iskandar Mirza ialah Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan Dan Trauma, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.










